Friday, October 13, 2023

Demam

Rabu 11 Oktober, kami ke sekolah seperti biasa. Dalam kereta, suami saya memberitahu dia rasa sakit kepala. Mungkin sebab dia batuk agak kuat sehari dua ini.

Di sekolah, dia semakin tidak selesa. Dua biji panadol ditelan, mengharap kelegaan. Pulang ke rumah saya meminta dia berehat. Tetapi selepas Asar dia keluar juga ke rumah mek, menjenguk mek yang masih sakit.

Pulang ke rumah, dia kelihatan semakin letih. Batuk dan badannya panas. Risau pula saya kalau melarat. Malam itu kami ke klinik dan doktor memberi cuti sakit untuk esok.

Khamis 12 Oktober, selepas menghantar saya ke sekolah pada pagi itu, dia pulang berehat di rumah. Dua kali saya menghubunginya bertanya khabar. Katanya badan masih panas dan tidak lalu makan. Pun dia tetap keluar menjemput saya pulang dari sekolah.

Saya memeriksa suhu badannya, sangat tinggi - 39.3 darjah. Makin risau saya. Selepas menelan dua biji panadol, saya lap badan dan dahinya dengan kain tuala basah. Hati saya sayu benar melihat keadaan dia begini. Rasa bersalah pula membiarkan dia memandu mengambil saya di sekolah pada hal saya boleh saja pulang sendiri.

Sebak, mengalir air mata saya melihat keadaan suami saya begini. Doa mencurah-curah untuknya, semoga Allah memberi kesembuhan.

Menjelang malam, panas badannya berkurang. Alhamdulillah. Dan dia dapat tidur lena sehingga pagi.

Jumaat 13 Oktober, saya memasak sarapan nasi lemak. Suami saya tidak begitu berselera, tidak habis pun sepinggan. Panas badannya sudah berkurang tetapi masih belum kebah.

Kami keluar juga sebentar pada jam 9.30 pagi menziarah mek, dan saya sempat ke rumah ma sekejap. Maaf ma, tak boleh berlama-lama. Seterusnya kami pulang ke rumah kami semula pada jam 10.30 pagi. Suami saya menyambung rehat sehingga waktu solat Jumaat.

Untuk makan tengah hari saya sediakan ikan singgang dan ayam goreng sahaja. Suami saya masih tidak berselera, pahit mulut katanya.

Semoga cepatlah sembuh suamiku!

Sent from my iPhone

No comments:

Post a Comment