Tuesday, November 29, 2011

Deko Deko Deko...

Saya akui, saya fail bab ini. Bab dekorasi, hiasan dalaman dan kekemasan rumah. Memang, saya sentiasa fail sebagai seorang wanita sejati. Segi apa pun...

Sejak awal cuti lagi saya berhasrat untuk melakukan sesuatu pada rumah saya yang sudah berusia tujuh tahun itu. Segala isi perutnya sudah dimakan masa tetapi saya masih belum mahu mengubah rasa. Mudah berasa selesa, itulah saya. Tiada keinginan untuk bertanding dengan siapa-siapa, dan saya puas hati dengan apa yang ada. Oh! Positif sungguh!!

Namun saya perlu akur dengan tuntutan hidup bermasyarakat. Jika pun saya selesa, orang-orang yang bertandang entahkan berbisik sesama sendiri betapa terkebelakangnya cita rasa saya. Saya tidak malu sebenarnya, cuma tidak mahu mereka menambah dosa mengumpat-ngumpat hiasan rumah saya. Ada baiknya saya berlaku adil, demi kesejahteraan sejagat. Sekali lagi, saya memang positif.

Lalu, selepas berbincang sepatah dua kata dengan cinta hati saya, kami pun bersetuju untuk berbelanja sekadar mampu. Untuk bulan ini, saya sasarkan dahulu pembelian katil dan tilam baru, almari hiasan (yang belum pernah ada), rak buku tambahan (kerana yang sedia ada itu sudah tidak mampu menampung jumlah buku yang bertambah setiap bulan) dan rak kasut baru menggantikan rak lama (yang sudah hancur itu).

Seawal pagi hari ini, saya keluar bersama-sama suami saya menuju ke destinasi pertama kami iaitu HUSM Kubang Kerian. Bukan! Kami bukan mahu meninjau-ninjau perabot di situ. Mana ada hospital jual perabot, kan? Saya menemaninya ke Klinik Rawatan Keluarga untuk diambil sampel darah sebelum sesi janji temunya dengan doktor pada minggu hadapan.

Selesai urusan di situ, kami menuju ke Padang Enggang untuk singgah sarapan. Nasi berlauk ayam gulai campur ikan kering dan sayur untuk saya, nasi berlauk serati untuk dia, air nescafe tarik untuk saya, air teh o untuk dia dan empat biji kuih melengkapkan menu kami pagi ini. Harganya RM12.00. Bolehlah..

Jam menghampiri 10 pagi. Kami teruskan agenda kami - yang utama - iaitu ke kedai Ghazali Perabot (sepatutnya Perabot Ghazali, kan? Tidak peka mereka ini..) Setibanya kami di situ, pekerjanya yang cantik manis menyambut kami dengan senyuman mesra. Kami dibawa meninjau-ninjau perabot yang kami ingini.

Dipendekkan cerita, saya membeli sebuah almari hiasan berharga RM1550, sebuah katil Divan berharga RM950, sebuah tilam Vono Maya Karin (RM690), sebuah rak buku (RM270) dan sebuah rak kasut (RM90). Harga yang diberi adalah harga istimewa kerana kami pelanggan tetapnya. Sebelum pulang, kami disajikan dengan milo ais untuk menghilang dahaga.

Jam empat petang, barang-barang kami selamat tiba di rumah.

Sekarang, barang-barang itu masih tersadai di ruang tengah. Hajatnya, sehari dua lagi akan kami usung dan susun di tempat yang sepatutnya. Semoga tenaga kami cemerlang untuk aktiviti segemilang itu. Amin.


Inilah perabot yang saya beli hari ini. Rak kasut tiada dalam gambar kerana telah diletak di tempat yang sepatutnya.

Purdah


Mungkin ramai yang perasan dan tidak perasan,
godaan baru kepada hawa nafsu serakah lelaki hari ini ialah
melalui wanita yang memakai jubah fancy berlabuci dan bermanik indah,
berpurdah menyembunyikan wajah, mata bermaskara
untuk menjadikannya bulat menyerlah, memakai contact lense
berwarna, bulu mata ditebal dan dilentik,
kemudian merenung manja.

Gayanya seperti berkata, "aku the muslimah, pandanglah aku, datanglah kepadaku!"

[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil]

Saya sangat tertarik dengan kenyataan Ustaz ini. Rupanya, wanita yang sudah hampir seratus peratus berbungkus pun masih mampu mencairkan perasaan lelaki hanya dengan lirikan mata! Hebat sungguh penangan wanita dan lelaki pula, memang sangat mudah tergoda!

Memang kenyataannya begitu. Maka wanita-wanita sekalian, fahamilah batasan kita. Menutup aurat sempurna sudah, jangan dicemari pula dengan aksi menggoda. Bukan setakat rambut dan bentuk tubuh menjadi larangan, gaya jelingan dan solekan mata juga mesti dibataskan.

Privasi

Kenapa ya, saya sangat suka berdiam?

Jika saya sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor di klinik O&G HUSM Kubang Kerian, saya sentiasa mengelak untuk berada di tempat ramai. Saya mencari kawasan terpencil, untuk bersendiri. Saya mengambil beberapa buah majalah dan buku sebagai teman. Saya enggan berbual dengan siapa-siapa. Saya tidak selesa.

Namun dek kerana ramai orang, kawasan terpencil itu menjadi public juga. Akan ada hamba Allah datang dan duduk di sebelah saya. Mula-mula, melempar senyum. Kemudian bertanya khabar, dan lama-lama mengajak berbual. Aduh! Saya gagal mengelak!

Kenapa ya, saya sedemikian rupa?

Berbual bagi saya, bukan suatu aktiviti yang menyeronokkan. Selain dengan keluarga dan sahabat handai, saya tidak punya topik yang menarik untuk dibualkan dengan orang yang baru saya kenali. Saya lebih selesa berdiam. Malah, jika mereka banyak bertanya pun, saya sangat tidak suka menjawab. Kenapa mereka ingin tahu serba serbi? Sikit-sikit sudahlah. Malah, pandangan mereka pun saya tak minta!

Egokah saya? Atau sombong?

Bukan. Saya cuma inginkan privasi. Saya senang menyimpan beberapa perkara untuk diri sendiri. Jika mereka bertanya, saya menjawab sekadarnya. Sepatutnya, mereka berhenti di situ. Tidak perlu lebih-lebih memberi pandangan itu dan ini kerana saya tidak pernah meminta.

Maafkanlah saya. Manusia memang berbeza. Saya jenis yang mengutamakan kebersendirian, dan enggan mengambil tahu lebih-lebih tentang hal orang. Mungkin kerana itu, saya selesa bersunyi-sunyi di rumah. Saya tenang berseorangan di bilik saya di sekolah. Saya gemar melayan perasaan saya, dan enggan mencampuri hal orang lain.

Pun begitu, jangan salah sangka. Saya masih seorang yang normal!

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah


Semakin jauh perjalanan, semakin dekat kematian
Semakin bertambah bebanan, semakin kurang keupayaan
Hanya iman dan keyakinan mampu mengayuh perahu kehidupan
Penuh ketenangan menempuh kehidupan
Tuluslah dengan TUHAN, tuluslah sesama insan
Berhijrahlah kita ke daerah kebaikan

Saturday, November 26, 2011

Selamat Pengantin Baru


Selamat pengantin baru buat Fakhruddin Hj Sulaiman (Udin, 27 tahun) dan Raba'atul Adawiyah Abdullah (Ada, 24 tahun). Udin merupakan anak saudara suami saya, dan menjadi cucu Mek yang pertama berkahwin. Kami mendoakan agar perkahwinan Udin dan Ada ini diberkati dan dirahmati Allah, serta diserikan dengan cahaya mata yang soleh dan solehah. Selamat menempuh alam baru, yang indah tetapi penuh dengan dugaan. Semoga tabah dan sentiasa cekal menyimpul kasih sayang bersama... Amin!

Tuesday, November 22, 2011

A Doctor in The House

Hari ini saya menerima bungkusan pos laju daripada MPH, berisi buku idaman saya - A Doctor in the House, Mahathir Mohamad. Sewaktu pelancarannya sekitar Mac lalu, saya memang sangat berhasrat untuk memiliki buku tulisan mantan PM ini, tetapi tiada ruang dan peluang untuk saya celahi. Dek kesibukan tugas, ia mengabur dari ingatan.

Minggu lepas, buku ini kembali mengetuk fikiran. Kali ini saya enggan berlengah lagi. Sementelah cuti sekolah kian menghampiri, tentu ia menjadi waktu terbaik untuk saya menelaah naskhah ini. Tanpa banyak bicara, saya menempahnya di MPH Online, dengan harga RM100.00 dan kos pos RM7.00.

Saya berharap ia mampu saya hadamkan dalam tempoh bercuti ini.

Monday, November 21, 2011

Cerpen III

Di bawah pohon kemboja itu Ina pula yang menangis di atas pusara yang kulihat masih baru berbanding pusara datuk, nenek dan Ucu. Pastilah penghuninya seorang yang sangat dia sayangi. Aku tidak mengenal pemilik pusara ini jadi tidak ada tangisan yang ingin kuberi. Namun hatiku kuat menyatakan, aku pernah ke sini. Bau kemboja ini pernah kucium dahulu. Mungkin terlalu lama sehingga aku tidak mampu mengingatnya lagi.

"Arwah ini, kemalangannya dengan apa?" Perempuan gemuk itu bertanya. Aku memandangnya. Ina tidak menjawab tetapi tangisannya semakin kuat. Mama menarik perempuan gemuk itu jauh dari kami. Tangisan Ina semakin kuat dan dia memelukku.

"Jangan menangis Ina. Mama dah marah dia." Ucapku cuba menenangkan Ina.

Dia menunduk memandang ke pusara dan mataku mengekori matanya. Di situ tertera nama penghuni pusara itu. Perlahan-lahan aku cuba membaca. Bibirku bergetar tiba-tiba. Mengapa nama itu harus tertulis di sini? Kuulang membacanya sekali lagi. Mengapa nama itu yang tertulis di pusara sepi ini? Tidak mungkin! Aku berlutut di rumput yang basah, cuba membaca tulisan itu dari dekat. Ia kini jelas kulihat - Ahmad Zulhaidi bin Razali, 22 Jun 1971 - 24 September 1999.

Aku terjaga di rumah mama ketika hari telah pun bertukar malam. Kulihat Ina berada di hujung katilku merenungku dengan mata yang sembap. Mama pula berada di sebelahku mengusap dahiku dengan tuala basah.

"Mama, bagikan Sara kotak itu.." Kulihat mama dan Ina termangu-mangu, berpandangan sesama sendiri.

"Kotak hadiah hari jadi Sara.." Ulangku perlahan. Dalam enggan kulihat mama keluar dari kamarku dan kembali lagi dengan kotak kecil itu pada tangannya. Aku membuka pembalutnya dengan tangan gementar. Kembali kuingat tarikh 24 September yang lalu. Hari terakhir kulihat Adi adalah juga hari pertama aku melihat kotak kecil ini. Ia pulang bersama-sama beberapa barangan Adi yang lain yang diambil daripada rangka Satria GTi yang hancur remuk itu. Aku tidak pernah membukanya kerana bukan hadiah ini yang kuharapkan untuk kembali.

Seutas rantai emas dengan loket berlian berbentuk hati kukeluarkan dari kotak kecil itu. Di belakang loket itu terukir cantik, 'Selamat Hari Jadi Sara - 1 Oktober 1999'. Adi pastinya menempah rantai itu lebih awal. Dia tidak sempat mengalungkannya sendiri pada leherku.

"Terima kasih Adi," loket itu kukucup. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupku, mengajar erti kelembutan dan kasih sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan, juga janji yang tidak dimungkiri. Terima kasih juga pada tahun-tahun yang pernah kita kongsi, pada kebahagiaan yang pernah Sara miliki.

Tangisanku pun tidak terbendung lagi mengingat dia yang kukasihi. Dia yang telah menghantarku kembali ke pangkuan mama pada hari terakhir hidupnya, bagaikan mengerti dia tidak mampu lagi melindungiku. Suamiku yang tidak ingin memperjudikan keselamatanku bersendirian tanpanya, sanggup pula memperjudikan keselamatannya membuat perjalanan jauh tanpa rehat. Perjalanan yang telah membunuhnya.

"Maafkan Sara, Adi," kukucup loket itu berkali-kali.

"Sara, bawa mengucap Sara," kudengar suara mama berbisik di telingaku. Tangannya mengusap rambutku seperti aku kecil dahulu, seperti ketika Ucu meninggalkan aku.

"Tuhan tak lupakan Sara, mama. Tuhan beri Sara penawarnya." Loket itu kukucup lagi. "Kini Sara sudah cukup kuat untuk menerima. Sara sudah ingat semuanya. Sara sudah ingat apa yang berlaku, mama!"

Mama dan Ina berpandangan. Tersentuh hatiku dengan pengorbanan mereka berdua yang menjaga aku selama aku hanyut dalam dunia ciptaanku. Aku hidup berdasarkan ilusi dan halusinasi dalam mengharapkan Adi kembali. Ina yang tabah selalu cuba melindungi diriku daripada terus dibayangi ingatan bersama Adi. Menutup radio setiap kali lagu kenangan itu berkumandang. Mama pula bagaikan telah memaku telinga di pintu kamarku sehingga selalu bersedia berada di sisiku setiap kali aku tidak dapat mengawal kedukaanku.

"Mama, kita buat tahlil untuk arwah Adi." Mama dan Ina bagaikan tidak percaya yang aku kini sudah kembali di alam realiti.

Sesungguhnya aku pasrah yang Adi tidak akan kembali, tetapi sekurang-kurangnya Sara telah kembali. Perlahan-lahan aku bangun dari katil menuju ke tingkap kamarku yang terbuka. Sinaran bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri itu dan aku bagaikan dapat melihat Adi memetik gitar dan mendendangkan lagu itu untukku.

Kerana kau isteri
kuingin kau mengerti
bahawa hidup ini
tak semudah yang kita janjikan
yang kita janjikan....

Kuseka air mata di pipi dan kukalungkan rantai pemberiannya itu pada leherku. Sara akan cuba mengerti. Kerana meskipun dia telah pergi dan tidak akan kembali, tetapi Sara bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia pernah hadir untuk Sara miliki. Biarlah dia bersemadi dengan aman kerana di dalam hati Sara, juga di satu daerah yang paling sunyi, Adi akan terus kekal dan abadi. Ya, dia akan selalu di situ. Di atas bangku bambu, di bawah sinar bulan.

TAMAT

(Dipetik dari majalah JELITA, November 2002 Tulisan Suria Matilda)

Sunday, November 20, 2011

Cerpen II

Adikku bukan sahaja berubah sikap menutup radio setiap kali lagu itu berkumandang malah lebih jauh lagi telah mencadangkan kepada mama agar meroboh saja bangku bambu itu. Aku tidak akan membenarkannya dan aku tahu mama juga tidak mengizinkannya. Semua orang tahu di bangku bambu itu tempat kududuk menunggu Adi setiap hari. Ia bukan sahaja menjadi tempatku mengubat rindu, malah satu-satunya temanku pada malam begini.

Kuingin kaujadi wanita mulia
yang tahu harga budi dan hati
seorang lelaki bernama suami

Nyanyianku terhenti tiba-tiba. Mungkinkah lagu itu membawa pesanan Adi untukku? Mungkinkah sebagai isteri, aku telah gagal memenuhi impian seorang suami? Ah, kalaulah Adi berterus-terang, aku berjanji membaiki segala kelemahan. Sara berjanji menjadi isteri sebagaimana Adi inginkan. Sara tidak akan meminta lebih daripada yang diberi. Sara akan menjadi isteri yang membanggakan Adi. Lembut dan patuh. Katakanlah apa saja, segala-galanya akan Sara terima.

Tidakkah Adi ingin kembali? Berpadankah hukuman yang Adi berikan dengan kesalahan kecil yang tidak Sara sedari? Adi sendiri memanjakan Sara sehinggakan Sara terbiasa begitu. Sehingga Sara terlupa untuk memberi kerana terlalu banyak menerima.

"Mama, hari ini Sara tolong mama masak!" Sergahku pada mama yang sedang sibuk di dapur. Terpelanting senduk di tangannya. Aku ketawa melihat mama yang sinar matanya seperti orang ketakutan.

"Mama ajar Sara buat sambal sotong ya?" Mama angguk.

"Nanti Adi balik, Sara masakkan untuk dia. Adi suka sangat sambal sotong mama." Kali ini mama mengangkat muka, memandangku dengan sinar matanya yang dalam. Dia seperti menunggu-nunggu untuk mendengar ceritaku, tidak ubah seperti anak kecil yang sukar mengerti tetapi cuba memahami.

"Dia dah tak guna nombor tu mama..." Aku tunduk menahan sebak. sebenarnya sejak 24 September aku menelefon Adi setiap hari. Betapa rindu untuk mendengar suara lembutnya. Hingga semalam hanya pesanan ini yang kuterima, 'Harap maaf, nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar kawasan. Sila cuba sebentar lagi.'

Aku mencuba sebentar lagi seperti yang disaran, bukan sekali dua tetapi tidak terhitung oleh jari kalau pun dicampur jari kaki. Kalau dulu hanya setelah dua atau tiga kali deringan, Adi akan menyambutnya dan menyapaku dengan riang, dengan penuh kasih sayang. Kini panggilanku bukan sahaja tidak dijawab malah aku mula menerima pesanan yang berbeza, 'Harap maaf, nombor yang anda dail telah ditamatkan perkhidmatannya.'

Ditamatkan perkhidmatan? Baru semalam aku berjanji untuk menjadi isteri yang lembut dan patuh, Adi bukan sekadar mematikan telefon genggamnya malah memutus terus talian. Ah, matikanlah apa saja, kau tidak mampu mematikan cintaku padamu.

Kutekupkan kedua-dua belah tangan pada mukaku. Aku ingin menjadi kuat dan tabah selalu tetapi dugaan ini terlalu berat. Mama selalu berkata, Tuhan tidak akan menduga hamba-Nya lebih daripada yang mampu diterima. Tetapi dugaan ini sudah tidak mampu Sara terima, mengapa Tuhan terus menduga? Mengapa mama?

Dulu mama pernah berkata, setiap kesakitan yang Tuhan beri disertai dengan penawarnya. Ketika itu aku masih kecil meraung melihat Ucu, adik mama yang selalu menjagaku tiba-tiba jatuh tidak bergerak lagi. Kata mama, Ucu diserang sakit kepala dan apabila dia tidak mampu lagi menanggungnya, Ucu pitam. Itu penawar daripada Tuhan, supaya Ucu tidak lagi merasa kesakitan. Hampir seminggu Ucu tidak sedar, mama kata Ucu sedang koma. Kata mama, itu juga penawar daripada Tuhan. Dan sehari selepas itu aku diberitahu Ucu meninggal dunia kerana penyakit barah otak.

Mama menangis tetapi tetap memberitahuku yang itu penawar daripada Tuhan. Kata mama, dengan kematian itu, berakhirlah penderitaan Ucu. Tuhan memberi Ucu penawar terakhir supaya barah yang menyerang Ucu tidak lagi menyakiti Ucu. Selepas itu aku tidak menangis lagi mengingat Ucu kerana aku tahu Ucu tidak sakit lagi. Tetapi di mana penawar untukku?

"Mana penawar untuk Sara, mama?" Tanyaku dalam sedu sedan yang tidak terkawal. Mama memelukku.

"Mengucap Sara, mengucap. Ingatkan Tuhan.."

"Tuhan yang tak ingatkan Sara, mama. Tuhan lupa memberi Sara penawar. Hanya kesakitan saja. Sara sakit mama. Sara sakit." Aku menangis dalam pelukan mama.

Tanggal 8 Januari 2000. Takbir raya pun bergema. Hari ini genap tiga bulan lima belas hari aku tidak melihat Adi. Semalam, seawal pagi aku menunggunya di atas bangku bambu itu. Harapanku masih menggunung tinggi, tidak inginkah Adi kembali? Seharian aku berdiri di tingkap kamarku, mengintai dari balik langsir setiap kereta yang melintasi perkarangan tetapi Satria GTi tidak juga muncul. Dia tidak juga muncul.

Hari raya kedua. Kutentang rancangan mama dan Ina untuk menziarahi pusara kerana takut Adi pulang ketika ketiadaan kami. Aku tidak mahu dia menyangka kepulangannya tidak aku harapkan, dan dia akan pergi lagi. Kalau itu terjadi, pasti sia-sia doaku semalaman kepada Tuhan supaya mengembalikan Adi kepadaku hari ini. Namun melihat mata Ina yang mula berkaca dan berbekal janji mama untuk ke pusara hanya sekejap, aku turuti juga dengan langkah terpaksa.

Di pusara datuk, mama menangis, begitu juga di pusara nenek. Kemudian kami menjengah pusara Ucu. Di situ akulah yang menangis. Mengingati kembali masa kecil bersama Ucu yang manis. Ketika itu Ina belum lahir dan Ucu membawa aku, anak tunggal mama, ke mana saja.

Tangan Ina memegang lenganku tiba-tiba. Dia memelukku ketika membawaku meninggalkan pusara Ucu menuju ke arah pohon kemboja yang sedang lebat berbunga. Aku menoleh ke arah mama, dia sedang bersalaman dengan seorang perempuan gemuk yang aku tidak tahu muncul dari mana. Pastinya dia kenalan mama. Dia melemparkan senyuman yang aneh kepadaku dan entah mengapa kau terasa enggan membalasnya.

(Bersambung)

Cerpen

Penawar Untuk Sara - Suria Matilda (Jelita Nov 2002)

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi

dalam hati ini untuk kau isi
sebagai isteri

untuk kaupenuhi dengan kemuliaan seorang wanita
untuk kauberi erti dengan kelembutan
untuk kauhargai dengan kasih sayang


Klik. Lagu yang berkumandang itu tiba-tiba terhenti. Aku menjenguk dari pintu kamar yang separuh terbuka dan sempat melihat kelibat Ina terburu-buru menuruni tangga. Adikku yang satu itu, sejak akhir-akhir ini bagaikan mempunyai hobi yang baru. Menutup radio setiap kali lagu itu berkumandang!

Pintu kamar kututup. Di luar sana semuanya tidak lagi seperti dulu. Dunia pun mengkin sudah tidak lagi berputar pada paksinya. Senda dan tawa tidak lagi kedengaran di rumah ini. Hanya sunyi dan sepi. Wajah manis Ina kini sudah bertukar murung. Sinar matanya yang bercahaya dan ceria kini redup dan mendung. Mama juga kian kurus dan cengkung. Ah, hanya aku yang tidak berubah di sini. Hanya aku yang masih kekal sebagai diriku. Tetap menjadi Sara yang dahulu.

Sara yang pernah Adi cintai dan sayangi. Sara yang meniti remaja bersama Adi, juga berkongsi kedewasaan bersama-sama. Bukankah dari dulu Sara dan Adi tidak boleh dipisahkan? Seperti usikan teman-teman, kalau mendengar tawa Adi, pasti Saralah sedang bercanda dan kalau terdengar tangis Sara, pasti Adilah dilanda duka. Masih ingatkah Adi pada jalan kenangan itu?

Masihkah Adi ingat pada kasih yang pernah kita kongsi? Pada kebahagiaan yang pernah kita miliki? Rumah mama yang sering meriah setiap kali kita pulang bercuti, kini kosong dan sangat sepi. Mereka lebih berduka daripada aku Adi! Dan kalaulah kautahu kesan keputusanmu itu kepada kami, kepada rumah ini, kepada dunia sekeliling kami, pastinya tak mungkin kaulakukan. Aku pasti kau akan menimbangkannya seribu kali, kerana Adi tidak pernah kejam kepada sesiapa pun apalagi kepada Sara yang pernah Adi cintai. Masihkah Sara Adi cintai?

Kalaulah Sara masih Adi cintai, mengapa semudah itu Adi kuburkan segala janji? Mengapa hanya setelah dua tahun kita abadikan kasih sedekad dengan ikatan ini, ia tiba-tiba luput dari hati Adi? Apa dosa Sara kepada Adi? Di mana salah Sara di mata Adi? Sara sendiri tidak tahu kerana Adi sendiri tidak sudi memberitahu. Sara tidak mungkin akan tahu kerana Adi pergi begitu sahaja. Meninggalkan Sara tertanya-tanya.

"Adi akan cuba balik pada hari jadi Sara. Adi janji," katanya ketika mengucup keningku. Tangannya menggenggam tanganku.

"Bawa hadiah sekali!" ucapku dalam tawa, mencium tangannya.

"Nak Adi ke nak hadiah?" Tanyanya mengerut kening. Mama dan Ina tersenyum melihat gelagat kami.

"Nak hadiah!" Jawabku mengusiknya.

"Kalau macam tu, biar hadiah sajalah yang balik!" Katanya pura-pura merajuk.

Aku melambai hingga Satria GTi itu hilang dari pandangan. Hari itu 24 September 1999. Seminggu lagi hari jadiku. Dan sebagaimana janji lain yang tidak dia tepati, janji untuk kembali pada hari jadiku turut dia mungkiri. Berpusing-pusing aku mencari jawapan. Mengapa senekad itu keputusan Adi?

Semalaman aku menggosok pakaiannya untuk kursus yang dikatakan seminggu itu. Yang ini untuk Adi pakai hari Isnin, yang itu untuk Selasa, dan yang itu pula untuk Rabu. Nyata segala-galanya dusta. Dia mendustai segala-galanya! Dia pergi sudah berbilang Isnin, berbilang Selasa. Sudah berbilang minggu dan sudah berbilang bulan. Pakaian yang kususun teratur di dalam beg bimbitnya itu pasti tidak mencukupi. Dia pastinya tidak memerlukan pakaian itu sama sekali. Pastinya semua itu hanyalah untuk mengaburi mataku.

Patutlah dia ingin benar aku pulang ke rumah mama sepanjang peninggalannya itu. Ah, kononnya bimbangkan keselamatanku berada di rumah berseorangan sepanjang ketiadaannya. Liciknya dia merancang semua itu, sehingga sanggup memandu lewat malam dari Kuala Lumpur ke Kuantan untuk menghantarku ke rumah mama dan berpatah balik semula awal pagi esoknya. Katanya demi kasih padaku! Naifnya aku kerana kasih padanya! Dan kasih padanyalah yang masih kurasa. Tiada dendam, tiada benci. Hanya kasih padanya yang semakin mendalam. Semakin mendalam.

Mungkin benar ingatan mama kepadaku dulu ketika papa meninggalkannya kerana seorang wanita lain. Katanya, perempuan walaupun mempunyai ramai kekasih pada zaman gadis, akan tetap setia pada seorang lelaki apabila bergelar isteri. Tetapi lelaki, bagaimana sekali pun setianya kepada seorang gadis ketika bergelar kekasih, tidak dapat menjanjikan kesetiaan yang sama kepada seorang isteri. Apakah Adi juga seperti lelaki-lelaki itu? Apakah Adi juga seperti papaku?

Pastinya Adi juga begitu. Pastinya sudah ada perempuan lain menggantikan Sara di hatinya. Pastinya perempuan itu lebih disayangi sehingga Sara sanggup Adi lukai dan lupa segala janji. Janji untuk melindungi Sara sehingga ke akhir hayat. Kata Adi, hanya kuasa Tuhan yang mampu memisahkan Sara dan Adi. Kini hanya setelah dua tahun kita layari hidup bersama, Sara Adi khianati.

Benarlah juga kata mama, perempuan tidak mudah keluar dari perkahwinannya meskipun ada seribu faktor dalaman yang menolak, tetapi lelaki sanggup, meskipun hanya kerana satu faktor luaran yang menarik! Hanya kerana satu! Seperti papa, pastilah faktor yang satu itu juga yang merampas Adi daripada Sara. Pastilah perempuan jalang itu!

"Mama, Sara nak balik KL esok," jeritku pada mama ketika kami menghadap hidangan makan malam. Mama tersentak. Dia kemudian tunduk memandang nasi di pinggannya.

"Sara nak ambil balik GTi tu, itu kereta Sara. Adi belikan untuk Sara. Sara tak rela Adi usung perempuan lain di dalam kereta Sara. Sara akan ambil balik kereta tu." Aku hentakkan camca di tangan pada pinggan nasiku. Berterabur nasi di atas meja.

Ina yang sebelum itu pura-pura tidak mendengar, terus bangkit dari kerusinya dan berlari memanjat tangga. Aku mendengar pintu kamarnya terhempas kuat. Apakah dia juga seperti mama, sering tidak bersetuju apabila kuungkit tentang perempuan jalang itu? Ah, mama, dia pastinya perempuan jalang. Kalau dia perempuan baik pastinya rumahtangga Sara tidak dia rosakkan.

Dan malam itu seperti malam-malam sebelumnya, aku berdiri lagi di tingkap kamarku yang terbuka menatang dingin angin malam. Cahaya bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri di halaman dan mataku terpaku di situ. Ia tempat kegemaran Adi kalau sesekali kami pulang ke rumah mama. Adi gemar sekali memetik gitar dan mengalunkan suaranya yang lembut dan romantik di situ. Aku akan selalu ingat lagu "Permata" nyanyian Kopratasa ysng kini bagaikan fobia untuk Ina mendengarnya.

(Bersambung)

Thursday, November 17, 2011

Selamat Bercuti


Hari ini hari terakhir persekolahan bagi sesi 2011 di negeri Kelantan. Selalunya, bila hari terakhir kami akan pulang awal tetapi tidak hari ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan telah bermurah hati untuk memberi bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada semua murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Maka kami para guru diarahkan untuk mengadakan satu majlis yang gilang gemilang bagi menyampaikan bantuan tersebut.

Selepas berbincang dan bermesyuarat, pihak SMK Kg Chengal memilih tarikh hari ini untuk majlis itu, dan menjemput YB Tan Sri Annuar Musa untuk menyempurnakan penyampaian bantuan tersebut. Majlis bermula jam 3.00 petang dan saya diletakkan sebagai AJK Persegaran VIP.

Alhamdulillah, majlis berlangsung cemerlang dan penyampaian anugerah tamat pada jam 5.20 petang. Dek kerana bertugas di bahagian persegaran VIP, maka saya terpaksa menunggu sehingga para VIP tamat menjamu selera. Maka jam 6.05 petang barulah saya keluar dari pagar sekolah menuju ke rumah.

Penat. Tapi begitulah rutin seorang guru. Minggu ini sahaja, tiga hari berturut-turut saya pulang selepas jam empat petang. Hari Selasa ada mesyuarat guru. Hari Rabu saya mengadakan kelas sentuhan akhir untuk pelajar SPM saya yang bakal menduduki kertas Matematiknya pada hari ini. Dan hari ini, kerana majlis di atas. Itu pun masih ada yang mahu membandingkan tugas guru dengan tugas kakitangan lain. Entah kenapa ramai benar yang iri dengan kami. Begitulah nasib guru...

SPM 1989 (30/10 - 15/11)

SPM 1989, masih segar dan manis dalam ingatan.

Hari pertama, Isnin 30hb Oktober saya melangkah dengan penuh yakin ke Dewan Ibnu Sina Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu. Bernombor giliran W704 0141, saya mengambil tempat di lajur kedua dari sebelah kanan dewan. Tempat saya agak terkebelakang, tetapi tetap strategik untuk saya jeling menjeling!

Kertas Bahasa Malaysia 1 agak berbeza rupanya daripada yang selalu-selalu. Entah kenapa kami diberi kertas soalan yang menyamai kertas fotostat. Warnanya putih, dan tulisannya agak pudar. Pun mood kami tetap bagus, tidak pudar seperti warna kertas itu.

Saya menjawab penuh yakin. Persediaan saya cukup hebat. Saya membeli sebatang pen berdakwat basah yang agak mahal dan menulis dengan tulisan sebiji-sebiji supaya pemeriksa tidak sukar membacanya nanti. Karangan yang saya jawab itu ialah karangan bentuk ucapan dan tulisan saya sangat cantik sekali!

Seterusnya, kertas dua menyusul. Sekali lagi saya terkejut. Kali ini kertasnya biru dan tulisannya terang - sama seperti kertas tahun-tahun lepas - tetapi soalannya telah pun saya telaah skemanya! Dua hari sebelum peperiksaan, kami satu asrama menerima skema bagi kertas dua BM. Dek kerana tidak percaya, maka saya hanya membaca sekali lalu sahaja. Dalam hati berkata, "tak mungkin boleh bocor!"

Saya membebel dalam hati. Geram! Mana boleh macam ini? Tentu kawan-kawan saya yang menghafal skema itu menjawab soalan dengan senyuman. Saya memang terganggu dan gagal memberi tumpuan. Mujurlah, kes soalan bocor ini cepat dilaporkan dan pada hari terakhir peperiksaan SPM (15 November) kami 're-sit' kertas dua BM itu.

Alhamdulillah, saya berjaya mendapat gred A1 untuk BM.

Kertas seterusnya ialah Bahasa Inggeris. Saya mencuba sehabis baik, dengan resepi yang sama seperti BM juga. Menulis dengan tulisan paling cantik, dan menjawab dengan penuh keyakinan. Tetapi saya hanya mampu mencapai gred C3 sahaja. Alhamdulillah.

Pendidikan Agama Islam, saya tempuhi dengan berhati-hati. Malam sebelum peperiksaan, ada beberapa orang pelajar lelaki menghantar tajuk-tajuk yang mereka kata 'bocor' untuk PAI. Saya pun memberi tumpuan pada tajuk-tajuk tersebut, malangnya ia tidak keluar langsung! Mujur juga saya tidak buntu, dan berjaya mendapat gred A1 untuk PAI.

Sejarah pula, memberi kepuasan yang amat tinggi buat saya. Saya bersama kawan saya, Sarina menghafal fakta-fakta yang diberi oleh Cikgu Mohd Zaki pada malam sebelum peperiksaan itu. Banyak betul yang kami hafal, dan alhamdulillah, semuanya keluar dalam soalan! Saya menjawab dengan penuh yakin dan penuh perasaan! Seperti dijangka, saya mencatat A1 untuk Sejarah.

Mata pelajaran yang paling saya takuti ialah Kimia. Sungguh saya kurang menguasai subjek ini, namun saya tetap berdoa agar saya mampu menjawab dengan baik. Sehari sebelum peperiksaan, saya menelaah satu eksperimen dan menghafal langkah-langkah serta keputusan dan kesimpulannya. Apabila menjawab soalan esei esoknya, eksperimen itulah yang saya tulis walaupun saya tidak tahu adakah ia mengikut kehendak soalan. Sebaik pengawas memaklumkan "masa menjawab sudah tamat" saya berasa badan saya menggigil. Saya takut betul. Saya rasa saya mahu saja memberitahu pengawas itu, "cikgu, kalau saya hantar besok boleh tak?" kerana saya sangat tidak yakin langsung dengan jawapan saya.

Pun, alhamdulillah kerana Kimia saya tertera gred C3.

Matematik Moden pula menjadi mata pelajaran yang paling mengecewakan saya. Saya berasa sungguh yakin dan bersemangat sewaktu menjawab kertas ini dan meletakkan target A1 tetapi gred saya hanya A2. Ia tersasar dan sungguh saya kecewa. Mujurlah Matematik Tambahan menjadi penawar. Kertas 1 saya mampu menjawab dengan baik, tanpa sedikit pun tersekat. Cuma kertas dua saya agak ragu-ragu dengan jawapan soalan Fungsi dan soalan Janjang. Saya cuma target untuk C3, tetapi saya mendapat A2. Alhamdulillah.

Kertas Fizik, saya hadapi dengan fikiran dan emosi yang stabil. Ia tidak terlalu sukar dan saya telah memberi segala yang ada pada saya untuk subjek ini. Alhamdulillah, saya memperoleh A2.

Dan Biologi, menjadi subjek yang paling tidak cemerlang. Saya tidak mampu memberi yang terbaik kerana kesilapan saya berlaku pada kertas Amali lagi. Pun saya bersyukur dengan gred C4 untuk Biologi saya.

Keseluruhannya, saya mendapat 6A dengan agregat 9.

Alhamdulillah.

Sunday, November 13, 2011

Books for November

After nearly two hours of waiting and the bus didn't appear, we decided to leave the place. No frustration came knocking our minds because we could accept any circumstances positively. Maybe the trip was not meant to us, so we planned another plan.

It was 9.20 am. Still early, and my stomach started to play kind of music that I hate to hear. Yup! I felt hungry...

So, we moved to the town. We headed to KB Mall. Pizza Hut, here we come!!!

After filling our stomach, we went to Popular Bookstore, our favorite place in KB Mall. And these are the books for this month.

The Cancer Book

Akukah Puteri Itu

Huru Hara Kiamat
Wait for my reviews in the next post.

Thursday, November 03, 2011

Asal Bergaya

Sering saya ditanya tentang gaya. Kata mereka, penampilan itu penting kerana ia melambangkan peribadi seseorang. Saya tidak menafikan, tetapi harus dibezakan antara gaya penampilan dan keutamaan jenama.

Sebagai guru, saya menjadi tatapan anak murid setiap hari.
"Wah! Purplenya cikgu hari ni!", atau
"Cikgu, beg baru ke ni? Beg 'love' tu mana?" juga
"Jam cikgu cantiklah, emas ke?"
dan macam-macam lagi.

Mampukah saya mengelak daripada diperhatikan mereka? Tentu tidak. Mereka sangat analitik. Juga pandai dalam ilmu perbandingan gaya guru. Mereka prihatin sebenarnya.

Lalu berlumba-lumbalah kami para guru mempamer gaya dan fesyen secanggih mungkin, demi memberi kepelbagaian buat anak-anak murid kami. Kepelbagaian apa? Entahlah...

Pada hemat saya, bergaya itu tidak salah. Malah, baju yang sama jika dipakai dalam selang tempoh yang singkat akan menimbulkan tanda tanya pada murid. "Cikgu ni ada lima pasang baju sahajakah?" Tetapi, jika setiap hari berbaju baru, mereka akan berkata, "banyak betul baju cikgu, tak pernah nampak cikgu pakai baju yang sama dua kali!"

Semua perkara mereka nak komen. Adatlah, budak-budak. Kita dulu pun lebih kurang juga.

Apa pun, berpada-padalah. Memiliki koleksi baju yang banyak bagi seorang guru agak praktikal tetapi tidak semestinya yang mahal. Yang murah tetap cantik di mata jika pandai digayakan. Cuma, janganlah terlalu murah sehingga sama dengan baju basahan anak murid pula. Nanti mereka kata, "apa kelas cikgu ni, pakai baju murah macam aku!" Dalam koleksi saya, yang mahal hanyalah batik sahaja. Itu pun berbaloi kerana kualitinya yang superb. Saya gemar memakai batik. Ia selesa, ringan dan mudah bergerak.