Sunday, September 17, 2023

Peribadi

Melihat pelbagai situasi di sekitar, saya sentiasa mengaitkan dengan apa yang saya ada. Walaupun terlalu banyak yang saya tidak punya, saya mahu bersyukur dengan segala kurnia.

Semalam, seseorang telah mengucapkan kata-kata ini kepada saya dan suami,

"Jadinya, kamu berdua ni memang kesudahannya tiada zuriatlah ya?"

Tidak pula saya tahu kenapa kata-kata sebegitu diaju kepada kami. Jika dia bertanya, jawapan sudah dia tahu. Mungkin sekadar mahu mengisi perbualan walaupun banyak lagi isu lain yang boleh dibincang.

Saya tidak mahu isu tiada zuriat ini berlanjutan. Saya tahu bagi sesetengah manusia, tiada zuriat itu adalah sesuatu yang sangat malang. Mereka akan menggeleng-geleng kepala sambil berkata "kasihan" dalam nada sedih sambil memandang kami. Kasihan apa?

Jawapan saya kepada orang yang bertanya itu ialah, "Alhamdulillah, hok Tuhan bagi tu hok molek doh untuk kami," beriring senyum seindah suria.

Dia menyambung lagi dengan pertanyaan, "Tak ambil anak saudara ke untuk dijaga?"

Suami saya memberi jawapan kepadanya, dan saya malas masuk campur.

Sebetulnya saya tidak berasa hati pun, cuma hairan dengan manusia yang bertanya-tanya tentang situasi kami yang tiada zuriat ini. Demi Allah, saya tidak pernah mahu menyibuk dengan hal peribadi orang lain. Saya tidak pernah bertanya lebih-lebih tentang kehidupan orang lain yang tiada kena mengena dengan saya. Lambat kahwinkah, berceraikah, tiada anakkah, tiada kerjakah, gagal universitikah, belum gradkah, dimadukankah, semua itu bukan urusan saya dan tidak perlu pun saya tahu kenapa dan mengapa.

Jadi mengapa orang lain begitu kisah dengan hal saya? Tidak bolehkah kita berbual tentang makanan seimbang untuk elak penyakit, atau cara-cara nak mendidik anak pada zaman sekarang atau tentang kaedah berjimat cermat pada zaman madani ini? Itu lebih memberi jiwa dan tidak menyentuh peribadi orang!

Tetapi begitulah masyarakat kita. Semakin personal sesuatu perkara itu, semakin suka dikorek-korek. Teruk betul!


No comments:

Post a Comment