Thursday, August 04, 2011

Solat di masjid bagi wanita


RAMADAN berkunjung lagi dan seperti biasa kedatangannya menjadi berita gembira buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ahli ibadat menjadikan bulan ini bagai pesta, menggandakan amalan dan kebajikan seperti dilakukan Rasulullah SAW serta para sahabat.

Di Malaysia, hampir seluruh masjid serta surau penuh dengan jemaah lelaki dan wanita yang berebut-rebut bersolat memuji Allah SWT, bertasbih, memohon keampunan, rahmat, hidayah serta pertolongan-Nya.

Walaupun Islam tidak mewajibkan wanita solat berjemaah di masjid, Islam tidak pula melarang, melainkan ada halangan tertentu yang mengutamakan mereka bersolat di rumah. Wanita sudah melazimkan diri solat di masjid sejak zaman Rasulullah SAW.

Dikisahkan Ummul Mukminin Aisyah:
Bahawasanya Rasulullah SAW melaksanakan solat Subuh dan solat bersama dengan Baginda wanita mukminah yang tertutup tubuh mereka dengan hijab, kemudian mereka pulang ke rumah dan tiada seorang pun mengenali mereka.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW juga pernah mempercepatkan solatnya apabila terdengar tangisan anak kecil kerana tidak mahu meresahkan ibu yang sedang solat.

Hakikat ini terakam dalam hadis bermaksud:
“Sesungguhnya aku memulai solat dan aku bermaksud memanjangkan solat, tetapi ketika mendengar tangisan anak kecil aku mempercepatkan solatku kerana tahu kuatnya perasaan ibunya apabila mendengar tangisan anaknya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda mafhumnya:
“Janganlah kamu melarang isterimu melaksanakan solat di masjid, tetapi solat di rumah mereka lebih baik bagi mereka.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Justeru, ramai wanita yang berpusu-pusu ke masjid selepas mendengar seruan solat berjemaah, termasuk Fatimah binti Qais. Beliau adalah antara sahabiyah yang termasuk dalam golongan awal berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Beliau menceritakan, beliau bergegas ke masjid sebaik mendengar seruan solat berjemaah dan berada bersama Rasulullah di saf pertama wanita.

Namun, perlu diingatkan, ada sebabnya wanita tidak dituntut solat berjemaah di masjid seperti lelaki. Tetapi jika wanita dapat memenuhi syarat membolehkan mereka ke masjid, maka mereka boleh lakukannya tanpa halangan syarak.

Pertama, wanita harus memastikan tanggungjawab yang lebih utama dilangsaikan terlebih dulu kerana Islam tidak ingin membebankan wanita dengan kewajipan solat di masjid sedangkan pada masa sama mereka mempunyai kewajipan besar terhadap anak dan rumah tangga.

Meskipun begitu, mereka tidak dilarang ke masjid, bahkan suami juga diingatkan supaya tidak menghalang isteri ke masjid melainkan jika mereka mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila isteri salah seorang daripada kamu minta izin untuk melaksanakan solat di masjid, maka janganlah ia melarangnya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Kedua, wanita tidak perlu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika mereka tidak menunaikan kewajipan menutup aurat, memakai wangian dan berhias melampaui batasan syarak. Ada segelintir jemaah wanita hanya menutup aurat dengan betul sewaktu hendak menunaikan solat saja.

Ia sangat menjengkelkan kerana perbuatan itu seolah-olah mempermainkan tuntutan agama. Sewaktu mengambil wuduk pula, ada sebilangan yang mendedahkan aurat tanpa segan silu dipandang bukan mahram.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Apabila ada salah seorang dari kaum (wanita) hendak mendatangi masjid, maka hendaklah ia tidak menyentuh wangian.” (Hadis riwayat Muslim)

Wanita di Malaysia harus bijak memanfaatkan laluan yang luas untuk mereka beribadat. Tiada sebab mereka mengabaikan perintah Allah SWT, malah Ramadan adalah masa paling sesuai berikutan mereka mempunyai ruang dan peluang lebih mudah untuk menggandakan hidayah.

(Petikan artikel tulisan Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh)

No comments:

Post a Comment