Monday, August 19, 2024

Kurus


Pada hari pertama saya melangkah ke sekolah selepas sebulan bercuti sakit, berat saya ialah 78 kg. Sebelum ini, berat saya sekitar 87-88 kg. Ramailah yang menegur saya kurus. Kuat berpantang ya Ti? Eh?

Apa yang berlaku dalam sebulan itu sebenarnya ialah selera makan saya merudum teruk. Bermula pada hujung Jun, apabila saya mula rasa sakit saya jadi tidak berani untuk makan banyak. Kemudian bila masuk wad, saya kena puasa pula. Selepas pembedahan, selera saya tiada. Semua makanan rasa pahit dan payau. Tekak saya tidak mampu menelan.

Berpantang, saya bukanlah orangnya yang lekat pantang itu ini. Tambahan pula saya jenis patuh arahan doktor. Bila doktor kata tak perlu berpantang maka saya akur. Saya makan semua, tetapi sedikit saja boleh masuk ke perut.

Rupanya, jika mahu kurus kita cuma perlu kurangkan makan. Dalam sebulan boleh turun sampai sepuluh kilo!

Tetapi, sejak dua tiga hari ini selera saya sudah kembali pulih. Risau juga kalau-kalau saya tidak dapat mengawal selera pula. Saya mahu berpada-pada kini, kerana kesihatan saya perlu dijaga dengan lebih ketat. Setelah berkali-kali melalui episod kesakitan dan pembedahan, saya jadi takut jika ada lagi kisah begini nanti. Semoga Allah melindungi saya dan memberi kesihatan yang baik selepas ini, Amin. 

No comments:

Post a Comment