Wednesday, September 27, 2023

Hidup Ini Keras

Selagi ada nyawa di badan, selagi itu kita harus berjuang. Hidup bukan hanya keras dari satu segi, tetapi bersegi-segi.

Hari ini saya tidak teruji dengan kerasnya hidup tanpa wang. Alhamdulillah saya sentiasa diberi penyelesaian dari segi ini dan punya upaya yang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia fana ini. Pun, bukanlah saya tidak diuji langsung dengannya, cuma seginya berbeza.

Dek saya terlihat lapang selalu dan punya upaya yang luas dalam berbelanja, maka saya didatangi orang-orang yang meminta bantuan. Bukan ramai, tetapi ada.

Seorang itu (bukan guru), terjebak meminta bantuan saya sejak beberapa bulan lalu. Awalnya dia hanya meminta saya membuat pindahan sejumlah wang ke akaun rakannya dan dia membayar saya waktu itu juga. Ok. Selesai.

Ingatkan sekali itulah, tetapi pada minggu hadapannya dia meminta saya melakukan lagi perkara sama, dan dia membayar semerta. Ok. Selesai.

Katanya dia tiada perbankan internet. Mahu ke ATM jauh pula. 

Minggu seterusnya, dia meminta bantuan begitu lagi, tetapi kali ini tanpa membayar semerta. Esok ya Ti, katanya. Ok. Saya percaya.

Rupanya bila kita memudahkan urusan dia, maka dia mengambil kesempatan. Bayaran menjadi semakin tertangguh dan ada kalanya dibayar beransur. Eh?

Tetapi mengapa saya terus menerus membantu dia? Kerana pada saya, itu satu khidmat yang boleh saya beri kepada seorang yang memerlukan. Memang dia semakin lewat membayar, tetapi setakat ini dia tidak pernah lupa.

Oh ya, bayaran apa sebenarnya itu? Katanya dia berhutang sebanyak RM15K dengan seorang rakan sewaktu mahu memulakan perniagaan pada Mac lalu dan berjanji membayar secara mingguan. Jadi setiap minggu dia perlu membayar RM1K dan akan selesai pada hujung September ini.

Jadi, minggu ini mungkin yang terakhirlah saya membuat pindahan wang untuknya. Dia baru membayar separuh, mungkin separuh lagi akan dijelaskan minggu depan. Saya menanti.

Kisah kedua, seorang guru muda yang sering kesempitan wang. Tadi dia memohon pinjaman dari saya sebanyak RM1K (sahaja) dan berjanji untuk membayar ansuran 200 sebulan. Ini kali ketiga dia meminjam dari saya. Sebelum ini rekodnya baik - membayar dengan berdisiplin - jadi kali ini saya membantu lagi. Mengalir air matanya saat menerima wang daripada saya.

Begitulah. Kerasnya hidup mereka, saya turut ditempiaskan. Tetapi tidak mengapa. Saya yakin, Allah tidak marah dengan apa yang saya lakukan. Saya ingin membantu. Itu sahaja.




No comments:

Post a Comment