Apa yang melukakan kita terlalu? Harapan. (What hurt you the most? Expectation.)
Hari ini keputusan SPM 2023 diumumkan, banyak pula saya baca tentang kesedihan calon yang tidak mendapat keputusan seperti yang mereka harapkan. Mereka menjangkakan semua A, tetapi ada juga B terselit dalam senarai.
Selalu yang terluka ini adalah yang mengharap keputusan hebat seiring usaha mereka. Apabila yang muncul tidak sebegitu, kecewalah jadinya.
Kadang-kadang kita perlu mengajar anak-anak tentang "expecting the worst" agar tidak merasa luka dan kecewa.
Saya dahulu tidak meletakkan target tinggi pun dalam SPM, tetapi usaha tetap usaha. Jadi apabila menerima keputusan, saya sangat teruja kerana apa yang saya dapat lebih baik daripada apa yang saya jangka. Tiada langsung rasa kecewa walaupun tidak mendapat semua A. Kertas Biologi saya yang paling teruk apabila hanya mencapai gred C4 (setara gred B sekarang) tetapi saya bersyukur sangat sebab saya tahu ia adalah disebabkan kesilapan saya sewaktu ujian Amali. Tiada rasa kecewa.
Melihat gred Fizik saya A2 (setara A-), lagilah saya seronok kerana selama ini tidak pernah sekali pun dapat A dalam peperiksaan di sekolah. Begitu juga Kimia, tidak pernah pun saya mencapai kredit, setakat lulus sahaja tetapi dalam SPM saya dapat C3 (setara B+).
Jadi anak-anak, janganlah mengharap keterlaluan. Letak sedikit rasa rendah diri dalam membina harapan agar kita lebih bersedia menerima setiap ketentuan.
Expect the worst, hope for a miracle.
No comments:
Post a Comment