Seisi alam bersedih dengan kedukacitaan ini, yang sungguh mengejutkan semua apatah lagi ahli keluarganya. Hanya doa agar mereka yang pergi ditempatkan di tempat yang mulia.
Pagi ini, seusai sahur satu lagi berita kematian menyentuh jiwa saya.
Sahabat saya ini, Ustazah Noor Aini Yahya (Ain) yang berkhidmat di SMK Tendong dipanggil pulang pada jam 11 malam tadi selepas seminggu berperang dengan Covid19. Allahu akbar.
Ain ialah sahabat saya di UKM dulu dan muda setahun dari saya (lahir pada 25 November 1973). Dia pelajar SMK Naim Lilbanat, dan menyambung pengajian di UKM dalam pengajian Islam. Kami seasrama dan sama-sama menjadi AJK Pusat Komputer Kamsis Ungku Omar. Kakaknya, Noor Ashikin (Shyne) satu sekolah dengan saya di MRSM dulu. Mereka berdua sangat rapat kerana jarak usia yang dekat.
Selepas tamat UKM kami terputus hubungan hinggalah bertemu kembali di Facebook. Pun kami tidaklah serapat dulu kerana kekangan yang pelbagai.
Hari ini, Ain sudah tiada dan pemergiannya agak mengejut. Terkedu saya seketika antara mahu percaya atau tidak. Keluarga yang ditinggalkan tentulah lebih-lebih lagi sedihnya.
Semoga Ain tenang di sana, dan semoga keluarganya kuat dan tabah menerima kehilangan yang tiba-tiba ini.
No comments:
Post a Comment