Petang Ahad lalu saya singgah sebentar di rumah Ma, sempatlah berbual sekejap dan Ma kelihatan sihat. Biasalah, apabila ke sekolah, saya akan jadi leka dengan tugas. Pulang ke rumah saya akan sibuk pula dengan urusan kain baju dan memasak selain tidur dan rehat.
Ma, saya akan telefon selang dua hari tetapi entah kenapa minggu ini saya ralit. Sehinggalah petang tadi, saya tersedar yang sudah tiga hari saya tidak bertanya khabar Ma. Terus saya menekan nombor Ma, mulanya tidak berjawab tetapi kemudian Ma menelefon kembali.
Suara Ma kedengaran agak tenang, katanya baru lepas membakar sampah di belakang rumah. Kata Ma lagi, Rifqi tidak balik Johor minggu ini sebab esok dia mahu ke Golok menziarah ibu saudara kami yang sakit.
Ma tak ikut? Tanya saya. Tak, Ma tak larat, malam tadi Ma sakit perut. Demam juga dua hari, tapi hari ni dah baik.
Allahuakbar! Saya rasa dada saya seperti dihentak-hentak. Air mata saya terus berderai. Ma sakit tetapi saya tidak tahu, anak apa saya ini? Rasa sangat tidak berguna!
Ma terus bercerita, dan saya terus bertanya. Kenapa Ma tak beritahu Ma demam? Ma tak ajak Rifqi pergi klinik ke?
Ma demam sikit saja, telan panadol Ma ok lah. Sakit perut pun dah kurang hari ni.
Tuhan, kenapa saya leka dan lupa menghubungi Ma? Rasa bersalah ini seperti menyiat-nyiat jiwa saya.
Maafkan saya Ma, ikutkan hati saya mahu saja ke rumah Ma malam ini tetapi biarlah Ma rehat dan tidur. Saya tidak mahu ganggu. Pagi esok kita jumpa ya Ma!
Semoga Ma sentiasa dalam lindungan dan jagaan Allah setiap masa. Amin.
No comments:
Post a Comment