Tuesday, April 12, 2011

12 tahun yang lalu....


Masa, sangat pantas beredar. Gambar ini dirakam pada hari konvokesyen Puan Noor Aziah Myiddin di Universiti Malaya pada sekitar Ogos 1999.

Paling kiri ialah En. Mohd Rifqi Myiddin, ketika ini ustaz muda ini masih solo dan baru berusia 23 tahun. Dia juga sebenarnya telah tamat pengajian di Universiti yang sama, tetapi majlis konvokesyennya hanya akan berlangsung dua bulan lagi. Di sebelahnya ialah arwah ayah kami, En. Myiddin bin Mat Ariff yang sentiasa segak dan kemas berpakaian dalam apa majlis dan situasi sekalipun. Waktu ini ayah berusia 55 tahun, dan baru sembuh dari sakit kuning yang dihidapinya sejak akhir 1998. Tiada siapa pun tahu, ayah cuma sembuh untuk beberapa bulan sahaja dan pada akhir Oktober 1999, sakit ayah kembali menghuni, yang membawa kepada kepulangannya ke sisi al-Khaliq pada 27 Mac 2000.

Di sebelah ayah, tidak lain tidak bukan ialah isteri kesayangan ayah yang juga ibu kami yang tercinta, Pn. Rahmah Che Idris. Pada usia 47 tahun, wajah ibu sentiasa berseri-seri, terutama pada saat meraikan kejayaan anak-anaknya. Di sisinya ialah insan yang diraikan pada hari bersejarah itu, Pn Noor Aziah yang begitu hebat, mendapat ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Kepujian Kelas Pertama. Turut bangga meraikan kejayaan ini ialah suaminya, En. Mohd Syahiman bin Shamsuddin. Mereka baru sahaja dua bulan menikmati hidup berumahtangga pada waktu ini.

Oh ya! Gadis comel berjubah ungu muda itu ialah adik bongsu kami, Noor Zahidah Myiddin. Dalam usia baru 9 tahun sudah terserlah aura ke’jurus’annya, bukan? Apatah lagi jubah itu sangat cantik, yang saya beli dari seorang kawan sewaktu mengajar di Raub pada tahun 1998.

Adinda Noor Ismah Myiddin tidak pula ada bersama-sama di sini. Rasa saya, dia terikat dengan kelas tambahan di SK Kor kerana pada tahun 1999 ini dia sedang berjuang untuk menghadapi UPSR yang cuma tinggal sebulan sahaja. Tentu sahaja dia berada di rumah bersama-sama abang dan kakaknya, Muhammad Myiddin dan Noorul Husna Myiddin yang kedua-duanya sedang belajar di UM Nilam Puri.

Sungguh, masa sangat pantas berlari. Saya masih ternampak-nampak aksi manja adik Zahidah dan Ismah pada usia kanak-kanak mereka. Rupanya kini mereka sudah dewasa, hanya menunggu masa untuk berumahtangga. Saya masih terdengar-dengar suara ayah menegur dan bercanda dengan anak-anaknya. Rupanya kini ayah telah tiada, telah pergi untuk selama-lamanya. Saya juga masih terbayang-bayang wajah ibu yang bertungkus lumus ke sana ke mari mengurus rumah tangga. Rupanya kini ibu sudah lapang, tidak lagi bergelut dengan rutin yang memenatkan.

Alangkah! Sekarang semuanya telah berlalu. Hanya kenangan yang saya simpan, selamanya….

No comments:

Post a Comment