Buah dokong sangatlah saya suka. Saya boleh makan dengan banyak terutama jika ia manis dan segar. Lazatnya tidak terkira. Berbanding rambutan dan manggis, buah dokong lebih saya gemari.
Sekarang musim buah dokong. Pokok dokong yang suami saya tanam pada 1997 dulu di sekitar rumah emaknya sedang berbuah dengan lebat sekali. Pada Sabtu lalu, suami saya mengupah orang memanjat pokok-pokok itu dan buah-buahnya dibahagi-bahagikan kepada jiran tetangga, masjid dan surau.
Seronok sekali saya menikmati buah ini. Siang, malam, pagi, petang saya asyik memakannya. Kata orang, jangan makan banyak sangat nanti sakit urat.
Hari ini, badan saya memang sakit-sakit. Rasa lenguh atas belakang sejak malam tadi lagi. Kalau ada orang picit-picitkan belakang saya ini tentu sedap. Mungkin dokonglah puncanya.
Tapi tidak mengapa, setakat sakit begini saya masih boleh bertahan. Bukanlah teruk sangat, hanya lenguh-lenguh saja. Saya sudah minta suami saya dapatkan lagi buah dokong untuk saya bawa ke sekolah dan berkongsi kelazatannya dengan rakan-rakan saya. Suami saya setuju saja. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment