Thursday, September 14, 2023

Menemani

Malam ini sudah sebelas malam saya tidur di rumah mek, menemani mek yang sakit. Suami saya tidur di luar, bersebelahan mek dan saya tidur di bilik.

Mek patah tulang paha kerana jatuh pada petang Isnin minggu lepas. Semua anak mek yang ada mengambil giliran menjaga mek. Saya dan suami memilih shift malam kerana siang hari kami berdua bekerja.

Menjaga mek pada waktu malam agak mencabar bagi suami saya. Apabila mek terjaga, suami saya akan turut terjaga dan bertanya apa mek mahu. Kadang-kadang mek haus, suami saya ambilkan air. Ada kala mek kesakitan, suami saya akan mengurut-urut perlahan dan menyapu minyak. Tidur suami saya tidak begitu sempurna sejak mek sakit.

Saya? Saya mampu tidur dengan baik di bilik yang selesa. Suami saya tidak pernah lagi mengejutkan saya di tengah malam, hanya dia yang mengurus mek bila mek memerlukan. Saya dibiar tidur lena setiap malam.

Begitulah, suami saya sedang melaksanakan tanggungjawabnya kepada dua orang wanita penting dalam hidupnya - ibu dan isteri. Semoga Allah mengganjari suami saya dengan sebaik-baik ganjaran. Dan semoga mek cepat sembuh. Amin.

No comments:

Post a Comment