Wednesday, August 31, 2011

Salam Kemerdekaan


Tanggal 31 Ogos 1957M, bersamaan dengan hari Ahad, 6 Safar 1377H, Tanah Melayu yang terdiri daripada 12 buah negeri – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Singapura diisytiharkan merdeka.

Bergembira dan bersyukurlah seluruh rakyat jelata kerana telah bebas daripada pemerintahan penjajah yang bermula sejak 1511M lagi. Kedatangan Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula memberi pelbagai pengalaman pahit dan ngeri, pedih dan derita buat sekalian rakyat. Sekian lama mereka mengimpikan kemerdekaan, akhirnya termakbul jua. Sungguh amat mereka menerima berita bahagia ini dengan tangisan kesyukuran.

Saban tahun, tanggal 31hb Ogos ini diraikan sebagai lambang kesyukuran dan kebahagiaan diperintah anak bangsa sendiri. Pelbagai tema bersilih ganti, dan sambutan kemerdekaan ke-54 ini diberi tema “Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera”.

Semoga transformasi benar-benar direalisasi dalam diri setiap anak watan. Transformasi ke arah kebaikan, berjiwa positif dan menggenggam azam untuk menjadikan bumi Malaysia ini tanah air cemerlang dalam setiap aspek. Semua segi, terutama akhlak dan kepatuhan kepada Tuhan.

Doa saya, agar Allah melindungi bumi tercinta ini daripada sebarang anasir perosak yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Amin.

Monday, August 29, 2011

Salam Aidilfitri


1 Syawal 1432H bersamaan 30 Ogos 2011M.

Sama-samalah kita rayakan Aidilfitri dengan penuh rasa taqwa dan keimanan kepada-Nya. Bersyukurlah kerana masih diberi kesempatan untuk berbahagia pada hari raya. Berdoalah agar dapat bersama-sama lagi pada tahun-tahun mendatang.

Buat semua pengunjung blog ini (yang tak berapa ramai mana pun... hehe!! Anak beranak je kot) saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya ada tulisan-tulisan saya yang menyinggung dan menyentuh hati juga perasaan sesiapa. Saya serba kekurangan, tidak banyak ilmu dan sering mengikut kata hati. Maka, maafkanlah saya.

Selamat Hari Raya. Semoga berbahagia selalu.


Hari terakhir Ramadan 1432H

Isnin 29hb Ogos 2011.

Sebaik azan maghrib berkumandang, maka tamatlah anugerah Ramadan untuk kali ini. Jika ada umur, ada kesempatan setahun lagi kita bertemu kembali.

Apakah Ramadan kali ini lebih baik daripada yang telah lalu? Hanya kita dan Allah yang tahu kualiti Ramadan kita. Yang penting kita telah pun mengusahakan yang terbaik dan berazam untuk lebih baik lagi jika ada kesempatan yang diberi Tuhan.

Selamat tinggal Ramadan. Selamat datang Syawal.

Syawal kita rayakan sebagai tanda kemenangan. Biarpun ramai yang bersedih dengan pemergian Ramadan, tidak bermakna Syawal tidak perlu diraikan. Allah mengharamkan kita berpuasa pada 1 Syawal kerana mahu kita merayakan satu kemenangan. Maka berayalah. Kita telah berjaya melalui Ramadan kali ini, mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima-Nya.

Tidak perlu gusar jika tiada kerusi baru, langsir baru, atau permaidani baru. Yang lebih penting ialah diri kita yang baru.

Tahniah kepada umat Islam di seluruh dunia, kerana telah berjaya memenuhi tuntutan agama pada bulan Ramadan. Teruskan kecemerlangan, agar bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Pada saat Islam dan umatnya semakin kerap dihina, semakin kerap dikeji dan semakin dipandang rendah, berazamlah kita untuk menjadi umat terbilang, yang akan mengangkat imej agama suci ini di mata dunia.

Sunday, August 28, 2011

Sufi dan Muiz


Sufi sudah berusia satu tahun sebelas bulan. Sangat cergas dan peramah. Manja juga, terutama dengan Su (selain umminya). Sudah memiliki seorang adik sebagai penghibur - Nasih yang sekarang berusia 3 bulan 2 minggu. Mulutnya petah, makannya berselera.

Muiz pula berusia satu tahun empat bulan. Muda tujuh bulan sahaja dari Sufi. Sudah boleh berjalan, tetapi lebih gemar berlari. Bila jatuh mulalah menangis. Susah juga nak dekati dia sebab takut sangat dengan orang yang tidak dikenali.

Bila datang rumah tok ma, Muiz akan sentiasa berkenan dengan basikal Sufi. Sufi pula sentiasa suka nak main dengan Muiz. Seronok melihat keletah mereka. Kadang ketawa, kadang menjerit tapi tak pernah lagi bergaduh. Agaknya bila besar sikit nanti, mesti jadi kawan karib ni...


Saturday, August 27, 2011

7 Hari Mencintaiku



Ya, ia novel tulisan Siti Rosmizah yang sedang meletup di carta novel Malaysia.

Sebenarnya saya sudah sangat lama tidak membaca novel. Lebih setahun rasanya. Banyak koleksi novel yang saya beli tahun lepas belum sempat saya jamah dan tatap. Bukan hilang minat, tetapi kesempatan bagai tiada.

Minggu lepas, saya ternampak novel ini di atas meja sahabat saya di sekolah. Dia mempelawa saya membacanya dan saya tidak menolak. Tebalnya! Mampukah saya menghabiskan dalam masa yang singkat?

Saya membelek sedikit demi sedikit, sekadar menyapa dahulu. Maklumlah bulan Ramadan ini jika boleh saya ingin lebihkan masa mengaji Quran maka saya ketepikan dahulu novel ini. Namun saya keuzuran pula dua hari lepas, maka saya ambil kesempatan ini untuk menatapnya semampu yang mungkin.

Nampaknya, saya berjaya menamatkan pembacaan saya secara 'speed reading'.

Ia masih kisah tentang kahwin paksa (sama seperti novel-novel Siti Rosmizah sebelum ini) tetapi ia digarap sedikit berbeza. Kali ini watak heroinnya digambarkan sangat kasar dan biadap pada awal cerita, namun akhirnya berubah setelah melalui pebagai peristiwa ujian dan dugaan hidup.

Ada pengajaran, ada peningkatan, pun ada kelemahan. Itu biasa. Semoga Siti Rosmizah akan terus meningkatkan mutu karyanya pada masa akan datang.

Zaman TV

Dahulu, saya memang kaki TV. Maklumlah, budak asrama memang sedikit 'darat' kerana di asrama kami dibenarkan menonton TV pada waktu yang sangat sedikit. Apabila cuti sahaja, TV di rumah saya yang punya! Ayah pun mengerti, tidak pernah memarahi.

Saya masih ingat apabila siaran TV3 mula diterima di Kelantan pada Oktober 1987. Kebetulan saya tamat SRP. Sebaik saya mula bercuti, TV3 menyiarkan satu drama bersiri Kantonis yang cukup hebat - Police Cadet 85. Saya yang belum pernah menonton sebarang drama Kantonis waktu itu sangat terpikat dengan jalan cerita dan pelakon-pelakonnya. Selepas Poice Cadet 85, satu demi satu drama bersiri Kantonis saya ikuti. Antara yang saya masih ingat ialah The Brave Squad, The Shanghai Conspiracy, The In Between, Wheel Of Fortune, The Clone dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, saban malam saya menonton TV hingga tamat siaran. Saya hafal setiap rancangan pada setiap hari. Saya gemar menonton drama-drama Inggeris yang serius seperti Dynasty, Midnight Caller, LA Law, dan juga sitcom seperti Full House (tentunya kerana John Stamos), Growing Pain (Oh Kirk Cameron!), dan drama kepolisan 21 Jump Street (Johnny Depp!). Slot Cerekarama pun saya ikuti yang mana pelakon-pelakon Melayu waktu itu ialah Noorkumalasari, Ogy Ahmad Daud, Ziela Jalil, Melissa Saila, Liza Othman, Julia Rais, Ramona Rahman dan hero yang saya gemari pula ialah Eman Manan, Ahmad Tarmimi Siregar dan Yusof Wahab. Saya turut menggemari slot Panggung P. Ramlee dan Mega Movie.

Semua rancangan saya tonton, kecuali filem Hindi. Saya cuma mula menggemari Hindi sekitar 1999, iaitu selepas saya berkahwin.

Sewaktu menyewa di Kuala Krai, minat untuk menonton TV semakin berkurang. Saya sudah tidak menggemari drama-drama bersiri Melayu kerana ia semakin jauh dari realiti. Pun siri Kantonis masih saya ikuti. Antaranya Golden Faith, The Square Pegs dan Fate Twisters. Apabila drama Korea mula menjengah, saya antara yang meminati tetapi sekadar itu sahaja. Rancangan TV lain tidak melekat di hati saya.

Akhirnya kini, zaman TV saya sudah berlalu. Saya tidak lagi mengetahui rancangan TV dan saya tidak berminat untuk mengetahuinya.

Bukan saya tiada masa untuk menonton, tetapi saya tiada rasa. Saya sendiri tidak tahu mengapa, tetapi menghadap TV sekarang sudah tidak memberi satu kepuasan dan saya sering gagal memberi fokus. Sewaktu Nur Kasih sedang meletup dahulu, saya tidak menonton juga. Namun disebabkan ia terlalu popular, saya tonton juga ketika ia diulangsiar. Itupun bukan setiap episod.

Kini, apabila mereka berbicara tentang rancangan TV, saya sudah tidak mampu menyertai.

Apabila mereka menyebut tentang Kum-Kum, saya tidak tahu. Tahajjud Cinta, saya tidak minat. Ramadan Terakhir, saya tonton beberapa episod dan ia tidak mampu menarik hati saya untuk terus menonton hingga akhir. Rancangan-rancangan lain pada waktu petang pula, tidak mampu saya ikuti kerana terikat dengan dapur...!

Mungkin ada ketika-ketikanya saya turut memaku diri di hadapan TV, tetapi hanya untuk rancangan-rancangan yang tidak memakan masa yang lama. Antaranya Berita TV9 (30 minit sahaja). Rancangan realiti juga saya tidak mampu bertahan lama. Imam Muda baru-baru ini pun, saya hanya menonton sekali sekala. Yang penuh hanya pada episod kemuncaknya. Maharaja Lawak begitu juga. Hanya menonton kumpulan yang saya gemari. Ada waktunya tidak berkesempatan pun, tetapi dek kerana diulang berkali-kali tertontonlah juga!

Mungkin faktor usia, menyebabkan saya hilang minat pada segala rancangan TV. Jangan kata rancangan drama atau hiburan, sukan pun saya tidak mahu menonton lagi. Saya hilang rasa, hilang selera.


Wednesday, August 24, 2011

Some things are best left unsaid

Why?

Because sometimes, by saying a line to express the feeling inside, will hurt other people badly.

Tuesday, August 23, 2011

Jodoh

Selasa, 9hb Januari 1996.

Tepat jam 12.00 malam.

Air mata saya tumpah. Melimpah ruah. Sebak sungguh di sudut hati saya. Pada usia menggenap 24 tahun, hati saya kosong. Sekosongnya. Saya tak punya siapa di ruang istimewa hati saya.

Lama saya menangis, sendirian. Pelbagai peristiwa dan bayangan muncul dalam fikiran. Bukan menyesali takdir tetapi memikir masa hadapan. Akan terus beginikah saya?

Pada saat sahabat-sahabat saya mula mengukir senyum bahagia, mengongsi cerita tentang sebuah perjanjian dan perkasihan, saya masih begini juga. Tiada siapa sudi menyentuh hati dan perasaan saya. Mungkin kekurangan saya lebih menyerlah dan menghalang kehadiran penghuni hati.

Tangis saya berpanjangan ke pagi.

Namun tatkala suria menjelma, saya bagai punya kekuatan baru. Saya usir jauh-jauh segala kegusaran dan saya nekad untuk meneruskan perjuangan dengan penuh harapan pada Allah. Doa saya tidak pernah putus. Tidak pernah. Saya pohon agar Allah kurniakan saya jodoh yang baik, yang dapat menerima segala kekurangan saya. Dan saya ingin menjadi isteri yang baik. Yang sedia menerima segala kekurangan dia. Itu pinta saya saban hari, tanpa jemu.

Masa berlalu, saya semakin tabah dan yakin dengan janji Tuhan. Saya lebih positif dan berdikari. Tiada lagi air mata mengiring perasaan sebak tidak berteman ini. Saya tahu, penantian dan kesabaran ini ada balasan....

Sehinggalah Disember 1997, ia tiba tiba-tiba. Sungguh tidak mampu saya hindari. Bukan terpaksa tetapi saya terima kerana saya yakin inilah jawapan Allah pada doa-doa saya. Maka saya redha. Seredha-redhanya.

Saya tahu, pelbagai suara kedengaran mengulas dan mengupas sisi-sisi seorang lelaki pada calon suami saya. Bukan semuanya positif. Biasalah, paras rupa sering menjadi ukuran utama. Tidak mudah mengubah pandangan masyarakat tentang yang satu ini.

Demi Allah, saya tidak pernah berkira tentang segala yang luaran. Apa yang saya mahu hanyalah keikhlasan dan kebertanggungjawaban tetapi ia langsung tidak dapat saya tebak dari pandangan mata kasar. Maka di sini, saya berdoa dan bertawakkal. Pohon petunjuk-Nya.

Alhamdulillah, setelah hampir 14 tahun berlalu saya masih berasa seperti baru. Dia tidak sempurna tetapi, siapa yang sempurna?

Pengajarannya, letaklah sepenuh harapan pada Allah untuk segala urusan. Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Jika belum bertemu jodoh, jangan putus asa untuk terus berusaha dan berdoa. Allah itu maha mendengar lagi maha penyayang.


Lailatul Qadar

[Genta Rasa]

Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.

Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.

Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.

Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.

Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini, hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70 tahun hidup sebelumnya!

Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.

Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.

Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.

Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.

Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.

Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.

Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.

Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.

Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.

Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).

Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.

Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!

Wednesday, August 17, 2011

Saya Menyokong Keputusan S.S Mufti Pulau Pinang

Tulisan: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.

Tuesday, August 16, 2011

Mercun

Saya benci mercun. Bunyinya sangat mengganggu. Sangat menyakitkan hati dan perasaan. Ia mengusir segala tenteram.

Hairan, mengapa ada manusia yang begitu bahagia dengan bunyi letupan? Gemarkan peperangankah? Seronoknya mereka mendengar dentuman, umpama ia satu terapi mujarab mengubat segala kekalutan! Sialan!

Saban malam saya terganggu. Hati saya sangat sakit. Mereka tidak pernah mahu peduli segala geram di hati-hati penghuni kampung ini. Mereka cuma tahu kebahagiaan palsu mereka apabila membakar mercun di khalayak. Saya benci. Kadang, saya berdoa agar mereka cedera. Jahatkah saya?

Malu saya membaca berita anak jantan beragama Islam cedera tangan dan badan kerana bermain mercun. Lebih malu apabila anak jantan itu kelahiran bumi Kelantan. Bagi saya, mereka sangat bodoh. Bodoh sombong. Tidak boleh diajar. Hebat sangat konon, main mercun berdentum-dentum. Tetapi jiwa pengecut.

Di sekolah juga sama. Saya benci budak-budak lelaki yang sangat bodoh itu. Setiap hari meletupkan mercun. Memberontak? Mereka tidak tahu berfikir dengan waras. Mungkin mereka gila.

Dan saya juga benci penjual-penjual mercun yang begitu tega memakan hasil haram. Semoga Allah menyedarkan mereka sebelum mereka mati. Mungkin mereka perlu disekolahkan, diajar tentang halal haram, siksa kubur, syurga dan neraka.

Rupanya sukar mendidik masyarakat serupa kehendak kita.....


Minda yang gundah

Ada ruang, namun ia tidak kelihatan. Saya terasa bagai hilang. Di awang-awangan tidak. Di bumi nyata juga bukan. Saya benar-benar hilang. Di manakah?

Minda saya gagal menaakul. Nilai positif dalam diri terbang di angin lalu. Nafas turun naik, dada bergelombang tetapi fikiran menerawang ke serata dunia.

Bukan. Itu bukan saya. Saya masih wujud di alam fana ini. Masih dalam penantian untuk beralih ke alam sana. Bukan. Bukan sekarang. Saya masih mahu terus wujud di sini. Di sisi diri sendiri. Saya belum bersedia dipanggil pulang. Bekal saya masih kurang. Beri saya masa, Rabb!

Minda nian gelisah, penat merajai. Jiwa nian keliru, gundah menguasai.

Aduhai! Beginikah resah yang harus saya susuri pada saat-saat jiwa begitu kabut? Saya tidak mahu dalam kelam berterusan. Saya mahu sinar menunjuk arah, membawa saya ke pintu sejahtera. Sejahtera di sini. Sejahtera di sana. Saya ingin sejahtera!

Doakan saya sahabat. Saya takut menjadi manusia yang gagal. Saya tidak mahu, sungguh! Saya ingin diberkati, selamanya....

Amin.

Friday, August 12, 2011

"Abang, tunggu mak di syurga ya!"


Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terakhir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang ‘buncit’.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskan air buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya. “Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir,” begitulah kata mak pada abah. Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga, biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

“Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!” Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka. Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang. Mak bisikkan: “Abang tunggu mak di syurga ya!”

Akhirnya, wajah abang ‘ditutup’. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan. Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana. Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang.

Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak. Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: “Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?” Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu. Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.

Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak, sudah ‘reput’. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, “Nak kek lori sampah!”

Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah. Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.

Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang. Mak bawa abang ke IJN, rumah ‘kedua’ abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.

Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, “Macam mana dengan abang?“ Mak jawab: “InsyaAllah, abang akan sihat!” Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.

Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.

Di rumah, setiap hari mak akan tanya: “Abang nak apa hari ni?” Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: “Mak, abang nak naik kereta bomba!” Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya, “Pergi mana?” Mak jawab: “Balai bomba!”

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: “Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk ‘pergi’! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!”

Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: “Abang nak apa?” Abang jawab: “Abang nak naik lori sampah!” Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu. “Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?” Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sanggup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.

Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak pergi, semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!

Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan. Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital. “Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!” Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang. “Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!” Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang datang melawat. Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilan tak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.

Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.

Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil. Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: “Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi. “Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!”

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia ini.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas. Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu.

Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
“Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!” Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak. “Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?” Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.

Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap. “Abang ngantuk!” Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. “Bang, jom naik. Abang nak ‘tidur’! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.” Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba! Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: “Makkk..sakit perut..!” Dan abang terus memanggil: “Makkkkk!”. Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.

“Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!” Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

“Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!”

Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

“Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!“ Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas…

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah… Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: “Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang… tunggu mak di sana ya! Di syurga!”

Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?

Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.

Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.

Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi ‘kaya’ dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.

Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi. Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i… mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.

Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan ‘mati’ apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

Thursday, August 11, 2011

Sistem SAPS banyak masalah

Petikan daripada akhbar Berita Harian bertarikh 6hb Ogos 2011


SAYA bersetuju dengan komen oleh ‘Norhisham Mohamad, Alor Setar’ mengenai Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) seperti disiarkan dalam ruangan ini pada 30 Julai lalu, bertajuk ‘kewujudan SAPS bebankan guru’.

Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program ini susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.

Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar dari talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

Kami baru diperkenalkan dengan sistem ini pada 25 Julai lalu. Sudahlah kami hanya diberikan modul saja tanpa diajarkan sistem ini sepenuhnya. Sistem ini hanya boleh dibuka bila tidak ramai orang dalam talian iaitu, biasanya selepas jam 3 pagi.

Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian 1, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar.

Bayangkan jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. Sebenarnya sebelum menggunakan sistem SAPS yang diambil dari Perak, guru menggunakan sistem yang diambil dari Johor. Malangnya, apabila sistem baru diperkenalkan kami terpaksa melakukan pengisian markah sekali lagi. Ini sangat membebankan kerana terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali.

Yang peliknya semasa taklimat kami diberitahu bahawa semasa menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan lain dalam sistem ini. Sepatutnya pihak Kementerian Pelajaran terlebih dulu memastikan sistem yang ingin digunakan mestilah mudah dicapai pada bila-bila masa, cekap dan mesra pengguna.

GURU TENSION,
Kajang, Selangor.

Monday, August 08, 2011

Ikhlas atau...


Ragam manusia memang pelbagai. Saya sekadar ingin mencatat pemerhatian saya dalam persekitaran sekolah saya ini.

Seperti sekolah-sekolah lain, sekolah saya juga mengadakan kelas tambahan bagi pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima. Kelas ini dijalankan setiap hari dari jam 2.00 hingga 3.00 petang, dan juga dalam cuti penggal persekolahan. Ia bukan percuma. Guru-guru dibayar sebanyak RM15/kelas bagi kelas waktu petang dan RM20/kelas bagi kelas tambahan masa cuti.

Dapat saya perhatikan perbezaan antara guru-guru dalam situasi ini.

Sebagai setiausaha Unit Kecemerlangan SPM, saya bertanggungjawab membuat pembayaran tersebut kepada guru-guru yang terlibat. Apabila saya menyemak jadual kedatangan, terdapat seorang guru lelaki yang tidak menanda kelasnya. Jika tidak ditanda dalam buku itu, tentunya bayaran tidak dapat dibuat. Apabila saya bertanya, dia menjawab, "Tak mengapalah Ti, saya memang saja-saja tak tanda sebab saya tak nak bayaran."

Rupanya, dia ingin mengajar percuma sahaja kerana katanya ada waktu-waktunya kelas pagi pun tidak dapat dia selesaikan dengan sempurna. Maklumlah, ada kalanya dia cuti sakit, ada ketikanya berkursus. Tentu kelasnya terpaksa ditinggalkan. Dia menganggap kelas tambahan itu sebagai penampung kepada lompang-lompang yang wujud dalam kelas paginya.

Saya kagum. Dia memang seorang yang ikhlas.

Pagi tadi, saya mengumpul buku-buku kedatangan kelas tambahan setiap kelas untuk dihitung jumlah pembayaran. Entah di mana silapnya, buku kedatangan kelas 5 IBK tiada. Saya memberitahu seorang guru perempuan yang mengajar kelas itu tentang ketiadaan buku tersebut. Katanya, "Biarlah Ti, kira tampung-tampung yang sebelah pagi ni..."

Saya juga memberitahu seorang guru lelaki yang mengajar kelas tersebut. Wajahnya agak terkejut, dan membelek-belek buku yang ada sambil berkata,"Eh, kena cari tu. Nanti tak dapat bayaran pula. Kalau tak ada juga, cek dalam buku yang satu lagi tu... saya tulis juga kat situ!"

Saya diam, dan meneruskan hitungan saya.

Sebentar tadi, dia datang lagi dan bertanya, "jumpa tak buku tu?" Saya menggeleng. Dia sekali lagi beria-ia meminta saya bertanya pada pelajar 5 IBK kalau-kalau buku itu ada pada mereka. Dia juga meminta untuk menyemak senarai guru dan bayaran yang telah saya hitung itu. Dia ingin membandingkan jumlah yang dia peroleh dengan guru-guru lain.

Dalam hati, saya rasa terkilan. Begitu bersungguh-sungguh guru ini dengan bayaran, pada hal lebih mulia jika dia sekadar berkata, "tak apalah untuk kelas IBK tu... " kerana dia turut mengajar di tiga lagi kelas lain.

Sekadar renungan pada bulan Ramadan. Semoga kita utamakan keikhlasan, bukan bayaran.

Wallahua'lam..

Dan Hari Ini....

Memang sangat penat. Tekak kering tidak terkata. Kepala pun berpusing-pusing rasanya. Begini rupanya bila tidur tidak cukup! Hari ini pula ada kelas Matematik Tambahan dengan pelajar tingkatan lima dari jam 2.30 hingga 4.30. Bagaimanapun, jam 4.15 petang saya sudah tamatkan kelas. Sungguh saya tidak larat. Rasa gementar tubuh badan.

Suami saya tiba pada jam 4.30 dan kami menuju ke pekan Ketereh untuk membeli juadah berbuka. Tom yam campur, asam pedas ikan patin, gulai jantung pisang dan ikan bakar. Kuih pula dua bungkus jala mas. Untuk minuman, saya beli lai chi kang dan air kelapa.

Jam 5.10 petang kami sampai di rumah. Tuhan maha tahu betapa penatnya saya. Rasa hampir pengsan! Saya rebahkan diri di katil. Sempat membelek surat khabar sekejap, kemudian terlena. Jam 5.35 saya terjaga. Rasa masih tidak berdaya. Mata celik tapi otak bagai terkunci.

Saya bangun juga, solat Asar. Saya teruskan sesi baring-baring saya sehingga 6.28 petang. Suka atau tidak saya mesti ke dapur. Saya jerang nasi, garamkan ayam kampung untuk digoreng dan masak air. Seterusnya saya hidangkan juadah berbuka itu siap-siap sebelum kembali ke bilik untuk sesi baring-baring lagi!

Jam 7.25 petang barulah saya dan suami ke dapur, menanti azan berkumandang untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, selesai berbuka saya rasa bertenaga sedikit.

Selepas maghrib, saya dan suami menonton berita di TV sementara menanti Isya'. Suami saya tidak dapat ke surau untuk bertarawih pada malam ini kerana dia sudah berjanji dengan rakannya untuk ke rumah seorang pakar perubatan tradisional a.k.a bomoh di Meranti untuk rawatan secara tradisional bagi penyakit batu dalam hempedu yang dihidapinya. Jadi dia bersolat Isya' di rumah sahaja dan turun ke rumah kawannya pada jam 9.00 malam. Sebaik suami saya keluar, saya solat Isya' dan mengaji Quran. Mata saya layu benar! Jadi saya putuskan untuk tidur sahaja....

Jam 11.05 malam saya terjaga sewaktu suami saya pulang. Saya tidak mampu bangun, hanya meneruskan tidur sahaja. Kasihan suami saya, tentu dia mencari-cari sesuatu untuk dimakan. Saya nampak dia mencapai balang kerepek dan membawanya ke depan TV. Tak mengapalah, pandai-pandailah dia mengurus dirinya sendiri.

Jam 1.45 pagi, saya bangun dan ke dapur. Saya keluarkan ayam kampung daripada peti ais untuk dilembutkan. Siang tadi suami saya memberitahu dia mahu makan sup ayam kampung untuk bersahur nanti. Hajatnya saya nak masak sebelum tidur tetapi dek kerana kemengantukan yang amat dahsyat, saya tidur tanpa masak apa-apa!

Jam 4.03 pagi, saya bangun lagi untuk memasak sahur. Sup ayam kampung, ikan selar kuning goreng dan petola goreng campur telur. Air teh o ais. Jam 5.00 pagi kami makan sama-sama.

Selesai makan, saya menggosok baju pula. Jam 5.46 saya mandi dan bersedia untuk solat Subuh. Suami saya ke surau. Jam 6.40 kami sama-sama turun untuk berbakti di sekolah kami pula. Semoga perjalanan hari ini diberkati-Nya. Amin.

Sekian untuk hari ini.

Sunday, August 07, 2011

Blackout!

Jam 10.45 malam tadi, saya sudah menyelinap ke atas katil. Suami pula masih menonton tv. Tidak lama, saya lena.

Tiba-tiba saya terjaga. Suasana gelap sangat, dan saya berpeluh satu badan. Terpinga-pinga saya pada awalnya, tetapi akhirnya saya sedar, rupanya blackout! Saya capai handphone saya, oh.. baru pukul 12.50 malam.

Saya cuba untuk tidur kembali tetapi kepanasan yang amat sangat menghalang mata saya lena. Saya ambil surat khabar di tepi katil dan mengipas-ngipas badan sendiri. Tiba-tiba suami saya bersuara, "kenapa ni? Tak ada letrik ya?" Dia baru sedar rupanya, setelah dua puluh minit saya kegelisahan menahan kepanasan.

"Ya, tak panas ke?" Tanya saya.

"Tak..." Jawabnya, dan kembali tidur.

Aduh! Apa perlu saya buat ni? Sekejap lagi saya perlu bangun memasak untuk sahur dan seterusnya bersedia ke sekolah. Kalau berterusan tanpa elektrik, tentu saya kemengantukan!

Saya bangun ke bilik air, bersiram. Oh nikmatnya bila badan disirami kesejukan air pada jam 1.30 pagi...! Selesai mandi, saya cuba untuk tidur tetapi tidak berjaya juga. Kepanasan masih mencengkam.

Saya ke ruang tamu, cuba untuk tidur di sisi pintu sliding yang dibuka. Nyamuklah pula!! huhuhu... rasa nak menangis!

Akhirnya saya kembali ke bilik dan berbaring di katil dengan harapan dapatlah lena sepicing cuma. Kali terakhir jam saya renung, tertera 3.04 am. Dan rasanya saya tertidur, sehinggalah deringan alarm berbunyi pada jam 4.18 am.

Saya bangun, terpisat-pisat. Rasa hanyut dan hampir tumbang kala berdiri. Tetapi dalam kegelapan itu, saya gagahi juga diri menuju ke dapur untuk memasak makanan sahur. Baru sahaja saya panaskan nasi, lampu pun menyala.

Alhamdulillah! Jam 4.30 letrik kembali....!

Selesai sahur jam 5.12 am, saya rebahkan badan ke katil semula. Mohon sedikit lagi lena agar di sekolah nanti saya tidak kebingungan.

Jam 6.00 am, saat suami ingin turun ke surau, saya bangun untuk mandi, solat dan bersiap ke sekolah.

Sekarang, saya masih kemengantukan.....

Adik Beradik

Sedih sungguh saya apabila mendengar kisah dan cerita pergaduhan dan persengketaan adik beradik. Lahir dari rahim yang sama, benih yang sama tetapi mereka tidak pernah mahu bertolak ansur. Masing-masing merajakan ego.

Rumah diroboh, kakak dihalau dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain. Usia bukan muda lagi, sudah menjangkau separuh abad tetapi keduniaan juga yang dipandang. Apalah ertinya sebuah rumah papan jika dibanding dengan nilai persaudaraan adik beradik? Mengapa mereka tidak nampak peri pentingnya keutuhan institusi keluarga? Rasa saya, anak-anak mereka akan turut keliru melihat persengketaan antara orang tua mereka.

Sejak kelahiran manusia dari generasi pertama anak Adam lagi telah disebut tentang perbezaan adik-beradik. Lihatlah kisah Habil dan Qabil, Nabi Yusuf dan abang-abangnya, Nabi Sulaiman dan Absyolum, Nabi Harun dan Nabi Musa.

Allah menjadikan kisah mereka untuk diteladani yang baik dan disempadani yang buruk. Bergaduh, bertengkar di kalangan adik-beradik itu biasa namun yang perlu diambil perhatian ialah jalan penyelesaiannya. Keluarga saya sendiri terdiri daripada adik-beradik yang ramai. Lapan orang semuanya. Memang kami ada juga bergaduh, tetapi tidak pernah disimpan lama. Ikatan kasih sayang antara kami, kami letakkan pada tangga pertama. Emak dan arwah ayah akan menjadi sumber kekuatan dan wajah mereka akan terbayang tatkala api kemarahan antara kami mula membara.

Apapun yang menjadi rencah dalam pergaulan adik-beradik, ia akan menjadi parah melarat kalau pihak terlibat tidak dapat bermuhasabah. Ibu bapa yang berjaya menyemai didikan agama dalam keluarga akan menghasilkan hubungan yang neutral dalam setiap keadaan. Didikan agama bukan sekadar untuk dipelajari tetapi diamalkan dalam menghadapi situasi-situasi seperti ini.

Menjaga hubungan yang baik adalah untuk tempoh yang berpanjangan. Kerana, keharmonian keluargalah yang akan menentukan keharmonian masyarakat. Namun apa yang kita lihat kebelakangan ini adalah hubungan yang rapuh dijangkiti penyakit-penyakit manusia. Mengapa jadi begini?

Saturday, August 06, 2011

Berpuasa di asrama

Zaman persekolahan dulu, tiba-tiba di mataku....

Memang semuanya manis. Amat manis apabila dikenang kembali. Sayang, zaman itu telah berlalu dan hanya mampu saya simpan dalam ingatan.

Puasa di asrama amat mudah. Semuanya tersedia, terjamu tepat pada waktunya. Dewan makan beroperasi seawal jam 3.00 pagi untuk sahur, dan ditutup sekitar 5.00 pagi. Bangun sahur memang payah, tetapi tetap saya gagahi juga demi keberkatan. Mujur juga pelajar lelaki dan pelajar perempuan diletak di bahagian berasingan, dapatlah kami turun ke dewan makan dengan berbaju tidur sahaja... Kepala sekadar ditutup dengan skaf, hehe!! Mata pun masih merah lagi sewaktu mengambil tray mengisi nasi.

Selepas sahur, sempat lagi tidur balik sebelum bangun solat subuh dan masuk kelas. Habis kelas jam 2.05 petang, terus balik asrama dan tidur lagi. Waktu dulu, prep petang tidak diwajibkan. Dapatlah saya menidurkan diri sehingga ke petang!

Makanan untuk berbuka akan dihidang bergilir-gilir mengikut asrama. Jika giliran asrama saya, maka selepas solat Asar kami akan ke dewan makan untuk menyusun tray, mengisi nasi, lauk dan kuih serta air di setiap meja. Pelajar akan duduk di meja mengikut asrama masing-masing. jika bukan giliran asrama saya, selesai solat Asar saya akan keluar bersiar-siar di sekeliling maktab bersama rakan-rakan. Ambil angin, sementara menunggu waktu berbuka. Selesai berbuka, saya segera balik ke asrama untuk solat maghrib dan bersedia ke surau untuk tarawih. Selepas tarawih, ada makanan disediakan oleh pihak kantin di surau. Selalunya kuih muih dan air. Seterusnya, kami pergi prep.

Prep tamat jam 10.30 malam, saya ke dewan makan lagi. Kali ini kami dihidangkan dengan roti cecah sup, atau mi goreng. Selesai makan, kami pulang dan bersedia untuk tidur. Rutin yang sama berulang lagi keesokan hari.

Jika dibandingkan dengan berpuasa di rumah, rasa saya di asrama lebih selesa. Saya tidak perlu bersusah payah memasak makanan kerana semuanya tersedia di dewan makan, hanya perlu dihidang dan itu pun mengikut giliran. Tetapi, kesedapan makanan dewan makan asrama tentu sekali tidak sama dengan masakan ibu di rumah...

Friday, August 05, 2011

Pasar Ramadan

Hari ini 5 Ramadan, bermakna sudah hari kelima kita berpuasa. Tetapi belum sekali pun kami ke pasar ramadan. Hari-hari saya masak. Makan berdua saja pun tetap masak jugak!
Hari pertama puasa saya masak sup ayam, ayam kampung goreng dan sayur bayam campur bilis. Kuih tak ada, cukup dengan buah kurma dan buah nenas yang dipotong kecil dan digaul dengan gula dan garam. Air pula saya buat air laici. Untuk sahur, masih lauk yang sama cuma tambah ikan masin goreng yang suami beli di Sabah.
Hari kedua pula, saya masak sayur lemak petola dan jagung muda, ayam goreng halia dan udang celup tepung. Masih tanpa kuih, mengekalkan pengambilan buah-buahan iaitu mangga dan tembikai selain buah kurma. Sahur pula, saya goreng ikan selar dan sayur lemak tadi masih berbaki.
Hari ketiga, ikan kerisi goreng berempah dicecah air asam jawa, ayam goreng dan sayur bayam. Kali ini saya sediakan air tembikai dan buah kurma sebagai pemanis mulut. Kuih tetap tiada.
Semalam, hari keempat, saya masak daging goreng, ikan selar kuning pedas dan petola celur cecah budu tempoyak. Saya beli kuih lompat tikam tetapi hanya saya seorang yang makan sebab suami lebih gemarkan buah-buahan. Ada jambu, mangga, tembikai dan nenas. Sahur kali ini saya masak nasi goreng dan telur dadar.
Hari ini bagaimana? Oh, suami saya ada jemputan berbuka di rumah jiran. Jadinya, saya mahu bercuti daripada memasak. Tentu sekali saya mengimpikan pasar ramadan. Wah! Tentu lazat makanan saya hari ini selepas empat hari memerah otak dan tenaga mencari idea untuk memasak.
Ini hajat saya hari ini - nasi ayam, murtabak, laici kang dan taufu fa. Mungkin juga sebungkus sup tulang dan kuih muih. Harapnya, sempat disimpan untuk bersahur juga.
Oh pasar ramadan, hari ini saya bakal menghadirimu!!

Thursday, August 04, 2011

Solat di masjid bagi wanita


RAMADAN berkunjung lagi dan seperti biasa kedatangannya menjadi berita gembira buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ahli ibadat menjadikan bulan ini bagai pesta, menggandakan amalan dan kebajikan seperti dilakukan Rasulullah SAW serta para sahabat.

Di Malaysia, hampir seluruh masjid serta surau penuh dengan jemaah lelaki dan wanita yang berebut-rebut bersolat memuji Allah SWT, bertasbih, memohon keampunan, rahmat, hidayah serta pertolongan-Nya.

Walaupun Islam tidak mewajibkan wanita solat berjemaah di masjid, Islam tidak pula melarang, melainkan ada halangan tertentu yang mengutamakan mereka bersolat di rumah. Wanita sudah melazimkan diri solat di masjid sejak zaman Rasulullah SAW.

Dikisahkan Ummul Mukminin Aisyah:
Bahawasanya Rasulullah SAW melaksanakan solat Subuh dan solat bersama dengan Baginda wanita mukminah yang tertutup tubuh mereka dengan hijab, kemudian mereka pulang ke rumah dan tiada seorang pun mengenali mereka.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW juga pernah mempercepatkan solatnya apabila terdengar tangisan anak kecil kerana tidak mahu meresahkan ibu yang sedang solat.

Hakikat ini terakam dalam hadis bermaksud:
“Sesungguhnya aku memulai solat dan aku bermaksud memanjangkan solat, tetapi ketika mendengar tangisan anak kecil aku mempercepatkan solatku kerana tahu kuatnya perasaan ibunya apabila mendengar tangisan anaknya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda mafhumnya:
“Janganlah kamu melarang isterimu melaksanakan solat di masjid, tetapi solat di rumah mereka lebih baik bagi mereka.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Justeru, ramai wanita yang berpusu-pusu ke masjid selepas mendengar seruan solat berjemaah, termasuk Fatimah binti Qais. Beliau adalah antara sahabiyah yang termasuk dalam golongan awal berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Beliau menceritakan, beliau bergegas ke masjid sebaik mendengar seruan solat berjemaah dan berada bersama Rasulullah di saf pertama wanita.

Namun, perlu diingatkan, ada sebabnya wanita tidak dituntut solat berjemaah di masjid seperti lelaki. Tetapi jika wanita dapat memenuhi syarat membolehkan mereka ke masjid, maka mereka boleh lakukannya tanpa halangan syarak.

Pertama, wanita harus memastikan tanggungjawab yang lebih utama dilangsaikan terlebih dulu kerana Islam tidak ingin membebankan wanita dengan kewajipan solat di masjid sedangkan pada masa sama mereka mempunyai kewajipan besar terhadap anak dan rumah tangga.

Meskipun begitu, mereka tidak dilarang ke masjid, bahkan suami juga diingatkan supaya tidak menghalang isteri ke masjid melainkan jika mereka mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila isteri salah seorang daripada kamu minta izin untuk melaksanakan solat di masjid, maka janganlah ia melarangnya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Kedua, wanita tidak perlu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika mereka tidak menunaikan kewajipan menutup aurat, memakai wangian dan berhias melampaui batasan syarak. Ada segelintir jemaah wanita hanya menutup aurat dengan betul sewaktu hendak menunaikan solat saja.

Ia sangat menjengkelkan kerana perbuatan itu seolah-olah mempermainkan tuntutan agama. Sewaktu mengambil wuduk pula, ada sebilangan yang mendedahkan aurat tanpa segan silu dipandang bukan mahram.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Apabila ada salah seorang dari kaum (wanita) hendak mendatangi masjid, maka hendaklah ia tidak menyentuh wangian.” (Hadis riwayat Muslim)

Wanita di Malaysia harus bijak memanfaatkan laluan yang luas untuk mereka beribadat. Tiada sebab mereka mengabaikan perintah Allah SWT, malah Ramadan adalah masa paling sesuai berikutan mereka mempunyai ruang dan peluang lebih mudah untuk menggandakan hidayah.

(Petikan artikel tulisan Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh)