Saya akui, saya fail bab ini. Bab dekorasi, hiasan dalaman dan kekemasan rumah. Memang, saya sentiasa fail sebagai seorang wanita sejati. Segi apa pun...
Sejak awal cuti lagi saya berhasrat untuk melakukan sesuatu pada rumah saya yang sudah berusia tujuh tahun itu. Segala isi perutnya sudah dimakan masa tetapi saya masih belum mahu mengubah rasa. Mudah berasa selesa, itulah saya. Tiada keinginan untuk bertanding dengan siapa-siapa, dan saya puas hati dengan apa yang ada. Oh! Positif sungguh!!
Namun saya perlu akur dengan tuntutan hidup bermasyarakat. Jika pun saya selesa, orang-orang yang bertandang entahkan berbisik sesama sendiri betapa terkebelakangnya cita rasa saya. Saya tidak malu sebenarnya, cuma tidak mahu mereka menambah dosa mengumpat-ngumpat hiasan rumah saya. Ada baiknya saya berlaku adil, demi kesejahteraan sejagat. Sekali lagi, saya memang positif.
Lalu, selepas berbincang sepatah dua kata dengan cinta hati saya, kami pun bersetuju untuk berbelanja sekadar mampu. Untuk bulan ini, saya sasarkan dahulu pembelian katil dan tilam baru, almari hiasan (yang belum pernah ada), rak buku tambahan (kerana yang sedia ada itu sudah tidak mampu menampung jumlah buku yang bertambah setiap bulan) dan rak kasut baru menggantikan rak lama (yang sudah hancur itu).
Seawal pagi hari ini, saya keluar bersama-sama suami saya menuju ke destinasi pertama kami iaitu HUSM Kubang Kerian. Bukan! Kami bukan mahu meninjau-ninjau perabot di situ. Mana ada hospital jual perabot, kan? Saya menemaninya ke Klinik Rawatan Keluarga untuk diambil sampel darah sebelum sesi janji temunya dengan doktor pada minggu hadapan.
Selesai urusan di situ, kami menuju ke Padang Enggang untuk singgah sarapan. Nasi berlauk ayam gulai campur ikan kering dan sayur untuk saya, nasi berlauk serati untuk dia, air nescafe tarik untuk saya, air teh o untuk dia dan empat biji kuih melengkapkan menu kami pagi ini. Harganya RM12.00. Bolehlah..
Jam menghampiri 10 pagi. Kami teruskan agenda kami - yang utama - iaitu ke kedai Ghazali Perabot (sepatutnya Perabot Ghazali, kan? Tidak peka mereka ini..) Setibanya kami di situ, pekerjanya yang cantik manis menyambut kami dengan senyuman mesra. Kami dibawa meninjau-ninjau perabot yang kami ingini.
Dipendekkan cerita, saya membeli sebuah almari hiasan berharga RM1550, sebuah katil Divan berharga RM950, sebuah tilam Vono Maya Karin (RM690), sebuah rak buku (RM270) dan sebuah rak kasut (RM90). Harga yang diberi adalah harga istimewa kerana kami pelanggan tetapnya. Sebelum pulang, kami disajikan dengan milo ais untuk menghilang dahaga.
Jam empat petang, barang-barang kami selamat tiba di rumah.
Sekarang, barang-barang itu masih tersadai di ruang tengah. Hajatnya, sehari dua lagi akan kami usung dan susun di tempat yang sepatutnya. Semoga tenaga kami cemerlang untuk aktiviti segemilang itu. Amin.
Inilah perabot yang saya beli hari ini. Rak kasut tiada dalam gambar kerana telah diletak di tempat yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment