Hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Dari pagi hujan turun sekejap-sekejap, dan cuaca sejuk sekali. Terasa indahnya jika dapat bergulung dalam selimut namun tuntutan hidup tidak membuka ruang sebegitu.
Selesai sarapan, saya mengadap skrip calon untuk memenuhkan kuota hari ini. Selesai enam skrip, kebosanan menyinggah. Saya baring sebentar, sehinggalah jam 8.30 saya dan suami bersiap-siap untuk ke rumah emak.
Mula-mula, kami ke rumah mek yang hanya beberapa meter dari rumah emak. Mek sedang bersarapan. Dia pun ingin ke rumah emak juga, jadi selesai sarapan, mek bersama-sama kami menuju ke rumah emak.
Segalanya damai dan ceria. Rifqi terlena di sofa, emak dan Husna juga Sufi sedang menonton TV, Muhammad pula baru selesai bersarapan, sementara Hawari sedang mengendong Nasih. Ismah masih di bilik. Berehat dia.
Apabila kami sampai, mereka bersama-sama kami di ruang tamu, dan Ismah bercerita pada saya tentang prosedur yang dilaluinya untuk rawatan coiling. Hatinya sungguh amat takut kerana rawatan itu melibatkan risiko nyawa, stroke dan buta yang agak besar iaitu 10 - 14%. Katanya, dia mahu sahaja menarik diri daripada meneruskan rawatan apabila memikirkan risiko sebesar itu, namun melihat wajah tenang emak dan abang-abangnya dia teruskan juga.
Siapa pun yang berada di tempatnya, tentu juga sepertinya. Dalam dilema, untuk meneruskan rawatan atau membiarkan sahaja penyakit itu bersarang dalam diri. Rawatan berisiko, tidak dirawat juga berisiko.
Alhamdulillah, keputusan Ismah tepat. Dengan izin Allah, tahap ketelitian para doktor pakar yang terlibat telah menjayakan rawatan ini sepenuhnya. Walaupun ia sangat-sangat mendebarkan, namun berkat doa dan keyakinan, serta kasih sayang dan rahmat Allah, Ismah masih ada di sisi kami dengan senyum manis dan keceriaan yang tidak sedikit pun berubah. Terasa betapa besarnya kurniaan Allah ini, memberi kesembuhan pada Ismah walaupun dia masih perlu hadir temujanji dan rawatan susulan selepas ini.
Semoga hari-hari mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kami. Tiada yang lebih bererti bagi saya, selain melihat ahli keluarga saya sihat, ceria dan bahagia sentiasa. Semoga Allah melindungi kita sekeluarga di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment