Saturday, December 24, 2011

Ayah Mat

Hanya dia yang tinggal. Dia, Ayah Mat, seorang tua yang kesunyian. Hanya dia satu-satunya saudara lelaki arwah ayah yang masih ada. Usianya menjangkau 83 tahun, kudratnya sudah tidak sehebat dulu, namun jiwa dan perasaannya tiada siapa yang tahu...

Sewaktu ayah masih ada, mereka sangat rapat. Bukan hanya kerana mereka adik beradik, tetapi kerana ayah berada di bawah jagaannya sejak kecil lagi. Sejak ibu mereka meninggal. Ayah yang baru berusia enam tahun ketika itu, kehilangan tempat bermanja. Kebetulan Ayah Mat baru berkahwin dan belum punya anak. Maka ayah dipelawa tinggal bersamanya.

Dia bukan sahaja abang sulung ayah, tetapi bertindak seumpama bapa juga. Memori saya merakam kemas keakraban mereka. Sangat rapat, sehingga anak-anak Ayah Mat umpama anak-anak ayah, dan anak-anak ayah umpama anak-anak Ayah Mat. Jika Ayah Mat ingin ke mana-mana, ayah mesti turut serta.

Sehinggalah apabila ayah jatuh sakit, Ayah Mat tidak pernah jauh dari ayah. Pernah dia meminta ayah dihantar ke rumahnya, untuk dirawat di sana. Seminggu juga dia menjaga ayah di rumahnya, namun atas sebab-sebab tertentu, kami anak-anak ayah sepakat membawa ayah pulang ke rumah sendiri. Ayah Mat tidak menghalang. Dan dia tidak pernah gagal berada di samping ayah sehinggalah pada saat hembusan terakhir nafas ayah. Masih jelas di ingatan saya, kata-kata yang terkeluar daripada bibirnya tatkala ayah sedang nazak.

"Adik, adik dah nak tinggalkan abang...?" Sayu sekali.

Sejak ayah tiada, kekerapannya bertandang ke rumah kami tidak lagi seperti dulu. Seiring usia yang bertambah dan kudrat yang berkurang, kami kini jarang-jarang bertemu. Apatah lagi tinggal di dua negara yang berbeza, sedikit merumitkan.

Minggu lepas, emak dan Rifqi pulang ke Golok menziarahinya. Emak kata, Ayah Mat semakin kurus sekarang. Dia sangat gembira dengan kehadiran emak dan Rifqi, juga menyebut-nyebut nama kami adik beradik yang lain ini. Dia rindu, mungkin. Oh! Saya juga begitu. Sangat rindu padanya tetapi upaya saya terhad untuk mengunjunginya.

Pun, dia tetap ada dalam doa saya. Setiap waktu dan ketika, kerana dia juga umpama ayah bagi saya.

Saudara-saudaraku, kirimlah doa buatnya. Kenanglah dia selalu, dan berusahalah untuk pulang menziarahnya. Dia bukan orang lain, dia bapa saudara kita yang sangat banyak berjasa pada ayah kita...

No comments:

Post a Comment