Kadang-kadang saya rasa pelik dengan cara susunan ayat para pendakwah dalam menyampaikan pesanan atau teguran. Bila dibaca, ia lebih kepada menghukum dan bersangka-sangka.
Saya teringin membetulkan nada tulisan ustaz ini yang sedang tular di FB hari ini.
Jika saya dia, saya tulis begini.
"Sempena Hari Kebangsaan, setiap tahun negara kita akan meraikan hari bersejarah ini dengan mengadakan majlis sambutan yang meriah. Rakyat jelata dialu-alukan untuk hadir menyaksikan perarakan yang hanya berlaku setahun sekali, selain menunjukkan semangat cintakan negara.
Cuma, pada keadaan yang sebegini sesak dan bermula seawal pagi (sebelum Subuh), pastikan kita tidak lalai dengan kewajipan kita. Solat tetap perlu diutamakan, tunaikanlah solat pada waktunya walaupun dalam suasana yang sukar dek kepadatan manusia. Ada masjid berhampiran, ada juga musolla bergerak yang disediakan. Jika perlu, boleh bawa penyembur wuduk untuk memudahkan kita berwuduk.
Usah jadikan kesesakan manusia sebagai alasan untuk tidak bersolat. Kita muslim, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai satu dakwah juga. Alangkah ruginya jika kita lalai dengan solat hanya disebabkan acara sebegini.
Selain itu, jaga juga amalan-amalan sunat lain walaupun kita sedang berada dalam keramaian. Bukan solat sunat sahaja yang agama kita anjurkan, banyak lagi perkara lain yang boleh kita buat untuk mendapatkan pahala dalam suasana begitu. Tolong menolong, berpesan-pesan, mudahkan urusan orang lain, dan pelbagai lagi.
Dan akhir sekali, jagalah keselamatan ahli keluarga. Jangan leka dengan keseronokan sehingga mengabaikan anak-anak, terutama yang masih kecil. Banyak kes yang di luar jangka berlaku akhir-akhir ini yang menuntut kita berwaspada selalu.
Selepas ini, rajin-rajinlah juga ke majlis ilmu, biar seimbang dunia akhirat.
Selamat Hari Kebangsaan ke-67. "
No comments:
Post a Comment