Monday, November 21, 2011

Cerpen III

Di bawah pohon kemboja itu Ina pula yang menangis di atas pusara yang kulihat masih baru berbanding pusara datuk, nenek dan Ucu. Pastilah penghuninya seorang yang sangat dia sayangi. Aku tidak mengenal pemilik pusara ini jadi tidak ada tangisan yang ingin kuberi. Namun hatiku kuat menyatakan, aku pernah ke sini. Bau kemboja ini pernah kucium dahulu. Mungkin terlalu lama sehingga aku tidak mampu mengingatnya lagi.

"Arwah ini, kemalangannya dengan apa?" Perempuan gemuk itu bertanya. Aku memandangnya. Ina tidak menjawab tetapi tangisannya semakin kuat. Mama menarik perempuan gemuk itu jauh dari kami. Tangisan Ina semakin kuat dan dia memelukku.

"Jangan menangis Ina. Mama dah marah dia." Ucapku cuba menenangkan Ina.

Dia menunduk memandang ke pusara dan mataku mengekori matanya. Di situ tertera nama penghuni pusara itu. Perlahan-lahan aku cuba membaca. Bibirku bergetar tiba-tiba. Mengapa nama itu harus tertulis di sini? Kuulang membacanya sekali lagi. Mengapa nama itu yang tertulis di pusara sepi ini? Tidak mungkin! Aku berlutut di rumput yang basah, cuba membaca tulisan itu dari dekat. Ia kini jelas kulihat - Ahmad Zulhaidi bin Razali, 22 Jun 1971 - 24 September 1999.

Aku terjaga di rumah mama ketika hari telah pun bertukar malam. Kulihat Ina berada di hujung katilku merenungku dengan mata yang sembap. Mama pula berada di sebelahku mengusap dahiku dengan tuala basah.

"Mama, bagikan Sara kotak itu.." Kulihat mama dan Ina termangu-mangu, berpandangan sesama sendiri.

"Kotak hadiah hari jadi Sara.." Ulangku perlahan. Dalam enggan kulihat mama keluar dari kamarku dan kembali lagi dengan kotak kecil itu pada tangannya. Aku membuka pembalutnya dengan tangan gementar. Kembali kuingat tarikh 24 September yang lalu. Hari terakhir kulihat Adi adalah juga hari pertama aku melihat kotak kecil ini. Ia pulang bersama-sama beberapa barangan Adi yang lain yang diambil daripada rangka Satria GTi yang hancur remuk itu. Aku tidak pernah membukanya kerana bukan hadiah ini yang kuharapkan untuk kembali.

Seutas rantai emas dengan loket berlian berbentuk hati kukeluarkan dari kotak kecil itu. Di belakang loket itu terukir cantik, 'Selamat Hari Jadi Sara - 1 Oktober 1999'. Adi pastinya menempah rantai itu lebih awal. Dia tidak sempat mengalungkannya sendiri pada leherku.

"Terima kasih Adi," loket itu kukucup. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupku, mengajar erti kelembutan dan kasih sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan, juga janji yang tidak dimungkiri. Terima kasih juga pada tahun-tahun yang pernah kita kongsi, pada kebahagiaan yang pernah Sara miliki.

Tangisanku pun tidak terbendung lagi mengingat dia yang kukasihi. Dia yang telah menghantarku kembali ke pangkuan mama pada hari terakhir hidupnya, bagaikan mengerti dia tidak mampu lagi melindungiku. Suamiku yang tidak ingin memperjudikan keselamatanku bersendirian tanpanya, sanggup pula memperjudikan keselamatannya membuat perjalanan jauh tanpa rehat. Perjalanan yang telah membunuhnya.

"Maafkan Sara, Adi," kukucup loket itu berkali-kali.

"Sara, bawa mengucap Sara," kudengar suara mama berbisik di telingaku. Tangannya mengusap rambutku seperti aku kecil dahulu, seperti ketika Ucu meninggalkan aku.

"Tuhan tak lupakan Sara, mama. Tuhan beri Sara penawarnya." Loket itu kukucup lagi. "Kini Sara sudah cukup kuat untuk menerima. Sara sudah ingat semuanya. Sara sudah ingat apa yang berlaku, mama!"

Mama dan Ina berpandangan. Tersentuh hatiku dengan pengorbanan mereka berdua yang menjaga aku selama aku hanyut dalam dunia ciptaanku. Aku hidup berdasarkan ilusi dan halusinasi dalam mengharapkan Adi kembali. Ina yang tabah selalu cuba melindungi diriku daripada terus dibayangi ingatan bersama Adi. Menutup radio setiap kali lagu kenangan itu berkumandang. Mama pula bagaikan telah memaku telinga di pintu kamarku sehingga selalu bersedia berada di sisiku setiap kali aku tidak dapat mengawal kedukaanku.

"Mama, kita buat tahlil untuk arwah Adi." Mama dan Ina bagaikan tidak percaya yang aku kini sudah kembali di alam realiti.

Sesungguhnya aku pasrah yang Adi tidak akan kembali, tetapi sekurang-kurangnya Sara telah kembali. Perlahan-lahan aku bangun dari katil menuju ke tingkap kamarku yang terbuka. Sinaran bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri itu dan aku bagaikan dapat melihat Adi memetik gitar dan mendendangkan lagu itu untukku.

Kerana kau isteri
kuingin kau mengerti
bahawa hidup ini
tak semudah yang kita janjikan
yang kita janjikan....

Kuseka air mata di pipi dan kukalungkan rantai pemberiannya itu pada leherku. Sara akan cuba mengerti. Kerana meskipun dia telah pergi dan tidak akan kembali, tetapi Sara bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia pernah hadir untuk Sara miliki. Biarlah dia bersemadi dengan aman kerana di dalam hati Sara, juga di satu daerah yang paling sunyi, Adi akan terus kekal dan abadi. Ya, dia akan selalu di situ. Di atas bangku bambu, di bawah sinar bulan.

TAMAT

(Dipetik dari majalah JELITA, November 2002 Tulisan Suria Matilda)

No comments:

Post a Comment