Friday, December 30, 2011

Esok

Esok, segalanya bermula.

Mesyuarat guru kali pertama 2012 akan berlangsung pagi esok di SMK Kampong Chengal. Mesyuarat yang menandakan tamatnya cuti sekolah nian panjang selama 6 minggu itu, dan juga menandakan bermulanya persekolahan sesi baru yang semestinya disertai azam dan semangat yang baru juga.

Azam?

Oh! Biarlah dulu. Saya tidak pernah punya azam baru pada awal tahun kerana azam saya boleh sahaja bermula pada bila-bila masa yang saya suka. Cuma semangat saya ini yang ingin saya perbaharui, sekerap mungkin. Seringkali, semangat saya membara hanya pada awal-awal musim. Semakin menuju pertengahan, ia semakin padam. Semakin tiada. Entah kenapa semudah itu ia hilang. Kadang-kadang, ia berpunca dari persekitaran yang tidak merangsang.

Jadi, kali ini saya mahu semangat saya membara sepanjang tahun agar segala kerja buat saya terhasil cemerlang. Hati saya masih pedih dengan ketidakadilan SBPA untuk saya, tetapi saya pasrah (pasrah itu menyerah...) kerana saya tidak punya apa-apa upaya untuk menukarnya. Saya hanya mampu berdoa agar semangat saya tidak luntur dengan kekejaman SBPA itu!

Saya berdoa segala yang terbaik. Semoga esok bermula cemerlang. Amin.

Thursday, December 29, 2011

Buat Yang Tersayang

Saudaraku,
Hidup ini penuh dengan ujian
bahagia apabila kita berasa syukur dan redha
sengsara apabila kita gagal melawan derita!


Suamiku,
telah kufikirkan
bersama segar malam
aku tak pernah berdusta
dengan lafaz cinta
aku hanyalah teman setiamu.

Kukenali dirimu, suami
kusayangi jiwamu sebagai insan
tak kupinta lebih daripada itu
bebaslah dirimu
tanpa kumiliki
seperti kembara
semangatmu mengejar
di angin yang lalu.


Hangat kasihmu, ma
adalah selimut yang memisahkan
cengkam dingin malam
dengan tubuhku.

Pancaran doamu, ma
menyuluh buana yang sering
menyesatkan perjalananku.

Damai kolam wajahmu, ma
adalah penawar mujarab
resah gelisah panjang di dalam dadaku.

Harum mewangi restumu, ma
setia menemani
sepanjang lorong usia
dalam getar nafas seorang insan
bergelar aku.

Wednesday, December 28, 2011

Pesanku


Marilah kita hidup
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa

kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma
namun itu lebih bermakna!

Percayalah
orang yang berhak hidup dalam ketenangan
ialah orang yang sentiasa bersedia menghadapi
kematian!

Empat Puluh


Alhamdulillah. Usai sudah perjuangan saya selama tiga minggu ini, memerah otak dan menghabiskan dakwat pen merah berbatang-batang. Hari ini, saya menutup tirainya dengan perasaan lega. Sekali lagi, Alhamdulillah.

Tinggal tiga hari saja lagi untuk di sisi 2011. Tiada apa-apa yang istimewa dengan perubahan tahun ini, selain menanti saat pertambahan usia menjangkau 40 tahun. Oh! 40 tahunkah usia saya?

Sewaktu usia belasan tahun dahulu, angka 40 itu terlalu tua bagi saya dan terasa terlalu jauh. Kini saya sudah menghampirinya, dan bakal merasainya pada 9hb Januari 2012 nanti. Entahlah. Saya tidak rasa apa-apa. Hanya menanti.

Apalah ertinya menghitung usia sendiri, jika masih begitu-begitu juga.

Semoga Allah merahmati perjalanan saya menuju redha-Nya, dan tidak menjadikan saya manusia alpa.

Salam 2012 buat semua. Carilah suluhan cahaya kasih-Nya, semoga kita dapat perbaiki hubungan sesama insan, juga hubungan dengan Maha Pencipta.

Saturday, December 24, 2011

Ayah Mat

Hanya dia yang tinggal. Dia, Ayah Mat, seorang tua yang kesunyian. Hanya dia satu-satunya saudara lelaki arwah ayah yang masih ada. Usianya menjangkau 83 tahun, kudratnya sudah tidak sehebat dulu, namun jiwa dan perasaannya tiada siapa yang tahu...

Sewaktu ayah masih ada, mereka sangat rapat. Bukan hanya kerana mereka adik beradik, tetapi kerana ayah berada di bawah jagaannya sejak kecil lagi. Sejak ibu mereka meninggal. Ayah yang baru berusia enam tahun ketika itu, kehilangan tempat bermanja. Kebetulan Ayah Mat baru berkahwin dan belum punya anak. Maka ayah dipelawa tinggal bersamanya.

Dia bukan sahaja abang sulung ayah, tetapi bertindak seumpama bapa juga. Memori saya merakam kemas keakraban mereka. Sangat rapat, sehingga anak-anak Ayah Mat umpama anak-anak ayah, dan anak-anak ayah umpama anak-anak Ayah Mat. Jika Ayah Mat ingin ke mana-mana, ayah mesti turut serta.

Sehinggalah apabila ayah jatuh sakit, Ayah Mat tidak pernah jauh dari ayah. Pernah dia meminta ayah dihantar ke rumahnya, untuk dirawat di sana. Seminggu juga dia menjaga ayah di rumahnya, namun atas sebab-sebab tertentu, kami anak-anak ayah sepakat membawa ayah pulang ke rumah sendiri. Ayah Mat tidak menghalang. Dan dia tidak pernah gagal berada di samping ayah sehinggalah pada saat hembusan terakhir nafas ayah. Masih jelas di ingatan saya, kata-kata yang terkeluar daripada bibirnya tatkala ayah sedang nazak.

"Adik, adik dah nak tinggalkan abang...?" Sayu sekali.

Sejak ayah tiada, kekerapannya bertandang ke rumah kami tidak lagi seperti dulu. Seiring usia yang bertambah dan kudrat yang berkurang, kami kini jarang-jarang bertemu. Apatah lagi tinggal di dua negara yang berbeza, sedikit merumitkan.

Minggu lepas, emak dan Rifqi pulang ke Golok menziarahinya. Emak kata, Ayah Mat semakin kurus sekarang. Dia sangat gembira dengan kehadiran emak dan Rifqi, juga menyebut-nyebut nama kami adik beradik yang lain ini. Dia rindu, mungkin. Oh! Saya juga begitu. Sangat rindu padanya tetapi upaya saya terhad untuk mengunjunginya.

Pun, dia tetap ada dalam doa saya. Setiap waktu dan ketika, kerana dia juga umpama ayah bagi saya.

Saudara-saudaraku, kirimlah doa buatnya. Kenanglah dia selalu, dan berusahalah untuk pulang menziarahnya. Dia bukan orang lain, dia bapa saudara kita yang sangat banyak berjasa pada ayah kita...

Wednesday, December 21, 2011

Wajah-wajah (buat tatapan adinda Zahidah)

Di sisi adinda Ismah, beberapa jam sebelum dia bertolak ke PPUM bersama-sama emak, Rifqi dan Muhammad. Sempat menjamah asyura yang dibawa Cik Nik dari Salor.

Areef Irsyad yang manja dan malu-malu. Sekarang dah bijak berkata-kata. Sayang balik sekejap sangat, tak sempat Ummi nak bermesra lama-lama....

Abang Long @ Muhammad Amin kini kian dewasa, kian bijak dan kian tampan! Sekarang sudah tidak gemar bergambar. Bakal ulama ini sudah boleh jadi imam tau...!

Abdul Muiz Muttaqi enggan berenggang dengan mamanya. Tapi kalau pandai pujuk, selamba saja dia mendepangkan tangan untuk dibawa berjalan. Memang suka berjalan-jalan Muiz ni ya! "Paghok"lah minyak kereta Honda City mama awak!

Baby Imtinan Asma' yang baru berusia 9 bulan. Comel sungguh, baik pula tu... Tapi tak boleh nak dekat, dia takut pada "strangers".

Kak Teh @ Awwahah Munibah. Sangat mudah mesra dengan siapa saja. Lancar sungguh berkata-kata,.Bila Ummi nak balik rumah dia tak bagi, tapi bila Ummi ajak duduk dengan Ummi dia tak nak!

Kakak @ Iman Syazwani juga sama seperti Kak Teh. Petah dan mudah mesra. Tidak terasa seperti baru berjumpa apabila berbual dengannya.

Wan Sufi Nasirullah, semakin lasak hari ke hari. Suka benar makan eclipse Ummi Ti... Seronok dengar dia bercakap, dah makin lancar.

Wan Nasih Mukhlis pula semakin comel dan chubby! Geram tengok pipinya, rasa nak gigit!

Dua sepupu, Sufi dan Kak Teh.

Terpancar seri wajah keibuan Husna. Semoga semakin bahagia di sisi keluarga tersayang.

Ummi Ti suka peluk Nasih! Nasih pun suka dipeluk Ummi Ti, kan?

Dia Ibuku


Sewaktu kecil dahulu, saya sememangnya sentiasa hilang arah tanpa emak. Jika ayah tiada, tinggalkan kami semalam dua kerana berurusan di mana-mana, saya masih boleh senyum dan ketawa di rumah. Saya masih riang bermain dan berlari bersama adik beradik dan kawan-kawan. Namun jika emak tiada (selalunya pulang ke kampung menziarah keluarganya dan meninggalkan kami di rumah di bawah jagaan ayah), saya akan jadi murung.

Saya jadi rindu yang sangat-sangat pada emak. Rumah menjadi sunyi, suasana pun berubah menjadi sangat muram. Sehari emak tiada, saya tidak mampu menahan perasaan. Selalunya, untuk mengurangkan tekanan jiwa itu, saya memeluk bantal dan menangis. Dalam hati saya berjanji, bila emak pulang saya tidak akan melawan cakap emak lagi. Saya akan jadi sebaik-baik anak untuk emak.

Bila emak pulang, saya berasa sangat lega. Mendengar suara emak pun, saya sudah riang. Belum lagi dipeluk dan dicium emak. Tapi biasalah, janji untuk menjadi anak yang baik hanya tatkala emak tiada. Bila di sisi emak, saya kembali nakal. Menangguh-nangguhkan kerja, menyepah-nyepahkan ruang tamu dan bertandang ke rumah jiran tak tentu masa.

Emak memang gemar berleter kala dia marah. Tetapi mungkin kerana saya terlalu rapat dengan emak, leteran dan kemarahan emak hanya bagai angin lalu. Saya lebih takut pada ayah berbanding emak. Emak marah macam mana pun, saya boleh tahan telinga. Tapi kalau ayah, mendengar dia berdehem pun saya sudah kecut perut! Kasihan emak...

Sekarang, emak sedang meniti usia emasnya. Alhamdulillah Allah kurniakan emak kesihatan yang baik. Emak tiada kencing manis, tiada darah tinggi, tiada masalah jantung. Cuma emak mudah penat dan cepat pening kepala kerana hb count emak agak rendah.

Melihat wajah tua emak, saya rasa sayu. Sekian lama emak menghitung penat dan jerih saat membesarkan kami berlapan, kini masanya untuk emak berehat dan berlapang dada. Biarpun tanpa ayah di sisi, emak sentiasa kuat dan tabah meneruskan hidup. Lapan orang anak emak semuanya sudah membawa haluan masing-masing. Emak bakal kembali bersendiri sebaik tamat cuti sekolah nanti. Mujur juga ada Ismah, (yang sekarang sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan di kampung kami) menjadi peneman emak buat waktu ini.

Lumrah, semakin berusia semakin mudah terasa. Emak pun begitu. Kini, saya cuba untuk menjaga tutur bicara agar tidak menggores hati emak. Saya takut jika emak terluka, dan memendam rasa terhadap anak-anak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman hari tuanya ini. Saya mahu emak berehat dengan tenang. Setenang-tenangnya.

Semoga Allah melindungi emak, di bawah perlindungan-Nya yang tidak pernah lalai. Semoga anak-anak emak akan mampu membahagiakan emak di dunia dan di akhirat.

Saya sayang sangat-sangat pada emak saya!

Friday, December 16, 2011

Pagi Yang Nyaman

Hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Dari pagi hujan turun sekejap-sekejap, dan cuaca sejuk sekali. Terasa indahnya jika dapat bergulung dalam selimut namun tuntutan hidup tidak membuka ruang sebegitu.

Selesai sarapan, saya mengadap skrip calon untuk memenuhkan kuota hari ini. Selesai enam skrip, kebosanan menyinggah. Saya baring sebentar, sehinggalah jam 8.30 saya dan suami bersiap-siap untuk ke rumah emak.

Mula-mula, kami ke rumah mek yang hanya beberapa meter dari rumah emak. Mek sedang bersarapan. Dia pun ingin ke rumah emak juga, jadi selesai sarapan, mek bersama-sama kami menuju ke rumah emak.

Segalanya damai dan ceria. Rifqi terlena di sofa, emak dan Husna juga Sufi sedang menonton TV, Muhammad pula baru selesai bersarapan, sementara Hawari sedang mengendong Nasih. Ismah masih di bilik. Berehat dia.

Apabila kami sampai, mereka bersama-sama kami di ruang tamu, dan Ismah bercerita pada saya tentang prosedur yang dilaluinya untuk rawatan coiling. Hatinya sungguh amat takut kerana rawatan itu melibatkan risiko nyawa, stroke dan buta yang agak besar iaitu 10 - 14%. Katanya, dia mahu sahaja menarik diri daripada meneruskan rawatan apabila memikirkan risiko sebesar itu, namun melihat wajah tenang emak dan abang-abangnya dia teruskan juga.

Siapa pun yang berada di tempatnya, tentu juga sepertinya. Dalam dilema, untuk meneruskan rawatan atau membiarkan sahaja penyakit itu bersarang dalam diri. Rawatan berisiko, tidak dirawat juga berisiko.

Alhamdulillah, keputusan Ismah tepat. Dengan izin Allah, tahap ketelitian para doktor pakar yang terlibat telah menjayakan rawatan ini sepenuhnya. Walaupun ia sangat-sangat mendebarkan, namun berkat doa dan keyakinan, serta kasih sayang dan rahmat Allah, Ismah masih ada di sisi kami dengan senyum manis dan keceriaan yang tidak sedikit pun berubah. Terasa betapa besarnya kurniaan Allah ini, memberi kesembuhan pada Ismah walaupun dia masih perlu hadir temujanji dan rawatan susulan selepas ini.

Semoga hari-hari mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kami. Tiada yang lebih bererti bagi saya, selain melihat ahli keluarga saya sihat, ceria dan bahagia sentiasa. Semoga Allah melindungi kita sekeluarga di dunia dan di akhirat.

Ismah hari ini

Sedang mendengar cerita Ismah

Thursday, December 15, 2011

Perempuan Seperti Aku


Aku hanyalah perempuan akhir zaman yang setiap hari berusaha meneguhkan rasa cintaku pada-Mu, Rabb!

Apalah erti cinta manusia jika tiada redha-Mu. Apalah erti harta berjuta jika tiada keberkatan dari-Mu. Apalah erti usia yang panjang jika tidak terisi dengan ibadah kepada-Mu. Apalah erti dunia ini jika tidak mendapat Syurga-Mu!

Rabbi,
Jadikanlah aku hamba-Mu yang tidak pernah lupa pada-Mu, yang hanya bergantung harap pada-Mu, dan tidak menjadikan mana-mana makhluk-Mu sebagai sandaran hidupku. Aku semai seluruh keyakinanku pada-Mu, kerana aku amat tahu, takdirku dalam genggaman-Mu.

Pun, aku hanyalah perempuan akhir zaman, yang seringkali lalai dan alpa. Seringkali hanyut dalam arus dunia. Seringkali dikaburi nikmat harta. Ampuni aku, Rabb!

Janganlah Engkau biarkan aku sering tercari-cari dalam kegelapan. Suluhkanlah cahaya-Mu, agar aku tidak kesesatan.

Perkenankanlah....!

Wednesday, December 14, 2011

Alhamdulillah


Ahad, 11hb Disember
Emak, Ismah, Rifqi dan Muhammad bertolak ke KL sekitar jam 3 petang. Hujan renyai-renyai musim tengkujuh mengiringi perjalanan mereka, dan kami di sini - saya, Aziah dan Husna serta seluruh keluarga - mengiring mereka dengan doa.

Alhamdulillah, Ismah memaklumkan yang mereka selamat tiba di Bangi pada jam 12.15 tengah malam dan bermalam di rumah Pak Su Soh

Isnin, 12hb Disember
Tengah hari, mereka bertolak ke PPUM untuk urusan kemasukan wad. Seperti biasa, PPUM sentiasa penuh dan Ismah diletakkan di bilik menunggu sementara menanti katil kosong. Jam 7.00 pm baru Ismah ditempatkan di wad. Sementara emak, Rifqi dan Muhammad bermalam di hotel berdekatan.

Selasa, 13hb Disember
Sekitar jam 9.00 pagi, doktor ingin menemui ahli keluarga Ismah, bagi menjelaskan proses, prosedur dan risiko rawatan coiling kali ketiga ini. Kata Dr. Khairul, rawatan ini mempunyai risiko stroke dan buta sekitar 5% - 7%. Tetapi pihak mereka punya keyakinan tinggi yang rawatan ini akan berjaya, dengan izin Allah dan doa sanak saudara. Saya menyimpan debaran dalam hati, enggan dizahirkan pada wajah.

Jam 11.00 pagi, Ismah dibawa ke OT.

Saya di rumah menanti dan menanti update dari Rifqi. Jam 1.30 saya menghantar SMS kepadanya, tetapi katanya Ismah masih dalam OT. Debaran di dada saya semakin berganda. Skrip-skrip jawapan masih tidak mampu saya sentuh kerana gagal memberi fokus. Saya cuba lelapkan mata, agar masa sedikit laju berlalu tetapi tidak berhasil juga.

Jam 3.29 pm, SMS Rifqi saya terima. "Alhamdulillah, baru je keluar setelah hampir lima jam dalam dewan. Dr kata semua berjaya dengan kuasa Allah dan doa kalian."

Saya menangis kesyukuran. Tidak mampu saya gambarkan betapa leganya perasaan saya, setelah menyimpan debar sekian lama. Syukur sungguh-sungguh saya panjatkan pada-Mu, Rabb!

Saya menghubungi Rifqi lagi, minta untuk berbicara dengan emak sebentar. Saya kasihan padanya, yang setia menunggu di sana walaupun kesihatannya bukanlah sebaik mana. Alhamdulillah, emak kata dia ok.

Tidak lama, saya menerima SMS Zahidah. Dia menyuarakan hasratnya ingin ke KL, untuk bersama-sama Ismah, emak, Rifqi dan Muhammad di PPUM. Saya tidak menghalang. Sekurang-kurangnya emak ada teman.

Zahidah tiba di Puduraya KL kira-kira jam 12 tengah malam, dan Muhammad menjemputnya ke PPUM.

Rabu, 14hb Disember
Pagi ini, saya menelefon emak. Suara emak bernada ceria dan saya semakin berasa bahagia. Katanya, esok pagi mereka akan bertolak pulang kerana Ismah sudah sedar sepenuhnya, sudah boleh makan dan sudah boleh pulang! Alhamdulillah!

Terima kasih Tuhan!

Friday, December 09, 2011

Doa untuk adikku

Dia sentiasa ceria. Sentiasa menceriakan dan amat jarang melihatnya muram. Jenakanya bersahaja, gayanya santai dan jiwanya waja. Namun di sebalik segala itu, dia sedang berhadapan dengan situasi yang sulit, yang hanya dirasai dalam dirinya namun tidak pernah digambar pada wajahnya.

Ahad, 11hb Disember ini, adikku Ismah akan menuju ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) lagi bersama-sama emak dan abang-abangnya Rifqi dan Muhammad. Ke PPUM, tentulah tujuannya tidak lain, untuk proses rawatan. Kali ini dia sekali lagi akan melalui rawatan coiling untuk aneurysm yang dihidapinya.

Kali keempat dia perlu terlantar di hospital, namun dia tetap tenang. Saya kagum dengan semangat juang yang ada padanya. Semangat yang tidak pernah pudar, dan saya tahu Allah bersama-samanya setiap ketika.

Adikku Ismah, semoga Allah memudahkan segala urusanmu, memberi kesembuhan buatmu, melindungimu dan mengampunimu.

Terima kasih juga buat adik-adikku Rifqi dan Muhammad, kerana meluangkan masa untuk emak dan Ismah. Semoga Allah melindungi kalian sepanjang waktu dan ketika.


Untuk emak, semoga tabah menghadapi situasi ini. Sesungguhnya saya bahagia menjadi anak emak, kerana kekuatan yang ada pada emak mengajar saya erti hidup.


Buat adik beradik yang lain, jangan jemu mengirim doa. Semoga segalanya dipermudahkan Allah.

Amin.

Thursday, December 08, 2011

Rehat yang tertangguh

Segalanya tidak seperti yang diatur. Ada-ada sahaja kejutan. Dan sebagai penerima takdir, saya tidak mahu mengeluh.

Awalnya, suami mengajak saya bersarapan di luar pagi ini. Jam 8.00, kami menuju ke gerai makan Nasi Kerabu Cik Siti yang terletak di Kampong Chengal. Sedap juga nasi kerabunya. Selesai makan, saya mengajak suami ke sekolah sebentar untuk sedikit urusan. Tidak lama, jam 9.00 urusan saya selesai.

Dari sekolah, kami menuju ke kedai lauk pauk di Ketereh. Banyak juga kami beli barang-barang basah kerana hajat di hati ingin mengajak anak-anak saudara (Udin dan Ada, Anis dan Zaki) yang baru berkahwin baru-baru ini datang makan malam di rumah kami pada malam esok. Kami beli ayam, udang, sotong dan sayur-sayuran.

Tiba di rumah, jam baru menunjukkan 10.00 pagi. Masih awal lagi. Saya bercadang untuk memeriksa kertas sekitar jam 10.30 nanti. Jika boleh, saya ingin menghabiskan sekitar lapan belas skrip sehari. Semalam saya sudah menghabiskan dua puluh skrip. Sementara masa masih ada 30 minit ini, saya mengemas di dapur.

Suami saya yang keluar membuang sampah sebentar tadi, pulang sekitar 10.30 dan memberitahu saya yang dia ke rumah Kak Zan. Di sana, Udin memaklumkan yang dia dan isteri akan datang ke rumah kami petang nanti, selepas Asar. Anis dan suaminya juga.

Saya mula berkira-kira. Jika mereka datang petang ini, apa perlu saya sediakan? Enggan memikir lama, saya dan suami ke kedai DZ pula, membeli mi dan sedikit barangan untuk cenderahati mereka.

Bila pulang, jam sudah menghampiri tengah hari. Saya perlu memasak pula! Apa cerita skrip saya? Belum bersentuh lagi untuk hari ini!

Saya jerang nasi, masak tom yam dan goreng ayam kampung. Sementara itu menghadap juga skrip semampu mungkin. Dapatlah saya selesaikan empat keping. Jam 1.30, kami makan tengah hari.

Selesai solat Zohor, saya keletihan. Mata juga mengantuk. Saya perlu tidur sebentar.

Jam 3.20 saya bangun dan memulakan operasi untuk memasak mi goreng pula. Sebelum itu, saya menyapu dan mengemop lantai dapur dan ruang tamu yang agak berdebu, serta membersihkan ruang di luar rumah.

Apabila azan Asar berkumandang, saya telah pun selesai menyiapkan bahan untuk mi goreng. Saya berhenti untuk bersolat sekejap, sebelum menyambung proses penggorengan mi pula.

Menu saya selesai sepenuhnya pada jam 5.10 petang. Mi goreng, kek coklat (yang dibeli), air laici dan buah-buahan (anggur dan limau). Saya hidang semuanya cantik-cantik di meja ruang tamu, dan menanti ketibaan tetamu kami.

Sekitar 5.40, mereka tiba. Anis dan Zaki, Udin dan Ada, Mek dan Kak Zan. Kami sama-sama menjamu selera sambil berbual-bual mesra. Jam. 6.35 petang, mereka meminta diri.

Alhamdulillah, selesai sudah acara saya hari ini. Suami saya bersedia untuk ke masjid dan saya pula mengemas apa yang patut.

Selesai solat maghrib, mengaji Quran dan solat Isya', saya menyediakan makan malam untuk suami pula. Kali ini dia tidak meminta banyak, hanya ayam goreng segera sahaja. Saya pula menghabiskan saki baki nasi dan lauk tengah hari tadi.

Jam 10.00 malam, saya sudah kepenatan. Namun saya belum mahu tidur selagi tidak menyiapkan beberapa lagi skrip jawapan. Dengan menguatkan tenaga dan semangat yang tersisa ini, akhirnya saya mampu menyelesaikan enam skrip untuk malam ini. Jumlah untuk hari ini cuma sepuluh. Tak mengapalah, esok masih ada untuk saya gandakannya.




Tuesday, December 06, 2011

Izinkan saya berehat

Bermula semalam, sehingga ke hujung bulan ini, saya akan berada dalam mode yang berbeza. Mode yang tidak membuka ruang yang banyak untuk saya ke udara. Saya dikongkong oleh tanggungjawab kepada negara yang perlu saya langsaikan sebaik mungkin. Saya enggan melaksanakannya dalam suasana tergesa-gesa, kerana natijahnya ialah masa depan mereka - generasi muda.

Sedayanya, saya akan menjadikan jiwa saya milik mereka buat sementara. Maka blog ini berhenti di sini dahulu untuk beberapa minggu. Mungkin sebelum 2012 menjengah, jemari saya akan kembali menari-nari di papan kekunci Acer Aspire 4930 ini, bercerita dan berkongsi rasa.


Sementara itu, jemari saya ingin menarikan pen merah pula, untuk minggu-minggu berehat ini...


Saturday, December 03, 2011

Hati Ummi

Anak-anakku, ummi tak punya banyak cerita untuk hidupmu, tapi ummi punya pesan yang ingin ummi sampaikan. Esok, jika engkau tidak lagi di sisi ummi, ketahuilah bahawa dunia ini tidak selembut belai yang pernah engkau rasa, juga tidak sehangat keluarga yang pernah engkau punya.

Tapi yakinlah anakku, jika engkau menjaga-Nya di hatimu maka Dia akan menjagamu juga dalam perlindungan-Nya. Jika engkau mencintai-Nya maka Dia akan membuat makhluk-Nya mencintaimu juga.

Esok, jika engkau tidak lagi di sisi ummi, ketahuilah ada pelbagai ragam manusia yang akan engkau temui dan mereka punya sisi indah sendiri yang bisa engkau nikmati. Dekatilah mereka, pelajarilah erti sabar, tabah, kuat dan tingkatkan keyakinan dirimu agar engkau tidak tergelincir.

Percayalah anakku, setiap kejadian Tuhan itu adalah untuk kita pelajari sesuatu daripadanya. Maka ambilah apa yang Dia ingin untuk engkau pelajari dan tinggalkan apa yang tidak Dia sukai. Ingatlah bahwa Dia tidak menciptakanmu kecuali untuk menyembah-Nya.

Ummi tidak mampu melindungimu selalu. Ummi punya waktu yang singkat dan terhad, sedang masa depanmu masih luas dan perjalananmu masih panjang. Jika esok engkau tidak lagi di sisi ummi, ketahuilah anakku, cinta kasih ummi tidak pernah padam. Tidak pernah berkurang. Tidak pernah.

Ummi tidak minta apa-apa, selain sebuah kecintaan pada-Nya. Jadilah hamba yang bertaqwa, mudah-mudahan kita sama-sama berkumpul di syurganya...

Friday, December 02, 2011

Books, again!

Here comes my new books, for December.


As a muslim, I admit that my knowledge in Zakat is very limited. I think it's important to have a book on this subject, to help me understand more. The author, Ustaz Hamizul Abdul Hamid was my college mate, back then in 1996 when we were in UKM. He studied Pengajian Islam, and I believe in his ability to produce a good book.


Well, it has been quite a long time I didn't read English novels. Hope this novel will give me some thing refreshing.


And, last but not least is Dina Zaman's stuff. Well, I've been wanting for this book since 2007, the day it was launched and it comes true only today! How long the waiting took time!

"I am Muslim" is a selfish journey of faith. Dina meets shamans, nationalists, moderates and gets into all sorts of scrapes, to discover what Islam means to Muslims in Malaysia. Heartbreaking, angry and downright funny.

Selamat Pengantin Baru

Buat pasangan Norul Anis Rashida Hj Sulaiman (Anis, 23 tahun) dan Mohd Zaki Azmi (Zaki, 28 tahun). Anis begitu manis dalam persalinan biru firus, di sisi Zaki yang segak berbaju melayu umpama pahlawan terbilang. Semoga rumahtangga yang dibina akan sentiasa disulami rasa kasih berpanjangan, rahmat dan berkat dari-Nya, jua kekal sampai ke syurga. Amin.