Wednesday, October 04, 2023

Kalkulator




Semalam saya diarahkan hadir ke bengkel penggunaan kalkulator Casio Classwiz anjuran PPDKB dan Casio. 

Saya ini, bila terima arahan, tiadalah mahu berbasa-basi, pergi sajalah. Tetapi jauh nun di sudut hati saya yang paling dalam saya tertanya-tanya, kenapa saya, tiada orang lainkah?

Bukan apa, kalau tentang kalkulator, saya sudah cekap. Bagilah kalkulator model mana pun, saya boleh guna. Saya tidak perlu hadir bengkel pun sebab semua itu saya boleh teroka sendiri. Google ada, Youtube ada. Dan semua pun tahu "kelebihan" saya ini.

Peliknya, nama saya yang naik untuk menghadiri bengkel begini. Kenapa tidak Marina, atau Ramli, atau Rusok, atau guru Matematik lain yang masih tidak cekap menggunakan kalkulator? Pun, saya tidak pula mahu bersuara. Saya hadir saja.

Sesungguhnya, kebosananlah yang saya rasai sepanjang bengkel itu. Saya diajar benda-benda yang saya sudah tahu, dan kalau yang saya belum tahu pun, saya pasti saya boleh tahu apabila saya mencari. Betul, saya bosan sungguh sepanjang bengkel itu semalam. Menguap. Hampir tertidur!

Pada hal, jika saya di sekolah, banyak yang saya boleh siapkan. Saya boleh cetak analisis dan slip peperiksaan yang belum selesai lagi itu. Juga tidaklah saya meninggalkan Laili kepeningan menyediakan relief yang sangat sukar semalam kerana ada program Temu Murni Tingkatan 5. Kasihan Laili. Juga, kelas Matematik Tambahan tingkatan 4 terlepas begitu sahaja sedangkan saya sudah kesuntukan masa untuk menghabiskan sukatan.

Tetapi begitulah. Mereka memilih saya untuk ke sana, entah atas dasar apa.

Sekadar luahan.

No comments:

Post a Comment