Sunday, August 07, 2011

Adik Beradik

Sedih sungguh saya apabila mendengar kisah dan cerita pergaduhan dan persengketaan adik beradik. Lahir dari rahim yang sama, benih yang sama tetapi mereka tidak pernah mahu bertolak ansur. Masing-masing merajakan ego.

Rumah diroboh, kakak dihalau dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain. Usia bukan muda lagi, sudah menjangkau separuh abad tetapi keduniaan juga yang dipandang. Apalah ertinya sebuah rumah papan jika dibanding dengan nilai persaudaraan adik beradik? Mengapa mereka tidak nampak peri pentingnya keutuhan institusi keluarga? Rasa saya, anak-anak mereka akan turut keliru melihat persengketaan antara orang tua mereka.

Sejak kelahiran manusia dari generasi pertama anak Adam lagi telah disebut tentang perbezaan adik-beradik. Lihatlah kisah Habil dan Qabil, Nabi Yusuf dan abang-abangnya, Nabi Sulaiman dan Absyolum, Nabi Harun dan Nabi Musa.

Allah menjadikan kisah mereka untuk diteladani yang baik dan disempadani yang buruk. Bergaduh, bertengkar di kalangan adik-beradik itu biasa namun yang perlu diambil perhatian ialah jalan penyelesaiannya. Keluarga saya sendiri terdiri daripada adik-beradik yang ramai. Lapan orang semuanya. Memang kami ada juga bergaduh, tetapi tidak pernah disimpan lama. Ikatan kasih sayang antara kami, kami letakkan pada tangga pertama. Emak dan arwah ayah akan menjadi sumber kekuatan dan wajah mereka akan terbayang tatkala api kemarahan antara kami mula membara.

Apapun yang menjadi rencah dalam pergaulan adik-beradik, ia akan menjadi parah melarat kalau pihak terlibat tidak dapat bermuhasabah. Ibu bapa yang berjaya menyemai didikan agama dalam keluarga akan menghasilkan hubungan yang neutral dalam setiap keadaan. Didikan agama bukan sekadar untuk dipelajari tetapi diamalkan dalam menghadapi situasi-situasi seperti ini.

Menjaga hubungan yang baik adalah untuk tempoh yang berpanjangan. Kerana, keharmonian keluargalah yang akan menentukan keharmonian masyarakat. Namun apa yang kita lihat kebelakangan ini adalah hubungan yang rapuh dijangkiti penyakit-penyakit manusia. Mengapa jadi begini?

No comments:

Post a Comment