Friday, April 23, 2021

Mengganas

Semalam - 22 April 2021 - 662 kes Covid 19 dilaporkan di Kelantan, menjadikan kami sebagai juara di Malaysia. 

Sungguh ini bukan mainan. Ia semakin menakutkan tetapi sekeliling saya masih terlihat biasa.

Di jalan raya saban petang, kereta tetap bertali arus. Entah hala ke mana semuanya pada hal kami diminta tidak keluar jika tiada urusan penting.

Saya dan suami mencuba sedaya untuk kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. Malangnya tidak semua seperti kami. Bebas sungguh mereka ke sana ke mari tanpa rasa bersalah. PKP hanyalah sekadar PKP, segala SOP dilanggar sesuka hati.

Apabila memikirkan situasi di sekolah saya - lebih 60 orang murid dijangkiti Covid sejak dua minggu lalu dan masih bertambah dari hari ke hari - saya terpana. Nasib kami baik kerana tiada seorang pun guru yang terjangkiti dan ini meyakinkan saya jika SOP dipatuhi wabak ini boleh dikekang. Saya sentiasa mencuba untuk tidak menghampiri murid semasa mengajar (walaupun sukar) dan hanya berdiri di hadapan kelas. Alhamdulillah, kami terhindar dari jangkitan walaupun 6 orang murid dari tingkatan 5C1 dan 5 orang murid 5C2 (dua daripada empat kelas yang saya ajar) dikesan positif Covid.

Entah bilalah Covid akan berakhir jika semua enggan bekerjasama. Jika kenduri masih mahu dirai, jika majlis masih mahu dihadiri. Sabarlah sekejap wahai rakyat Malaysia. Tanpa kenduri pun nikah tetap sah. Tanpa majlis pun hidup masih boleh diteruskan. 

Semoga Allah melindungi negeri Kelantan juga negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment