Tuesday, November 29, 2011

Privasi

Kenapa ya, saya sangat suka berdiam?

Jika saya sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor di klinik O&G HUSM Kubang Kerian, saya sentiasa mengelak untuk berada di tempat ramai. Saya mencari kawasan terpencil, untuk bersendiri. Saya mengambil beberapa buah majalah dan buku sebagai teman. Saya enggan berbual dengan siapa-siapa. Saya tidak selesa.

Namun dek kerana ramai orang, kawasan terpencil itu menjadi public juga. Akan ada hamba Allah datang dan duduk di sebelah saya. Mula-mula, melempar senyum. Kemudian bertanya khabar, dan lama-lama mengajak berbual. Aduh! Saya gagal mengelak!

Kenapa ya, saya sedemikian rupa?

Berbual bagi saya, bukan suatu aktiviti yang menyeronokkan. Selain dengan keluarga dan sahabat handai, saya tidak punya topik yang menarik untuk dibualkan dengan orang yang baru saya kenali. Saya lebih selesa berdiam. Malah, jika mereka banyak bertanya pun, saya sangat tidak suka menjawab. Kenapa mereka ingin tahu serba serbi? Sikit-sikit sudahlah. Malah, pandangan mereka pun saya tak minta!

Egokah saya? Atau sombong?

Bukan. Saya cuma inginkan privasi. Saya senang menyimpan beberapa perkara untuk diri sendiri. Jika mereka bertanya, saya menjawab sekadarnya. Sepatutnya, mereka berhenti di situ. Tidak perlu lebih-lebih memberi pandangan itu dan ini kerana saya tidak pernah meminta.

Maafkanlah saya. Manusia memang berbeza. Saya jenis yang mengutamakan kebersendirian, dan enggan mengambil tahu lebih-lebih tentang hal orang. Mungkin kerana itu, saya selesa bersunyi-sunyi di rumah. Saya tenang berseorangan di bilik saya di sekolah. Saya gemar melayan perasaan saya, dan enggan mencampuri hal orang lain.

Pun begitu, jangan salah sangka. Saya masih seorang yang normal!

No comments:

Post a Comment