![]() |
Gaya seorang Tun Teja |
Semalam, sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan Kesultanan Melaka, saya bercerita serba sedikit tentang Hang Tuah dan Tun Teja sewaktu bersarapan di kantin kepada rakan-rakan guru yang makan bersama-sama saya. Saya sebut nama ibu Hang Tuah, Dang Merduwati. Saya kisahkan juga bagaimana Hang Tuah melarikan Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan. Tun Teja yang mencintai Hang Tuah tidak mahu menjadi Permaisuri tetapi Hang Tuah memberi Tun Teja makan sirih jampi sehingga Tun Teja menjadi benci kepada Hang Tuah.
Rakan-rakan saya bertanya, bagaimana saya tahu cerita itu? Saya kata, ada dalam buku Hikayat Hang Tuah yang tebal itu. Saya membaca buku itu sewaktu darjah enam, di perpustakaan SK Mulong. Tidaklah habis semua, tetapi banyaklah juga saya baca.
Mereka terkejut. Eh, peliklah, guru Matematik suka buku Sejarah?
Lalu saya memaklumkan saya sangat meminati bahan bacaan, termasuk sajak dan puisi. Saya baru sahaja membeli dua buah buku puisi tulisan SN Zurinah Hassan, dan sebuah antologi cerpen tulisan Siti Zainon Ismail.
Begitulah. Bagi mereka seorang guru Matematik seperti saya tidak sesuai untuk meminati Sejarah dan Sastera. Tetapi kenapa?
Sebab itu, bila ada yang melabel "orang Sains" begitu, "orang Sastera" begini, saya tidak gemar mendengarnya. Saya boleh saja masuk dalam kedua-dua kategori. Saya cemerlang sebagai pelajar aliran Sains, tetapi saya juga mencintai Sastera. Tidak bolehkah Sains dan Sastera bersatu dalam satu jiwa?
Kadang-kadang saya rasa rugi tidak diberi peluang mendalami ilmu kesusasteraan. Tetapi saya selalu juga mencari sendiri dengan membaca Dewan Sastera di perpustakaan MRSM dahulu. Saya tahulah juga serba sedikit tentang istilah dan kaedah penulisan.
Rasanya, jika saya diberi peluang belajar Sastera, saya akan cemerlang juga.
Tidak mengapa kan masuk bakul angkat sendiri?
No comments:
Post a Comment