Cuti sakit saya tamat pada Khamis 1/8/24. Bermakna, saya akan kembali ke sekolah untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai guru pada Ahad 4/8/24.
Ramai yang menyarankan agar saya menyambung cuti sakit, tetapi saya enggan. Walaupun kesihatan saya belum pulih sepenuhnya, saya tidak mahu menyambung cuti bila memikirkan saya perlu kembali menunaikan banyak hal yang tertangguh.
Lalu Ahad itu saya melangkah dengan gagah menuju ke sekolah. Sapaan rakan-rakan yang terkejut melihat fizikal saya, sebenarnya menjadi satu semangat buat saya. Sekian lama saya mengharap untuk kurus, kali ini ia menjadi kenyataan. Sejka saya sakit, saya hilang hampir sepuluh kilogram, dan berat saya pada Ahad itu ialah 78 kg.
Alhamdulillah saya dapat lalui hari pertama di sekolah (selepas pembedahan) dengan baik walaupun terasa penat dan lemah juga apabila pulang ke rumah. Saya teruskan juga melangkah ke sekolah pada Isnin dan Selasa, manakala pada Rabu, saya hadir temujanji di HUSM. Kali ini doktor mengesan luka saya masih belum kering elok, jadi saya perlu hadir ke KK Perol setiap hari untuk mencuci luka. Saya meminta cuti sakit dua hari, dan doktor membenarkan.
Hari ini sudah Rabu, luka saya sudah hampir sembuh. Misi di KK Perol tadi membenarkan saya mencuci sendiri sahaja luka saya di rumah. Terima kasih misi kerana memberi tunjuk ajar.
Kesihatan saya juga sudah kembali normal. Saya sudah rasa kuat seperti sebelum ini, dan selera makan pun sudah semakin baik. Di kantin pagi tadi, saya mampu habiskan sepinggan nasi ayam yang lazat.
Alhamdulillah. Syukur sungguh saya rasa atas setiap titipan kurnia dari-Nya. Semoga saya akan semakin sihat dan dapat terus menabur bakti demi mencari redha Allah.
No comments:
Post a Comment