Selama dua bulan saya tidak ke dapur, kasihan pula melihat suami saya makan nasi kedai setiap hari. Dia tidak mengeluh sedikit pun, reda sahaja dengan situasi isterinya ini. Tapi itulah, saya tahu dia jemu juga.
Ada sekali, pada beberapa minggu lepas saya masak ringkas-ringkas untuknya. Sekadar goreng daging dan goreng telur. Bila dia makan, dia kata, "lain kan rasa makan masakan di rumah dengan makanan beli kedai."
Saya faham maksudnya. Dia secara tersirat menyatakan kejemuannya dengan menu kedai, jadi walaupun cuma lauk goreng-goreng sahaja tetap lebih enak masakan di rumah.
Pagi tadi kami keluar membeli barangan dapur, lauk dan sayur untuk memasak tengah hari. Saya sudah rasa sihat beberapa minggu ini jadi saya mahu memasak untuknya. Saya memilih menu yang sudah lama saya tidak sediakan, dan susah untuk dapat di kedai.
Asam pedas ikan tenggiri.
Dek lama tidak memasak, rasa asam pedas saya kali ini agak tidak mencapai piawai. Kurang minyak waktu menumis, kurang bawang merah dan juga kurang lada. Kuahnya agak cair dan warnanya pucat.
Apa pun, suami saya makan dengan berselera juga, Alhamdulillah. Nanti lain kali saya upgrade ya!