Apabila suami saya ada jemputan, saya akan mula mencari menu yang mudah dan sedap untuk diri sendiri. Seperti hari ini, suami saya akan menghadiri kenduri sebaik usai solat Jumaat, jadi saya hanya perlu memasak untuk saya seorang sahaja.
Tentunya saya akan memasak sesuatu yang enak di lidah saya tanpa perlu memikir lidah suami. Wah!
Teringat pada nasi goreng Ma, yang selalu ma buat waktu saya kecil dahulu. Ok, itulah menu saya hari ini.
Sebaik suami saya turun ke masjid, saya pun bergerak ke dapur. Nasi saya jerang dahulu dan saya guna air panas supaya nasi cepat masak. Nasi dari beras cap serindit ni boleh je digoreng panas-panas, sebab ia tidak lembik. Sejukkan beberapa minit saja dah cukup.
Seterusnya saya potong ayam, sotong dan kacang buncis. Untuk rencah, saya guna tiga biji lada kering, seulas bawang putih dan dua ulas bawang merah. Semuanya ditumbuk dengan lesung batu dicampur sedikit garam supaya cepat lumat. Tak maulah kisar, nanti rasanya tak sama dengan nasi goreng ma dulu.
Sementara nasi masak, saya solat Zohor dulu. (Eh, kena beritahu jugak ke?)
Saya panaskan minyak dalam kuali, dan tumis bahan tumbuk tadi sehingga wangi. Kemudian saya masukkan isi ayam dan sotong, kacau-kacau sampai masak. Saya masukkan juga kicap dan sos ikan. Seterusnya saya masukkan kacang buncis dan nasi, dan kacau sehingga mesra semuanya. Saya tutup api, sendukkan ke dalam pinggan dan bawa ke bilik untuk dinikmati. Makan di bilik lebih selesa sebab ada air-cond, kat dapur panas.
Alhamdulillah, rasanya sangatlah sedap dan membangkit nostalgia hampir 40 tahun dahulu, sewaktu ma mengajar saya resipi nasi goreng ini.
No comments:
Post a Comment