Thursday, April 28, 2011

Luahan seorang mahasiswi

Saya mahu cakap begini.

Begini. Ya benar, kita mahu melahirkan manusia yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan mewajibkan badan berunifom, jasmani jadi makin sihat. Mungkin semua yang sakit-sakit di hospital itu dulu tak pernah mengikuti program badan beruniform, itulah akibatnya. Oleh itu, badan berunifom baik untuk kesihatan. Ok, untuk jasmani, kita hebat. Lalu, untuk emosi, rohani dan intelek?

Mengapa tidak kita wajibkan juga badan yang menjadikan emosi pelajar sihat. Contohnya, wajibkan pelajar ke kursus-kursus kaunseling, kursus bina keyakinan diri, yang bukan melibatkan jasmani, tapi emosi. Wajibkan setiap minggu (seperti badan beruniform) untuk pelajar hadir ke kelas emosi itu. Barulah emosi pelajar sihat. Tiada yang bunuh diri, tiada yang sakit mental.

Kemudian rohani? Begitu juga, setiap minggu wajibkan pelajar-pelajar hadirkan diri ke usrah-usrah. Bagi surah-surah sebagai tugasan untuk mereka hafal. Kenalkan mereka dengan hadis-hadis sahih nabi, barulah tak ada anak-anak zina yang lahir, barulah tak ada masyarakat rosak akhlak yang makin subur, barulah anak-anak jenayah tidak lagi dilahirkan oleh ibu-ibu mereka.

Seterusnya, intelek. Wajibkan juga pelajar-pelajar menghadiri seminar-seminar ilmu setiap minggu. Kenalkan mereka dengan tokoh-tokoh ilmu, cendekiawan-cendekiawan antarabangsa. Buka pemikiran mereka menjadi minda kelas pertama. Jadikan minda mereka minda intelek. Barulah tidak lahir M**i yang ada rohani (konon) tapi intelek kosong. Barulah tak ada yang hanya sihat dan warak, tapi minda tertutup. Barulah tak ada yg hanya tengok Hantu Kak Limah tapi tak tahu Tsunami di Jepun. Faham tak????

Huh…kenapalah mereka tak faham?? Ingat nak sihat jasmani saja. Sebab itu ramai yang bengong sekarang. Sebab mereka sihat jasmani, tapi mental tak sihat, rohani tak sihat, intelek tak sihat. Jadilah mereka semakin menjadi-jadi dan aktif oleh kerana terlalu sihat jasmani dan sakit aspek-aspek lain. Mereka lah orang-orang yang BENGONG!

Astaghfirullah! Ampunkan saya ya ALLAH. Saya terlalu tidak bersetuju dan tidak faham mengapa mereka terlalu bengap untuk memikirkan semua ini?

Kalau ada yang menjawab, apa yang dipelajari di dalam kelas sudah mencukupi untuk memenuhi kehendak emosi, rohani dan intelek, cuma jasmani yang perlu ditambah di luar kelas. Bagaimana dengan pendidikan jasmani yg terang-terang ada perkataan jasmani itu?

Sesungguhnya saya bukan anti aktiviti yang melibatkan jasmani, tetapi saya tak suka ketidakseimbangan. Sebab itu ramai yang menjadi SENGET sekarang. Tidakkah anda dapat melihat ramainya orang-orang yang senget? Ramainya mereka yang berbangga sihat jasmani, tetapi tiga aspek lain sungguh tenat. Saya benci melihat orang yg berbangga kononnya dgn aktif dalam badan berunifom semua jadi seimbang. Padahal, terang-terang saya nampak mereka tak sihat rohani dan intelek.

Saya geram!

Petang-petang begini

Kecil-kecil dahulu, waktu-waktu petang begini, akan berlari dan berkejaranlah kami bersama-sama teman dan rakan seusia. Emak pula bersembang dengan jiran di halaman rumah, sambil memantau anak-anaknya. Apabila hari makin gelap, emak akan memanggil kami masuk ke rumah, mandi dan bersiap untuk acara malam pula - mengaji, makan malam dan tidur.

Sewaktu sekolah rendah, petang-petang begini seronok benar bermain bola selipar dengan anak-anak jiran sebelah. Kadang-kadang mengetuk bulu tangkis dengan reket yang sudah putus talinya. Juga masih terkinja-kinja bermain lompat tali getah hingga peluh membasahi badan. Tiba maghrib, emak akan memanggil kami pulang, dan kami berjanji untuk menyambung permainan pada esok hari pula.

Di asrama, petang-petang begini suka sangat meronda keliling maktab. Nak kata jogging tidak juga, lebih kepada menghirup udara segar sambil bersembang, sementara mata meliar mencari seseorang.. hehe!!

Bila melangkah ke alam universiti, petang-petang begini sudah tidak rutin lagi. Kadangkala kuliah membawa ke jam tujuh, memakan waktu petang yang sepatutnya kami ladeni dengan santai-santaian.

Kini, pada alam pekerjaan, petang-petang begini semakin tidak santai. Sinki di dapur masih berisi pinggan mangkuk dan kuali yang belum berbasuh. Nasi belum dijerang, lauk belum dimasak. Tenaga rasanya tidak sebanyak mana. Sepulang dari sekolah jam 2.40 petang tadi, mata teramatlah layu.... Seusai memasak nanti, urusan menggosok baju pula. Belum lagi acara membasuh dan melipat kain.

Seronokkah petang-petang begini jika ada bibik?

Monday, April 25, 2011

Surat dari seorang ibu

Anakku, bila mak tua nanti, mak harap kamu memahami keadaan mak dan bersabar dengan karenah mak. Jika tanpa sengaja mak pecahkan pinggan, atau tumpahkan kuah di atas meja makan kerana mata mak yang makin kabur ini, mak harap kamu tidak menyergah marah pada mak. Orang tua macam mak punya hati yang sangat mudah tersentuh. Jika kamu terjerit-jerit marahkan mak, mak akan rasa kecil hati.

Bila pendengaran mak dah semakin kurang dan mak dah tak berapa dengar kata-kata anak mak, mak harap janganlah panggil mak "pekak!". Ulang sahaja apa yang kamu ingin beritahu, atau tulis pada kertas dan bagi mak baca.

Mak minta maaf, nak.. Mak dah semakin tua.

Bila lutut mak dah makin lemah, mak harap kamu punya kesabaran untuk menolong mak bangun dan berdiri. Seperti yang mak lakukan ketika membantu kamu belajar bertatih, waktu kamu kecil dahulu.

Bersabarlah dengan mak, nak... Jika mak asyik mengulang-ulang cerita sama seperti kaset rosak, teruskanlah mendengar. Janganlah kamu mengejek mak atau rasa bosan mendengar cerita mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu, dan kamu nak main belon? Kamu minta dengan mak berulang-ulang, sampailah mak belikan belon itu pada kamu.

Nak, maafkan mak kerana badan mak mungkin berbau kurang enak. Janganlah memaksa mak untuk mandi. Badan mak sudah lemah. Orang tua macam mak akan cepat demam kalau kesejukan.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu kejar kamu kalau kamu lari sebab tak nak mandi.

Mak harap kamu akan sentiasa bersabar dengan mak jika mak ini menyusahkan kamu. Orang tua macam inilah... Kamu akan faham bila kamu juga tua nanti.

Dan jika kamu ada masa terluang, mak teringin sangat nak berbual-bual dengan kamu. Sekejap pun jadilah. Mak sunyi, mak selalu keseorangan di rumah usang mak ini. Mak tahu kamu sibuk dengan kerja, tetapi kalau tak nak dengar cerita-cerita mak pun, carilah masa untuk jenguk mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu mendengar cerita kamu tentang kawan-kawan, tentang sekolah dan macam-macam lagi. Mak tak pernah bosan mendengarnya berulang-ulang.

Bila nanti mak sakit dan terlantar, mak harap kamu sudi menjaga mak. Maafkan mak kalau mak tak sengaja mengotorkan cadar dan tilam. Mak harap kamu sudi menjaga mak pada saat-saat akhir mak nanti. Mak pun bukannya nak hidup lama lagi.

Bila masa mak dah sampai nanti, mak harap kamu genggamlah tangan mak dan berikan mak kekuatan dan ketenangan untuk berhadapan dengan kematian. Jangan bimbang nak, bila mak bertemu-Nya nanti, mak akan mohon Dia rahmati kamu selalu, kerana kamu anak yang baik, yang sayangkan mak, sayangkan ayah.

Terima kasih nak, sebab jaga mak. Mak sayang kamu.

Kasih sayang dariku,

Emak.

Sunday, April 24, 2011

Sedetik Lebih

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

Wednesday, April 20, 2011

Surat Untuk Muiz


Assalamualaikum Muiz,
Lama sungguh rasanya ummi tidak melihat Muiz. Rindu sangat rasanya. Rupa-rupanya hari ini sudah pun genap setahun usia Muiz. Begitu cepat masa berlalu, rasa baru sahaja menyambut kelahiran Muiz pada tanggal 20hb April 2010 yang lalu.

Wah! Muiz pun sudah pandai ber’facebook’ sekarang! Pantas betul Muiz mengikuti perkembangan ICT. Harap-harapnya, tak lama lagi Muiz akan menulis blog pula ya! Tentu blog Muiz bakal dikunjungi ramai. Maklumlah, Muiz ni kacak orangnya.

Sebenarnya ummi tidaklah ada apa-apa hadiah yang berharga untuk Muiz sempena ulang tahun kelahiran Muiz ini. Ummi cuma mendoakan Muiz membesar sihat dan bijak, menjadi anak soleh kebanggaan mama dan abah Muiz dan sentiasa dilindungi dan dirahmat Allah. Jangan nakal-nakal, dan ingat-ingatlah ummi selalu ya!

Rasanya itu sahaja dari ummi kali ini. Semoga Muiz cepat-cepat dapat adik untuk menemani hari-hari Muiz….

Sayang selalu,
Ummi

Friday, April 15, 2011

Soto


Tiba-tiba sahaja teringat makanan tradisi orang Jawa ni.. Sedap sungguh!

Kali pertama saya merasa makanan ini ialah pada tahun 1990, sewaktu di Matrikulasi MARA Kulim. Waktu itu, guru penasihat a.k.a mentor saya, cikgu Zainol Yunus (perempuan, nama je macam lelaki..) mengajak kami anak-anak menteenya ke rumahnya pada satu hujung minggu. Katanya, dia nak jamu kami makan soto. Eh! Apa tu? Tanpa malu saya bertanya. Cikgu yang manis itu tersenyum dan memberi sedikit gambaran tentang rupa makanan itu. Alaa.. nasi impit, makan dengan kuah sup! Sedap tau!

Pada hari yang dijanjikan, kami tiba awal di rumah cikgu Zainol. Sempatlah saya melihat bagaimana cikgu Zainol dan teman serumahnya cikgu Hapiza menyediakan soto itu. Dan benarlah, ia sangat sedap!

Selepas itu, soto menjadi makanan kegemaran saya. Sewaktu berada di UKM Bangi, saya kerap membeli soto di pasar malam dengan harga RM1.30 sebungkus. Rupa-rupanya, ada juga mi soto dan mihun soto, selain nasi impit soto. Semuanya saya gemar.. hehe!!

Tamat belajar di UKM, saya jarang-jarang berpeluang menikmati makanan kegemaran saya ini sehinggalah saya bertukar ke Kuala Krai. Di sekolah saya itu, ada seorang guru yang berketurunan Jawa, berasal dari Johor. Hajjah Rohaya Madon namanya. Dia rajin memasak dan sangat mahir masakan Jawa. Banyak kali juga kami minta kak Aya masak soto untuk kami dan dia tidak pernah menolak. Kami selalunya akan berpakat, seorang sediakan nasi impit, seorang sediakan taugeh, sambal kicap dan segala macam yang lain untuk melengkapkan soto. Kak Aya akan masakkan sup dan bergedel. Memang kami makan bertambah-tambah. Siap bungkus bawa balik lagi!

Sekarang, saya sudah tidak berada di sekolah itu lagi. Rindu sungguh nak makan soto yang lazat. Pernah sekali saya masak soto sendiri. Kira ok lah juga, guna rempah soto Mak Siti yang saya beli di kedai. Sekarang susah pula nak jumpa rempah itu.

Hai… kenapa hari ini mood menulis tentang makanan pula ya? Tak mengapalah, saya kongsikan resepinya di sini, soto yang ringkas tetapi sedap. Cubalah!

Bahan-bahan (4 org makan)

NASI IMPIT
Ketupat segera nona/adabi - rebus lebih kurang 1 jam
(Kalau rajin nak buat sendiri lagi baik!)

KUAH SUP SOTO
4 ketul dada ayam (direbus)

bahan kisar:
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
6 batang serai

2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis

5 sudu besar rempah sup
5 sudu besar rempah kurma
(Boleh diganti dengan sepeket rempah soto mak siti)

SAMBAL
Cili padi (ikut suka)
1 biji bawang putih
kicap masin (kisar dan masak atas dapur dlm 8-10 minit)

BAHAN-BAHAN TAMBAHAN
tauhu goreng
kacang tanah goreng
soo hoon goreng
daun sup dan daun bawang
taugeh
bergedel

Cara-cara:

1. Rebus ayam hingga masak (airnya jgn dibuang)

2. Tumis bahan2 yg dikisar tadi hingga naik bau, kemudian masukkan rempah sup dan kurma (yang telah dicampur sedikit air).

3. Masukkan pula bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, dan kulit kayu manis. Kacau lebih kurang 15-20 minit.

4. Akhir sekali masukkan air rebusan ayam tadi. Perasakan dengan garam dan jika suka, boleh tambahkan kiub ayam. Masak hingga mendidih.

5. Hidangkan bersama bahan-bahan tambahan.

Thursday, April 14, 2011

Menangis


Percayalah, menangis itu suatu nikmat, suatu kurnia daripada Allah. Siapa kata menangis itu suatu yang sia-sia? Siapa kata menangis itu suatu kelemahan? Siapa kata menangis itu sesuatu yang mengaibkan?

Kajian yang dibuat oleh Dr William Frey daripada Pusat Kajian Mata dan Air Mata di Sant Poll Rams Medical Centre menjelaskan bahawa menangis amat berguna bagi kesihatan jiwa dan emosi seseorang. Tidak elok untuk kesihatan apabila seseorang itu mengekang keinginan untuk menangis dalam keadaan yang mengharuskannya untuk menangis.

Menangislah, kerana tangisan itu menunjukkan kita punya hati dan kaya dengan perasaan. Menangislah, kerana tangisan itu dapat memberi sedikit kelegaan dan ketenangan. Menangislah sambil berdoa, memohon kekuatan dari Allah untuk menempuh setiap ujian dan dugaan. Menangislah dengan penuh perasaan, penuh keikhlasan.

Tetapi bangkitlah selepas tangisan itu hilang. Bangkitlah dengan azam dan semangat yang baru, teruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Teruskan berharap dan bergantung kepada-Nya. Sematkan keyakinan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

(Saya baru lepas menangis, sedih sewaktu membaca blog mawar nafastari. Semoga dia tabah...)



Tuesday, April 12, 2011

12 tahun yang lalu....


Masa, sangat pantas beredar. Gambar ini dirakam pada hari konvokesyen Puan Noor Aziah Myiddin di Universiti Malaya pada sekitar Ogos 1999.

Paling kiri ialah En. Mohd Rifqi Myiddin, ketika ini ustaz muda ini masih solo dan baru berusia 23 tahun. Dia juga sebenarnya telah tamat pengajian di Universiti yang sama, tetapi majlis konvokesyennya hanya akan berlangsung dua bulan lagi. Di sebelahnya ialah arwah ayah kami, En. Myiddin bin Mat Ariff yang sentiasa segak dan kemas berpakaian dalam apa majlis dan situasi sekalipun. Waktu ini ayah berusia 55 tahun, dan baru sembuh dari sakit kuning yang dihidapinya sejak akhir 1998. Tiada siapa pun tahu, ayah cuma sembuh untuk beberapa bulan sahaja dan pada akhir Oktober 1999, sakit ayah kembali menghuni, yang membawa kepada kepulangannya ke sisi al-Khaliq pada 27 Mac 2000.

Di sebelah ayah, tidak lain tidak bukan ialah isteri kesayangan ayah yang juga ibu kami yang tercinta, Pn. Rahmah Che Idris. Pada usia 47 tahun, wajah ibu sentiasa berseri-seri, terutama pada saat meraikan kejayaan anak-anaknya. Di sisinya ialah insan yang diraikan pada hari bersejarah itu, Pn Noor Aziah yang begitu hebat, mendapat ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Kepujian Kelas Pertama. Turut bangga meraikan kejayaan ini ialah suaminya, En. Mohd Syahiman bin Shamsuddin. Mereka baru sahaja dua bulan menikmati hidup berumahtangga pada waktu ini.

Oh ya! Gadis comel berjubah ungu muda itu ialah adik bongsu kami, Noor Zahidah Myiddin. Dalam usia baru 9 tahun sudah terserlah aura ke’jurus’annya, bukan? Apatah lagi jubah itu sangat cantik, yang saya beli dari seorang kawan sewaktu mengajar di Raub pada tahun 1998.

Adinda Noor Ismah Myiddin tidak pula ada bersama-sama di sini. Rasa saya, dia terikat dengan kelas tambahan di SK Kor kerana pada tahun 1999 ini dia sedang berjuang untuk menghadapi UPSR yang cuma tinggal sebulan sahaja. Tentu sahaja dia berada di rumah bersama-sama abang dan kakaknya, Muhammad Myiddin dan Noorul Husna Myiddin yang kedua-duanya sedang belajar di UM Nilam Puri.

Sungguh, masa sangat pantas berlari. Saya masih ternampak-nampak aksi manja adik Zahidah dan Ismah pada usia kanak-kanak mereka. Rupanya kini mereka sudah dewasa, hanya menunggu masa untuk berumahtangga. Saya masih terdengar-dengar suara ayah menegur dan bercanda dengan anak-anaknya. Rupanya kini ayah telah tiada, telah pergi untuk selama-lamanya. Saya juga masih terbayang-bayang wajah ibu yang bertungkus lumus ke sana ke mari mengurus rumah tangga. Rupanya kini ibu sudah lapang, tidak lagi bergelut dengan rutin yang memenatkan.

Alangkah! Sekarang semuanya telah berlalu. Hanya kenangan yang saya simpan, selamanya….

Sunday, April 10, 2011

MC lagi...

Saya tiada pilihan. Daripada menanggung kesakitan di tempat kerja, baiklah saya tergolek di atas katil di rumah sendiri.

Malam tadi saya ke klinik, dan doktor dengan rela hati memberi sijil sakit untuk membolehkan saya berehat di rumah. Terima kasih puan doktor...

Beginilah saya sebulan sekali. Tiada mampu saya menolak ketentuan ini. Sakit yang tiba tak bisa diusir pergi sebegitu saja. Berbiji-biji pil penahan sakit saya telan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak. Saya tak punya upaya lagi. Saya redha.

Selagi ketulan cyst dan fibroid ini masih menghuni diri saya, terpaksalah saya menanggung kesakitan setiap bulan. Kata doktor, ia tidak besar dan tidak perlu dibedah. Setiap tiga bulan saya akan melakukan ujian ultrasound untuk memantau saiz cyst dan fibroid ini. Sejak 2006, saiznya kekal, tiada pembesaran. Maka bertapalah ia di situ, menjadi 'harta' saya dan mengganggu saya sebulan sekali!

Thursday, April 07, 2011

Suratan Kehidupan

Siapalah kita untuk menolak suratan? Hakikat sebuah kehidupan, ada suka ada duka. Apabila diri diuji dengan sedikit kesukaran, tentu ada sejuta hikmah yang kita tidak sedari di sebaliknya. Maka bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Kasihan suami saya. Januari lalu dia dikesan mengidap hipertiroidisme. Setelah mengambil ubat-ubatan yang diberi doktor, kesihatannya kembali pulih dan dia kelihatan ceria kembali. Tetapi tidak lama, dia kemudian mengadu sering kembung perut. Doktor kata gastrik, tetapi lepas makan ubat gastrik masih tidak berubah. Masih seperti itu juga. Doktor pula, entah kerana malas atau penat melayan pesakit (maklumlah hospital kerajaan!), tidak mahu melakukan ujian ultrasound untuk mengesan penyakit lain, sebaliknya hanya menukar ubat kepada ubat gastrik yang lebih kuat.

Suami saya tidak puas hati. Sakitnya tidak juga berkurang. Akhirnya dia ke hospital swasta dan melakukan ujian ultrasound di sana. Kali ini doktor mengesan batu di dalam hempedunya sebesar 8.8 mm.

Kami pasrah menerima kenyataan. Minggu hadapan suami saya akan ke hospital kerajaan membawa keputusan ultrasound dari hospital swasta itu untuk rawatan selanjutnya. Semoga doktor di hospital kerajaan tidak bertangguh lagi dan memberi rawatan yang sewajarnya kepada suami saya.

Alhamdulillah, suami saya menerima kenyataan ini dengan positif. Saya meminta agar dia tidak tertekan kerana setiap penyakit ada ubatnya. Insyaallah, satu hari dia akan sembuh juga. Pun, sekarang dia menderita lagi. Sebiji bisul pula tumbuh di pahanya. Agak besar dan menyukarkan pergerakannya. Aduhai! Apa nak buat, redha sahajalah… Semoga dengan kesakitan dan kesukaran ini, gugurlah dosa-dosa yang ada padanya, amin!

Sejak 14 tahun hidup di sisinya, baru kali inilah saya lihat dia dalam situasi yang agak menekan. Simpati dan kasihan padanya membuak-buak. Ada waktunya, saat melihat wajahnya ketika dia tidur, air mata saya mengalir sayu. Tabah juga suami saya ini, menempuh dugaan bersilih ganti. Semoga Allah mengampuninya dan menyembuhkan sakitnya ini…

Sabarlah suamiku!