(Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo dalam Winter Sonata)
Pertama kali saya menonton drama Korea ialah siri Winter Sonata yang disiarkan di TV3 pada Ogos 2002. Drama 28 episod (versi TV) itu benar-benar menjatuhkan cinta dan minat saya pada drama dari negara itu. Segalanya indah – dari budaya kesopanannya, latar tempatnya, bahasanya dan pelakon-pelakonnya. Betapa saya begitu tertarik hingga berusaha belajar bahasa Korea melalui internet! Sayangnya saya tidak sempat pandai kerana kekurangan bahan…(Save Your Last Dance For Me)
Kerana minat yang amat sangat, saya membeli VCD drama tersebut (yang kini hilang entah ke mana.. huhuhu!!) walaupun mahal. Saya menontonnya berkali-kali dan saya sudah boleh hafal babak dan dialognya. Sungguh teruk kegilaan saya pada Winter Sonata waktu itu. Lagu temanya pula, masih lagi kemas di minda sehingga kini. Saya masih hafal liriknya walaupun tidak pasti apa maksudnya!(Rain Bi dan Shin Min Ah dalam Love To Kill)
Bermula dari situ, rangkaian TV Malaysia mula berlumba-lumba menyiarkan drama Korea. Saya tidak melepaskan peluang menyaksikan drama-drama berkenaan. Antara yang saya gemari – The Truth, All About Eve, Hotelier, Full House, My Girl, Save Your Last Dance For Me dan Love To Kill. Selain The Truth, dan Love to Kill, semua drama yang lain itu saya milik VCDnya. Benar, saya tidak puas menonton sekali. Saya ingin mengulang tonton pada waktu-waktu luang saya kerana itu saya rela membeli VCD drama-drama tersebut walau harganya lebih RM70.00 setiap set. Terkini, sewaktu meronda KB Mall Disember lepas, saya telah membeli VCD Boys Over Flowers tetapi sehingga hari ini masih belum lagi berkesempatan menontonnya.Hobi saya yang satu ini mungkin tidak ada banyak manfaat. Saya sedar, tetapi saya positif kerana pada saya, budaya yang ditonjol dalam drama Korea penuh kesopanan berbanding filem-filem Barat, mahupun Hindustan. Kisah yang digarap juga lebih berpijak di bumi nyata, dan banyak unsur-unsur positif boleh kita ambil seperti bagaimana mereka terlalu menghormati orang tua, terlalu berpegang pada janji dan sangat tinggi nilai kasih sayang dan membalas budi.
Akhir-akhir ini, saya kekurangan ruang untuk bersantai sambil menonton VCD kegemaran saya. Mungkin tugasan dan tanggungjawab yang semakin bertambah, juga badan yang semakin cepat penat ini lebih memerlukan santai dalam bentuk tidur sahaja. Hmmm.. mungkin saya sedang dalam proses penuaan. Maklumlah, Januari tahun depan saya bakal memasuki alam 40-an.
Apa pun, saya ingin menonton Boys Over Flowers sebelum usia saya mencecah 40 tahun. Hehe!!
No comments:
Post a Comment