Sewaktu kecil dahulu, saya sememangnya sentiasa hilang arah tanpa emak. Jika ayah tiada, tinggalkan kami semalam dua kerana berurusan di mana-mana, saya masih boleh senyum dan ketawa di rumah. Saya masih riang bermain dan berlari bersama adik beradik dan kawan-kawan. Namun jika emak tiada (selalunya pulang ke kampung menziarah keluarganya dan meninggalkan kami di rumah di bawah jagaan ayah), saya akan jadi murung.
Saya jadi rindu yang sangat-sangat pada emak. Rumah menjadi sunyi, suasana pun berubah menjadi sangat muram. Sehari emak tiada, saya tidak mampu menahan perasaan. Selalunya, untuk mengurangkan tekanan jiwa itu, saya memeluk bantal dan menangis. Dalam hati saya berjanji, bila emak pulang saya tidak akan melawan cakap emak lagi. Saya akan jadi sebaik-baik anak untuk emak.
Bila emak pulang, saya berasa sangat lega. Mendengar suara emak pun, saya sudah riang. Belum lagi dipeluk dan dicium emak. Tapi biasalah, janji untuk menjadi anak yang baik hanya tatkala emak tiada. Bila di sisi emak, saya kembali nakal. Menangguh-nangguhkan kerja, menyepah-nyepahkan ruang tamu dan bertandang ke rumah jiran tak tentu masa.
Emak memang gemar berleter kala dia marah. Tetapi mungkin kerana saya terlalu rapat dengan emak, leteran dan kemarahan emak hanya bagai angin lalu. Saya lebih takut pada ayah berbanding emak. Emak marah macam mana pun, saya boleh tahan telinga. Tapi kalau ayah, mendengar dia berdehem pun saya sudah kecut perut! Kasihan emak...
Sekarang, emak sedang meniti usia emasnya. Alhamdulillah Allah kurniakan emak kesihatan yang baik. Emak tiada kencing manis, tiada darah tinggi, tiada masalah jantung. Cuma emak mudah penat dan cepat pening kepala kerana hb count emak agak rendah.
Melihat wajah tua emak, saya rasa sayu. Sekian lama emak menghitung penat dan jerih saat membesarkan kami berlapan, kini masanya untuk emak berehat dan berlapang dada. Biarpun tanpa ayah di sisi, emak sentiasa kuat dan tabah meneruskan hidup. Lapan orang anak emak semuanya sudah membawa haluan masing-masing. Emak bakal kembali bersendiri sebaik tamat cuti sekolah nanti. Mujur juga ada Ismah, (yang sekarang sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan di kampung kami) menjadi peneman emak buat waktu ini.
Lumrah, semakin berusia semakin mudah terasa. Emak pun begitu. Kini, saya cuba untuk menjaga tutur bicara agar tidak menggores hati emak. Saya takut jika emak terluka, dan memendam rasa terhadap anak-anak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman hari tuanya ini. Saya mahu emak berehat dengan tenang. Setenang-tenangnya.
Semoga Allah melindungi emak, di bawah perlindungan-Nya yang tidak pernah lalai. Semoga anak-anak emak akan mampu membahagiakan emak di dunia dan di akhirat.
Saya sayang sangat-sangat pada emak saya!
No comments:
Post a Comment