Tahun 1998, saya dihantar mengajar di SMK Mahmud, Raub manakala suami saya di SMU(A) Rahmaniah, Kuala Krai. Kami menyewa rumah di Taman Orkid di hadapan Sekolah Menengah Teknik.
Hari pertama saya ditinggal suami, sedih di hati tidak terkira. Maklumlah, pengantin baru tiba-tiba kena berpisah. Tetapi bukan tentang itu saya mahu kisahkan kali ini. Ia kisah tentang Act of Kindness.
Setiap hujung minggu, saya akan pulang ke Kuala Krai. Selalunya saya menumpang van Cikgu Aziz, tetapi pada suatu minggu itu, dia tidak pulang jadi saya membeli tiket bas. Itu kali pertama saya menaiki bas dari Raub. Bas itu menuju ke Kota Bharu jadi saya perlu meminta pemandunya menurunkan saya di Kuala Krai kerana suami saya menunggu di situ, di hadapan Sekolah Menengah Teknik.
Sebaik menaiki bas, saya terus memberitahu pakcik yang memandu itu, saya mahu turun di Kuala Krai. Boleh, tetapi nanti bila dah nak sampai kena beritahu pula ya, takut pakcik lupa. Baik pakcik.
Perjalanan waktu malam tentunya melelapkan mata saya. Saya sudah cukup berhati-hati agar setiba di tempat itu nanti, saya akan bersedia untuk memberitahu pemandu saya mahu turun.
Tetapi apa daya saya, saya tertidur. Bila terjaga, saya jadi terkejut dan tidak pasti sudah di mana bas itu berada. Waktu itu jam sekitar 5 pagi. Terus saya menuju ke tempat pemandu dan bertanya, "Pakcik, kita dah kat mana ni?"
"Kuala Krai," jawabnya.
"Saya nak turun kat Sekolah Teknik," ujar saya.
"Dah lepas!" Jawabnya.
Hah! Saya terkejut betul. Macam mana ni? Kalau turun di Kota Bharu, jauh. Lagi pun macam mana nak hubungi suami saya suruh ambil saya di sana? Rumah kami tiada telefon, apatah lagi telefon tangan.
"Pakcik, tak boleh ke pusing balik?" Saya merayu.
"Mana boleh!"
"Kalau gitu saya turun sini je lah, boleh kan?" Dengan beraninya saya memperjudikan nasib.
"Eh, gelap macam ni, sorang-sorang, bahaya! Turun KB je lah, suruh orang datang ambil kat sana."
"Tak boleh, rumah saya takde telefon..." Nada suara saya sudah seperti mahu menangis.
Pakcik itu wajahnya serius, tetapi hatinya mungkin terkesan dengan nasib saya. Lalu dia berpatah balik membawa saya ke tempat saya mahu turun.
"Tak pernah dibuat orang, patah balik macam ni," katanya. Memang dia seperti agak marah, tetapi saya tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepadanya. Penumpang-penumpang lain semuanya tengah nyenyak tidur jadi mereka tidak perasan pun bas itu berpatah balik untuk menghantar saya.
Suami saya sedang menunggu saya di dalam kereta Nissan Bluebird BCD9168 nya dan bersyukur melihat saya turun dengan selamat.
Sehingga hari ini, saya benar-benar terhutang budi dengan pakcik itu. Setiap kali saya teringat kisah ini, saya akan mengirim doa agar Allah memudahkan urusan pakcik itu walau di mana dia berada. Ya, sejak lama saya mendoakannya kerana budinya kepada saya sangat besar. Bayangkan kalau dia menurunkan saya dalam gelap malam, akan bagaimanakah saya? Atau dia meneruskan perjalanan ke KB tanpa menghiraukan permintaan saya, akan risaulah suami saya menanti isterinya tak sampai-sampai!
Semuanya ketetapan Allah, dan saya akan terus mendoakan pakcik itu dan seluruh ahli keluarganya dirahmati Allah selalu.