Selalu, mereka yang berjaya akan bercerita tentang keperitan hidup masa lalu yang membawa mereka kepada kejayaan hari ini. Selalu, kesusahan yang mereka lalui itu menjadi mangkin untuk terus berusaha melawan kemiskinan.
Selalu, begitulah. Beruntunglah mereka kerana telah mampu mengubah hidup susah menjadi senang. Syukurlah kerana mereka mampu memberi kelegaan buat keluarga yang dahulu bersusah payah membanting tulang mengais rezeki.
Syukur.
Dan apabila sudah senang, mereka membina keluarga, membesarkan anak-anak dalam lega dan lapang. Dan anak-anak mereka tidak melalui jalan perit seperti mereka.
Apakah anak-anak mereka mengerti kesusahan lalu?
Saya pernah terbaca kata-kata ini - zaman sekarang ialah zaman anak-anak hidup lebih susah daripada ibu bapanya. Seperti ada benarnya.
Memerhati sekitar, saya nampak ia berlaku begitu. Ibu bapa sampai tua masih menyara anak-anak yang tidak bekerja. Entah di mana silapnya, anak-anak menjadi begitu manja dan terlalu bergantung pada ibu bapa. Bukan tiada kerja untuk mereka tetapi mereka menjadi pemilih. Kerja yang tidak seronok dan agak mencabar, akan mereka tinggalkan dan pulang menganggur di rumah.
Mungkin benar juga, kehidupan yang senang sejak kecil menjadikan daya tahan anak-anak kita begitu rendah. Mudah punah. Senang kata, manja. Apa tidaknya, dari kecil dimudahkan segala. Ibu bapa menjadi terlalu melindungi sehingga anak-anak mahu pulang ke kampus menaiki bas malam pun tidak dibenarkan. Ibu bapa rela mengambil cuti dan menghantar anak-anak setiap kali semester baru bermula. Bagaimana anak tidak menjadi manja? Berdikari apatah lagi!
Wang ringgit pula seperti air mengalir, asal mahu saja boleh minta. Anak-anak tidak pernah berasa susahnya hidup tanpa wang.
Kadang-kadang, sedikit cabaran perlu direntang di hadapan jalan anak-anak kita agar mereka faham kenyataan sebuah kehidupan. Biar ada liku yang akan mengganggu sedikit kelancaran perjalanan mereka, agar mereka tahu bersedia.
No comments:
Post a Comment