Saturday, April 27, 2013

MIMPI

Aneh
tiap mimpi membuka kelopak mimpi yang lain
berlapis-lapis mimpi
tiada dinding dan tirai akhir
hingga kau semakin jauh
dan semakin dalam tersembunyi
dalam ratusan tirai rahsia
membiarkan aku asing pada wujud hampa
dan wajah sendiri.

Kudatangi kemudian pintu-pintu awan
nadi-nadi cahaya dan kegelapan
rimba sepi dan kejadian -- di jalan-jalannya
di gedung-gedungnya
kucari sosok bayangku
yang hilang dalam kegaduhan.

Tetap
yang fana mengulangi kesombongan dan keangkuhannya
dan berkemas pergi entah ke mana gelisah
asing memasuki rumah sendiri menjejakkan kaki
bergumul benda-benda ganjil yang tak pernah dikenal
menulis sajak
menemukan mimpi yang lain lagi berlapis-lapis mimpi
tiada dinding akhir sebelum menjumpai-Mu.

(Abdul Wahid MN)

Thursday, April 25, 2013

Hahaha!!

Kali ini, saya mahu ketawakan diri sendiri!

Kenapalah saya bertindak sangat bodoh tengah hari tadi? Macam kena pukau, ikut saja apa yang orang yang entah siapa-siapa tu minta. Pada hal, dia sedang menipu saya!

Akibatnya, saya kehilangan sejumlah wang.

Ini pengajaran. Walaupun awalnya saya berasa sedih kerana ditipu, tetapi saya tidak mahu perasaan sedih itu menyebabkan saya tidak senang duduk. Sudahnya, saya ketawakan diri sendiri. Hahahaha!!!

Bukan saya tidak pernah menerima panggilan daripada 'penipu-penipu' seperti itu, tetapi tadi saya bagai dipukau. Saya jawab segala soalannya dengan jujur dan menerima segala tawaran yang diberi. Selesai perbualan, barulah saya bagai tersedar dan menyesal. Saya hubungi pusat kad kredit saya dan dimaklumkan, wang saya telah diambil sebanyak RM599 oleh syarikat entah apa-apa itu. Hahahahaha!!!

Buat semua yang belum terkena, beringatlah. Jika anda menerima panggilan telefon yang entah siapa-siapa pemanggilnya yang mengucapkan tahniah kerana anda bertuah, sebenarnya anda sedang dalam perangkapnya. Janganlah membodohkan diri anda sendiri seperti apa yang saya lakukan tadi. Putuskan sahaja talian, habis cerita.

Tidak. Saya kata TIDAK!!


Sesekali tidak akan. Mereka sendiri menghina undang-undang yang mereka cipta. Saya tidak akan. Sekian.

Kain Putih

Dahulu, dia hanyalah sehelai kain putih. Suci tanpa noda. 

Selepas tujuh belas tahun, warna-warna yang pelbagai telah tercorak hasil dari pergaulan dan persekitaran. Tiada lagi putih. Yang ketara hanyalah kelam dan kelabu.

"Sedap ke hisap rokok?" Saya melontar soalan saat dia duduk di hadapan saya. Dia anak remaja yang mudah dibuai rasa. Saya tidak mahu mengganggu jiwanya, sekadar bertanya dalam nada yang sangat santai.

"Sedap. Hilang rasa 'lugar' lepas makan nasi," selamba dia menjawab.

"Saya nak cubalah. Bagi saya satu boleh?" 

"Eh! Orang perempuan mana boleh hisap rokok cikgu!"

"Kenapa? Kami pun nak juga rasa sedap hisap rokok tu.."

Dia tergelak dengan kata-kata saya. Banyak juga dia memberi alasan, katanya nanti dapat kanser. Saya hanya tersenyum. 

"Mana awak dapat duit beli rokok?"

"Emak bagi."

"Emak awak bagi duit suruh beli rokok?"

"Taklah! Dia bagi duit suruh saya beli makanan. Tapi saya beli makanan dan rokok," jujur dia menjawab.

Lama saya mencari satu kesimpulan. Mereka sebenarnya hanyalah segelintir daripada jutaan anak remaja yang mudah dipengaruhi persekitaran. Ini baru cerita rokok. Belum lagi tentang pil kuda atau dadah yang saya pasti sangat ramai anak remaja kita menjadi mangsa.


Wednesday, April 24, 2013

Doa

Jujurnya, saya kecewa dengan dunia politik Malaysia. Saya sangat kesal hingga ada waktu-waktunya, saya menyalahkan sistem demokrasi. Walaupun saya tahu sistem ini antara yang terbaik di dunia tetapi ia tidak begitu di negara saya. Demokrasi di Malaysia melahirkan sejuta rasa jijik dan loya dalam diri. Sungguh jijik, sungguh loya. 

Fitnah hanya menjadi satu mainan yang tidak lagi ditakuti akan dosanya. Kejian dan kutukan usah ceritalah. Di sana sini, keaiban manusia hanya di hujung jari. Benar atau tidak belakang kira. Demi politik kepartian, segala yang haram jadi halal, dan yang halal jadi haram.

Saya benar-benar loya.

Ulama atau tidak, sama sahaja. Susah mencari satu kayu pengukur untuk menilai yang mana satu ulama kerana akhirat, dan yang mana satu mementingkan duniawi. Kekeliruan rakyat seperti saya tidak pernah diambil peduli. Mereka sesama mereka bergaduh dan bertelagah hanya kerana berlainan ideologi. Yang baik nampak jahat, yang jahat nampak baik.

Yang totok, mengikut sahaja segala apa kata pucuk pimpinan mereka tanpa sedikit pun mahu menggunakan akal fikiran. Semua tindakan pimpinan mereka sentiasa betul, sentiasa benar.

Yang di atas pagar, sering ditiup-tiup pendiriannya oleh angin perubahan. Sekejap meliuk ke sana, sekejap melintuk ke sini. Tidak pernah tenteram.

Sungguh benar saya keliru.

Saban hari saya berfikir, bilakah Malaysia akan benar-benar menjadi negara yang meletakkan Islam di puncak tertinggi?


Ya Allah Ya Tuhanku, engkau berikanlah kemenangan kepada golongan yang benar-benar mahu menegakkan Agama-Mu di bumi Malaysia ini. Yang benar-benar ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat. Yang tidak meletakkan sedikit pun kepentingan peribadi dalam perjuangan mereka.

Ya Allah, berilah kepadak kami - aku dan adik beradikku dan seluruh rakyat Malaysia - petunjuk-Mu, agar undian kami kali ini benar-benar bermakna. Agar kami tidak keliru - dikelirukan atau mengelirukan - antara yang haq dan yang batil. Semoga kami tidak tersilap membuat pilihan ya Allah! Semoga pilihan kami adalah pilihan yang Engkau redhai Ya Allah!

Tuesday, April 23, 2013

Belanja

Keinginan seorang makhluk bernama manusia ini tidak akan pernah ada batasnya. Biarpun duit yang ada seciput cuma, namun kemahuan diri tetap melangit tingginya.

Sekarang, di persekitaran saya, ramai yang tersenyum manis menayang gelang dan cincin baru mereka. Berkelip-kelip dan bersinar-sinar. Rancak perbualan mereka tentang merudumnya harga emas masa kini, serancak itulah juga mereka mengunjungi premis-premis berkaitan. Saya terliur juga, tetapi memandangkan baru sahaja saya berhabis sebanyak RM5355 pada 20hb Disember lalu di kedai emas Lee Wah, Ketereh membeli seutas gelang dan sebentuk cincin, saya hanya berdiam diri. Merudumlah engkau wahai harga emas, saya tetap tidak akan tergoda lagi! 


Lagi pun, sepanjang Mac dan April ini, kos perbelanjaan saya berganda-ganda. Membina stor dan rumah burung itu sahaja menelan RM9000. Pembaharuan insurans dan cukai jalan Toyota Camry dan Pajero pula berlaku serentak. Terkorbanlah juga RM1700 untuk Camry dan RM1200 untuk Pajero. Kebetulan, pembayaran penuh untuk umrah kami pada hujung Mei ini juga pada bulan ini. Terbang lagi RM13500 untuk saya dan suami, juga RM8000 untuk ma dan adik-adik. Manalah ada ruang untuk saya mencari gelang dan cincin baru?

Namun, keinginan berbelanja tetap mendatang. Jika pun bukan emas perhiasan, saya kini sedang membelek-belek kisah Samsung Galaxy yang baru. Mungkin Note, mungkin S3. Hmm...


Malam tadi, saya memberitahu keinginan memiliki Galaxy Note atau S3 itu kepada suami saya. Dia kelihatan positif dan tidak menghalang niat suci saya. Oh! Terharunya hati ini...!

Kini saya sedang berkira-kira untuk mendapatkan sebuah Samsung Galaxy Note 2 atau S3 beserta pakej plan Celcom. Insya Allah, seminggu dua lagi hajat saya yang ini bakal terlaksana jika tidak dilintangi aral.

Monday, April 22, 2013

Yang

Aduh!

Tak habis-habis!

Yang ini kata begitu. Yang itu kata begini. Yang ini ambil sekerat-sekerat. Yang itu ambil separuh-separuh. Yang itu kata yang ini haram. Yang ini kata yang itu masuk neraka. Yang ini putar belit. Yang itu bertindih-tindih.

Semua main kotor. Semua jahat. Semua nak menang dengan cara tak betul. Semua menyakitkan hati!

Tetapi hakikatnya, dalam jahat dan kotor itu, tetap kita wajib memilih salah satu. WAJIB!

Yang manakah?

Istikharah, berbincang, mencari maklumat.

Sesungguhnya, hati manusia lebih mudah lunak dengan akhlak, berbanding hujah.

Kesimpulan saya masih lagi jitu dengan yang itu.

Trigonometri

Tiba-tiba dia datang memberitahu saya yang dia mahu memantau aktiviti pengajaran saya di dalam kelas pada minggu hadapan.

Ya Tuhan!

Sudah lebih lima belas tahun saya menjadi guru, tidak pernah sekali pun saya dipantau oleh mana-mana individu. Memang di atas kertas, pemantauan itu wajib tetapi selalunya pihak pentadbir hanya memantau secara rahsia, atau secara sepintas lalu. Dengan melihat dari jarak jauh, atau memeriksa buku rekod pengajaran guru, atau menilik-nilik buku latihan murid-murid.

Kali ini saya gagal mengelak. Saya perlu bersedia.

Matematik Tambahan Tingkatan Lima, topik Fungsi Trigonometri.

Mujur juga topik Vektor telah selesai. Jika tidak, terkial-kial juga saya untuk menyediakan diri kerana Vektor itu bukan jiwa saya. Jiwa saya Matematik Tulen - bukan Mekanik, bukan Statistik. Lalu Trigonometri sangat memenuhi keperluan itu. Sekurang-kurangnya.

Murid-murid tingkatan lima ini sebenarnya sudah ada asas trigonometri yang telah mereka pelajari sewaktu di tingkatan tiga dan empat dahulu. Sin, kos dan tan telah pun mereka hafal nisbahnya. Bentuk graf trigonometri juga telah mereka kenali pada kelas Matematik Tingkatan Empat. Jadi tugas saya hanya memanjangkan lagi pengetahuan mereka.

Pagi 22hb April. Saya melangkah yakin ke Tingkatan 5 IBS. Berbekalkan pengetahuan di dada dan sedikit persediaan mental, saya membuka lembaran pengajaran.

Beberapa minit kemudian, dia tiba. Murid-murid memberi salam, dan dia mengambil tempat di meja belakang.

Saya cuba berlagak normal. Saya mengajar seperti biasa, tanpa rasa ragu atau kelu. Mujur murid-murid saya memberi kerjasama yang sangat baik. Saya dibantu dengan penyertaan aktif mereka dalam mengutarakan soalan dan masalah.

Alhamdulillah, saat dia melangkah keluar kira-kira setengah jam sebelum proses pengajaran saya berakhir, saya tahu dia bakal memberi reaksi positif.

Usai pengajaran itu, saya terus menuju ke biliknya. Dia menyambut dengan senyuman manis dan menghulur sedikit ulasan. Saya berpuas hati dengan profesionalisme miliknya.

Saat ini, saya sudah lega.

Sunday, April 21, 2013

Mengapa Tidak Mengundi Itu Bukan Satu Pilihan

Anda tinggal di sebuah bandar kecil yang hanya mempunyai sebuah kedai roti. Ia menyediakan satu-satunya sumber makanan  di tempat anda iaitu roti. Roti yang dijual kecil sahaja, hangus dan sangat mahal. Kakitangan di kaunter pula kurang sopan dan tidak pandai berbudi bahasa dengan pelanggan. Kadang-kadang, mereka juga menipu wang anda dan memberi anda roti kurang daripada yang anda bayar. Tetapi masih, semua orang pergi ke sana kerana tidak ada pilihan lain.

Satu hari, sebuah kedai roti baru dibuka di seberang jalan. Roti mereka lebih besar, tidak hangus dan murah. Tetapi kakitangan di kedai roti yang baru juga tidaklah begitu berbudi bahasa, malah ada juga menipu wang anda sekali sekala.

SENARIO 1

Anda membuat keputusan untuk memberi peluang kepada kedai roti baru itu dengan memberitahu semua rakan-rakan dan keluarga anda supaya beralih kepada kedai roti baru. Akhirnya lebih separuh daripada pelanggan telah beralih kepada kedai roti itu.

Kedai roti lama menyedari hal ini lalu menurunkan harga roti mereka menjadi lebih murah. Mereka kemudiannya berjaya memenangi beberapa pelanggan kembali.

Kedai roti baru seterusnya meningkatkan perkhidmatan pelanggan mereka dan mengurangkan juga harga roti mereka untuk terus bersaing.

Dan seterusnya, banyak lagi persaingan sihat yang berlaku sehingga kedua-dua kedai roti mempunyai standard yang lebih baik dan makin baik untuk semua pelanggan, tanpa mengira kedai roti mana yang menjadi pilihan pelanggan.

SENARIO 2

Anda memberitahu semua orang bahawa kedua-dua kedai roti itu sama sahaja, perkhidmatan kedua-duanya buruk dan suka menipu pelanggan. Tetapi anda tidak bolehhidup jika tidak membeli roti kerana itu makanan utama anda. Jadi anda memilih untu meneruskan sebagai pelanggan kedai roti lama kerana anda terlalu malas serta takut untuk bertukar. Kawan-kawan anda dan keluarga dipengaruhi oleh pendapat anda dan mereka melakukan perkara yang sama.

Akibatnya kedai roti baru tidak mampu bertahan dan tidak ada lagi kedai roti baru yang dibuka kerana pelanggan telah menjadi tidak peduli dan masih setia dengan kedai roti lama walaupun kedai roti lama itu bukanlah bagus sangat.
 
Kesudahannya kedai roti lama tidak mempunyai pesaing lalu meningkatkan harga mereka sesuka hati hingga ia tidak lagi berpatutan. Ramai rakyat kebuluran. Perkhidmatan pelanggan pula menjadi yang amat dahsyat dan anda tertipu setiap kali berurusan di kedai itu.

Akhirnya, kedai roti lama itu menjadi begitu kuat dan ia mengambil alih bandar anda. Dengan kuasa yang ada, kedai itu membuat undang-undang baru iaitu tiada kedai roti lain dibenarkan untuk dibuka di bandar itu.

Kedua-dua senario di atas sememangnya sangat logik.

Ramai orang berkata mereka fikir ia adalah sia-sia untuk mengundi kerana semua ahli-ahli politik dan parti-parti adalah sama.

Tetapi dengan melaksanakan hak anda untuk mengundi, anda menjaga mereka dengan kuasa anda, dan perkara-perkara yang hanya boleh meningkatkan kesedaran mereka tentang hak anda sebagai pemilih. Orang yang tidak mengundi fikir mereka tidak melakukan apa-apa, tetapi ia sebaliknya.

Dengan tidak mengundi, anda sebenarnya mengukuhkan status quo, dan bukan itu sahaja, anda juga memastikan tiada pernah akan berlaku sebarang perubahan.

Kerana itu, tidak mengundi itu bukan pilihan bagi saya.

Oh ya, terdapat satu lagi pilihan, Senario 3 - membuka kedai roti yang lebih baik daripada yang sedia ada. Malangnya, saya tidak pandai berniaga. 

Maka saya memilih untuk mengundi!

Adik Beradik Ayah (Updated)

Ayah (Muhyiddin) mempunyai 11 orang adik beradik, daripada satu bapa dan empat orang ibu. Ayah lahir pada tahun 1944 dari ibu yang pertama bernama Halimah. Ayah anak yang ketiga, selepas dua orang abang - Muhammad (1929) dan Mahmud (1933). Pada waktu itu, bapanya memiliki seorang lagi isteri dan mempunyai tiga orang anak dari isteri tersebut iaitu Radhiah (1938), Ahmad (1943) dan Siti Hajar (1944, sebaya ayah).

Sewaktu ayah berusia enam tahun, ibunya meninggal dunia. Ayah menumpang kasih pada ibu tirinya, yang telah melahirkan dua orang lagi cahaya mata, Siti Aminah (1946) dan Latifah (1954).

Bapa ayah turut memiliki seorang anak perempuan bernama Saidah (1935) daripada isterinya yang ketiga.

Pada tahun 1957, ibu tiri ayah pula meninggal dunia. Bapa ayah seterusnya menikahi wanita dari Pasir Mas bernama Habsah, dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan - Zakiah (1960) dan Asma' (1963).

Pada tahun 1981, ketika berusia 80 tahun, bapa ayah (Mustapha @ Hj Walong) meninggal dunia. Pada tahun 1992, ibu tiri ayah (Hafsah) pula meninggal dunia.

Inilah adik beradik ayah, mengikut susunan umur.

1. Muhammad (1929 - )
2. Mahmud (1933 - 1978) - meninggal ketika sedang tidur, pada usia 45 tahun.
3. Saidah (1935 - 1988) - meninggal ketika berusia 53 tahun.
4. Radhiah (1938 - 1998) - meninggal ketika berusia 60 tahun, juga ketika tidur.
5. Ahmad (1943 - 1984) - meninggal pada usia 41 tahun, kerana serangan jantung.
6. Muhyiddin/ayah (1944 - 2000) - meninggal kerana kanser pankreas, pada usia 56 tahun.
7. Siti Hajar (1944 - )
8. Siti Aminah (1946 -2012 ) - meninggal pada usia 66 tahun kerana kanser payudara.
9. Latifah (1954 - 2013) - meninggal pada usia 59 tahun kerana angin ahmar.
10. Zakiah (1960 - )
11. Asma' (1963 - 2010) Meninggal pada usia 47 tahun, kerana kanser payudara.

Yang Tertinggal

Sedang saya bersarapan pada pagi Jumaat 19hb April baru-baru ini, terdengar deringan telefon di bilik tidur saya. Nada dering milik emak menerjah pendengaran dan saya bergegas ke bilik. Sentiasanya, jika pagi-pagi begini emak menelefon, saya sering diburu cemas. Entah kenapa, saya dapat berasakan ada sesuatu yang kurang enak bakal emak maklumkan pada saya.

Benarlah. Emak kata Mak Pah tenat. Sejak malam tadi dia tidak sedar dan sekarang berada di rumahnya di Rantau Panjang. Emak akan ke sana dengan Ismah, dan meminta saya menyusul apabila ada ruang nanti.

Jauh di sudut hati, saya mahu segera ke sana tetapi bagaimana? Suami saya tidak pernah ke rumah Mak Pah jadi dia tidak tahu jalan. Saya ini, pernahlah sekali ke sana tetapi mana boleh diharap pada ingatan seorang wanita yang sering tertidur dalam perjalanan? Husna menghantar mesej, dan kami bersetuju untuk ke sana pada esok pagi. Suami saya bersuara juga, "sempat ke?" Saya tahu dia khuatir esok mungkin sudah terlambat. Tetapi upaya apa yang kami ada?

Mak Pah ialah ibu saudara kami. Dia adik perempuan arwah ayah yang berlainan ibu. Waktu saya kecil dulu, Mak Pah kerap datang ke rumah kami. Kami juga kerap ke rumah sewanya di Rantau Panjang. Waktu itu dia bertugas sebagai guru sekolah rendah di sana. Apabila ayah dan emak pulang ke Golok, rumah Mak Pah lah tempat kami singgah melepas penat serta menikmati hidangan tengah hari.

Saya pernah bermalam di rumahnya, tetapi saya lupa pada ketika itu, umur saya berapa. Saya seronok jika dapat ke rumah Mak Pah, sebab ada peti sejuk yang airnya sangat lazat diminum. Juga ada banyak kaset-kaset penyanyi popular waktu itu seperti Dhalan Zainuddin, Khatijah Ibrahim, Uji Rashid dan Jamal Abdillah. Malah, hobi saya membaca pelbagai majalah sebenarnya bermula dari rumah Mak Pah. Ada banyak majalah di rumahnya, tersusun kemas di meja TV warnanya. Ada JELITA, KELUARGA, WANITA, juga URTV.

Saya lupa kerana apa saya bermalam di rumahnya pada ketika itu, tetapi saya ingat saya membantu Mak Pah membuat ais krim Malaysia pada waktu malam, di depan TV untuk dimakan esok nanti.

Apabila Mak Pah berkahwin pada 1982, dia tidak lagi menyewa di situ. Dia mula membina rumah sendiri dan hidup tenang di sisi suami dan anak-anaknya yang bertiga - Haizum, Taufik dan Fuad. Kami pun mula jarang-jarang bertemu.


Sewaktu ayah terlantar sakit pada 1999, Mak Pah kerap juga datang menziarah. Tetapi waktu itu, kesihatan Mak Pah sudah pun merosot. Dia mengidap darah tinggi dan kencing manis. Sewaktu ayah tenat, saya masih ingat Mak Pah menangis di sisi ayah.

Jam. 5.59 petang, Husna menghantar mesej memaklumkan kepergian Mak Pah ke pangkuan Ilahi. Saya terkedu, hilang kata-kata. Kali terakhir saya melihat Mak Pah ialah pada hujung tahun 2012, sewaktu kenduri arwah Mak Nah di Bakong. Mak Pah cuma terbaring lesu, kerana serangan stroknya yang telah bertahun-tahun itu tidak memungkinkannya bergerak aktif seperti dulu. Sayu matanya memandang saya masih terbayang-bayang di ingatan.

Selesai Isya', kami ke rumahnya di Rantau Panjang, berpandukan peta lakaran Ismah. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan Allah, sekitar 11.15 malam jenazah Mak Pah disembahyangkan dan di bawa ke tanah perkuburan.

Sesungguhnya, daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali.

Dalam usia 59 tahun, Mak Pah kembali menemui Penciptanya. Yang tertinggal, adalah kita yang masih belum tahu bagaimana pengakhiran nanti. Mak Pah, saya sentiasa mendoakan agar Allah mengampuni Mak Pah, dan melapangkan Mak Pah di alam sana. Amin.

Saturday, April 20, 2013

Malas

Kenapalah saya ni maaaaaalaaasss sangat memasak? Malas yang sungguh-sungguh. No lie!

Saya rasa dah tak mungkin akan berubah dah sikap saya ini. Berada di dapur untuk setengah jam pun saya rasa terseksa amat. Jiwa saya meronta-ronta nak buat benda lain. Basuh baju, lipat kain atau kemas rumah adalah jauh lebih baik daripada memasak!

Kenapa?

Saya pun tak tau. Masakan saya tak pernah sedap, dan kerap kalinya saya sendiri tak berselera melihat masakan saya. Tolonglah!

Sekarang dah dekat 12.30 tengah hari. Nasi saya dah jerang tapi idea nak masak lauk apa, tak jugak datang-datang. Saya dah keluarkan ikan tenggiri, sotong dan udang dari freezer, tapi masih buntu hingga sekarang.

Masak kari? Sotong rebus? Sambal udang?

Kalaulah acara masak memasak ini boleh berada di hujung jari seperti online shopping tu kan best! Petik je keyboard, keluarlah lauk yang dah masak. Oh seronoknya!

Wednesday, April 17, 2013

Picture says a thousand words

Hati yang mudah tersentuh.

Saat saya menyusuri laman facebook pagi ini, jari saya laju sahaja menekan arrow button di laptop. Tiada mood untuk membaca status yang banyak dan panjang, tiada keinginan untuk melihat gambar yang pelbagai, apatah lagi dalam musim seperti sekarang, kebanyakan status bagai angin lalu cuma. Sehinggalah apabila saya terlihat gambar ini.


Dada saya sebak. Nafas saya tiba-tiba terputus-putus. Pandangan pula semakin kabur.

Ada rasa rindu yang menggetarkan hati saya. Ada rasa kasih yang tidak terungkap dalam jiwa. Juga, ada sedikit rasa cemburu pada wanita manis yang bertuah ini.

Saya menangis. Sungguh-sungguh.

Kenyataannya, gambar ini telah menghulur bicara kepada saya tanpa perlu ia bersuara. Gambar ini memiliki sentuhan yang sungguh dalam. Bicara tentang kasih seorang anak, kasih seorang bapa, pertalian, keprihatinan, kemesraan, kesyahduan, dan banyak lagi.

Siapakah di antara kita yang memiliki kesempatan anugerah Tuhan seperti wanita ini, dan mampu pula memanfaatkannya agar tiada rasa gundah pada kemudian hari? Mampu memesrai bapanya, dengan pandangan dan sentuhan penuh kasih, dengan senyum dan tawa mesra, pada saat dunia melempar pelbagai kisah dan cerita pada keluarga mereka?

Sungguh saya rasa cemburu kerana saya tidak punya kesempatan itu. Namun jauh di dasar hati, saya kagum dengan jiwa-jiwa mereka yang sangat sarat dengan kecintaan yang murni, biar apa pun tohmahan dan kejian.

Tuhan, anugerahi mereka rahmat-Mu.

Tuhan, beri keampunan dan kasih sayang-Mu buat kedua-dua orang tuaku.

Amin.


Monday, April 15, 2013

Begini Rasanya

Semakin ia mendekat, semakin gelora perasaan saya bergulung-gulung. Selagi ia tidak selesai, selagi itu sekitar saya menjadi sangat busuk. Jijik. Semuanya!

Malam-malam, saya tidak lagi mahu menonton berita. Surat khabar juga kini bukan santapan harian saya. Di tempat kerja, saya memekakkan telinga daripada segala isi perbualan yang memualkan. Saya mahu membatukan diri, mengasingkan jiwa daripada segala perkara yang tidak saya ketahui hujung pangkalnya. Saya malas membiarkan diri saya terpalit dengan lumpur-lumpur sebegini. 

Apa yang saya tunggu hanyalah harinya.

5hb Mei nanti, saya mahu melunaskan apa yang seharusnya saya lunaskan sejak dahulu. Saya resah dipalit perasaan seperti ini. Saya mahu ia berakhir pada 5 Mei ini, supaya saya boleh meneruskan aktiviti saya tanpa sebarang rasa cuak lagi.

Aduhai, cepatlah segalanya menghilang! Segeralah segalanya pergi! Saya mahu aman!

Tuesday, April 09, 2013

Hijau Yang Biru


Sejak kecil, saya melihat persekitaran yang hijau. Arwah ayah dan emak kelihatannya teguh dan utuh berdiri di atas paksi kehijauan yang amat diyakini mereka. Saya dan adik beradik mulanya sekadar menjadi pemerhati namun seiring usia yang mendewasa, kami masing-masing membuat pilihan sendiri.

Ayah yang saya kenali, walaupun hijaunya bagai mendarah daging tetapi tidak pernah menjadi penyokong tanpa hemah. Saya masih ingat apabila ramai yang mempersenda kepergian Tun Mahathir ke tanah suci sekitar 90-an dahulu, ayah benar-benar terkilan. Kata ayah, sungguh biadap mereka itu. Kenapa tidak mereka doakan yang baik-baik, kerana Tun itu seorang yang beragama Islam?

Begitu juga apabila ada segelintir rakannya yang tidak mahu solat berimamkan seorang ustaz yang nampaknya biru. Ayah kesal sungguh. Katanya, Islam tidak mengajar begitu. Apa pun warnanya, dia tetap sahabat kita yang beragama Islam dan solat berimamkan ustaz itu tetap sah dan berpahala. Itu peribadi ayah yang sangat saya sanjungi. Ayah memang sentiasa hebat di mata saya. Apa yang ayah tunjukkan, benar-benar saya mahu teladani.

Ini negara Malaysia yang demokrasi. Sebagai rakyat, kita bebas memilih apa yang kita yakini. Jangan dicela pilihan siapa-siapa pun kerana mereka ada hujah yang mereka pegang. Apatah lagi dalam kalangan adik beradik sedarah sedaging. Biar apa pun pilihan mereka, saya tetap hormati. Dan semestinya, saya mahu pilihan saya juga dihormati. Perlu apa bertelagah? Nanti hanya merosak kemurnian persaudaraan yang sememangnya lebih perlu dimuliakan daripada pegangan politik. Saya lebih takut keretakan yang akan berpanjangan dalam keluarga bakal menatijahkan sesuatu yang lebih buruk di sisi Tuhan.

Saya kasihkan negara saya. Saya sentiasa mendoakan yang baik-baik buat negara Malaysia ini dan seluruh penghuninya. Saya impikan sebuah negara yang sentiasa adil dan bebas, yang memberi banyak kemudahan buat rakyat. Kebajikan dan keselamatan takyat dinomborsatukan. Dan logiknya, saya menyokong gagasan yang saya rasa mampu merealisasi hasrat saya.

Namun, saya juga menyayangi persaudaraan antara saya dan ahli keluarga saya. Untuk kali ini, saya tidak mahu berseru apa-apa. Kalian semuanya telah terdidik molek dan memiliki ilmu yang tinggi. Pilihlah dengan mata hati agar tidak kesal pada kemudian hari.

Sekadar itu.

Monday, April 08, 2013

Cuaca

Penatlah pula saya hari ini. Salah cuacakah yang begitu panas mencengkam belakangan ini, atau beban tugas yang makin bertambah hari ke hari?

Di kelas tadi, saat berdiri untuk menulis di papan hitam, badan saya terasa lemah amat. Nafas bagai tercungap-cungap. Murid-murid pun bertanya, “kenapa cikgu?”

Saya memberitahu mereka saya rasa penat. Saya perlu duduk sebentar. Mujur mereka memahami. “Tak apa cikgu, kami pun penat juga.”

Kembali ke bilik, saya mencari kerehatan sebentar. Saya bersandar di bangku sambil mendengar lagu-lagu berirama perlahan dendangan Siti Nurhaliza melalui komputer riba kesayangan saya yang sudah hampir lima tahun berbakti tanpa rasa jemu itu. Suasana memang sangat panas, dan peluh saya bercucuran. Kebetulan hari ini saya berbaju hijau kosong tanpa corak, yang menampakkan belakang saya basah! Agak segan rasanya untuk ke sana ke mari dengan penampilan seteruk ini. Apakan daya, bilik peperiksaan ini tiada berhawa dingin seperti mana bilik guru di tingkat atas sana. Mahu berehat di sana pun, rasa tidak sesuai juga. Nanti mengganggu rakan-rakan yang sedang tekun bekerja di situ.

Tugas dan tanggungjawab pula sangat membebankan. Tapi itulah yang perlu saya bereskan sepanjang minggu ini. Buku program Bulan Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah pun saya siapkan pada hujung minggu lalu. Pelancarannya sudah pun usai pagi semalam sewaktu perhimpunan rasmi sekolah. Semalam juga, saya bertungkus lumus menyiapkan headcount dan target serta menganalisis Ujian Mac baru-baru ini untuk dihantar ke PPD dengan segera. Pagi ini, saya diminta menyiapkan surat panggilan untuk taklimat Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM kepada hampir empat puluh orang guru yang terlibat. Mujur ada murid saya yang sudi membantu mengedarkan surat-surat itu kepada guru-guru berkenaan, jadi ringanlah sedikit tanggungjawab saya apabila ia dibahagi dua. Untuk guru-guru yang berada di bilik guru, saya edarkan sendiri. Bagi guru-guru di bilik-bilik lain, mereka tolong sampaikan. Terima kasih Aliff Najmi dan Shahrul Ikram. Lain kali cikgu minta tolong lagi ya!

Kelas pula, ada enam masa hari ini. Dua masa pertama tadi (7.40 – 9.00 pagi) saya meneruskan topik Vektor di tingkatan 5 Ibnu Sina. Selesai sarapan sekitar 9.30 pagi, saya mengadap komputer untuk menyiapkan surat panggilan taklimat itu. Jam 10.30 selesai, dan 10.40 saya menuju ke kelas 5 Ibnu Qayyum pula. Saya berhajat memulakan topik pendaraban Matriks, tetapi tidak dapat dilakukan banyak kerana saya kepenatan. Panas dan tidak selesa.

Sebentar lagi, jam 12.40 hingga 2.00 petang, saya perlu melangsaikan kelas Matematik di 4 Ibnu Baitar diikuti Matematik Tambahan di 4 Ibnu Rushd. Harapnya tenaga saya yang kekurangan ini telah pun terjana semula demi meneruskan perjuangan membina generasi yang mapan dan berwawasan di bumi kecintaan saya, negara Malaysia nan demokrasi terpimpin ini.

Mujur hari ini tiada sebarang aktiviti tambahan seusai pengajaran. Dapatlah saya pulang terus ke rumah untuk aktiviti merehatkan diri di dalam bilik sambil ditemani telenovela Filipina kegemaran saya di saluran Astro Bella 133, Sana’y Wala Nang Wakas. Saya seronok dan leka melihat kejelitaan Kristine Hermosa sebagai Arabella Grace Garcia dan ketampanan Jericho Rosales sebagai Christian Soriano. Biarpun saya telah mengikuti cerita ini sewaktu disiarkan di TV2 pada 2006 lalu, saya masih teruja untuk menontonnya buat kali kedua. Lagi pun, waktu siarannya sangat mesra alam. Jam 3.00 hingga 4.00 petang memang waktu saya tergolek di atas katil di depan TV di bilik saya. Jika pun saya terlena, ulangannya ada pada jam 8.00 – 9.00 malam nanti. Jika tidak sempat juga, Sabtu dan Ahad akan disiarkan pula marathon siri ini daripada 7.00 hingga 10.00 malam. Jadi, saya ada banyak pilihan.

Projek pembinaan stor di sebelah rumah saya juga sudah selesai Sabtu lalu, jadi saya tiada gangguan apa-apa lagi selain merehatkan diri sendiri.

Itulah saya setakat petang ini. Malam nanti, entah bagaimana pula agenda yang bakal saya lalui. Saya menanti dengan harapan dan keyakinan agar segalanya memberi kebahagiaan buat saya dan orang-orang yang saya sayangi, tidak kira di mana jua mereka berada.

Saturday, April 06, 2013

Di Hujung Jari

Dunia hari ini sememangnya ada di hujung jari cuma. Ya, hanya di hujung jari.

Siapa sangka kecanggihan teknologi hari ini telah memungkinkan segala yang mustahil pada lima belas tahun dahulu. Kewujudan segala perkara di atas talian sesungguhnya sangat memberi kemudahan yang tiada pun dalam fikiran saya sewaktu bersesak-sesak mendaftar kursus di UKM pada 1992 - 1996 lalu. Malah, keupayaan saya membayar segala bil dan pinjaman serta segala urusniaga perbankan di atas talian juga memberi kemudahan yang keterlaluan. Bayangkan, pada saat saya menerima pesanan sms daripada adinda tercinta yang memohon wang perbelanjaan, sesegera itu saya melakukan pindahan wang dari akaun saya ke akaunnya. Hanya di atas katil di bilik saya, tanpa perlu bergerak ke mana-mana. Dan adinda kesayangan saya boleh terus mengeluarkannya di mana-mana ATM berhampiran.

Sedangkan dahulu, sebaik menerima permohonan wang belanja daripada saya, arwah ayah perlu ke pejabat pos dahulu untuk mengisi borang wang pos, menghantar secara pos berdaftar dan paling cepat, dua hari kemudian barulah saya menerima wang daripada ayah. Itu pun, saya perlu ke pejabat pos untuk menukar wang pos itu kepada tunai sebelum mampu membelanjakannya. Ruwet, bukan?

Mungkin saya ini begitu bergantung kepada teknologi hujung jari ini. Apa tidaknya, segala apa yang saya mahu tahu yang tiba-tiba menghentam kotak fikir saya, kan terus saya salurkan kepada Pakcik Google. Apa sahaja, dia sudi menjawab. Jarang benar saya kecewa.

Masalah Samsung saya, atau Xperia suami saya, atau mencari maksud perkataan yang saya baru jumpa, atau nombor telefon agensi yang perlu saya hubungi, atau cara menghapuskan virus shortcut di laptop saya, atau kata-kata hikmah yang mahu saya kongsi di facebook, atau apa-apa sahaja yang terlintas di minda, saya hanya menggunakan hujung jari saya sahaja.

Alhamdulillah, keizinan Allah dalam kemajuan teknologi ini sangat-sangat saya syukuri. Sisi negatifnya biarlah saya ketepikan, kerana kebaikan bernilai positifnya lebih utama.

Friday, April 05, 2013

Bubar

Akhirnya, ia berlaku juga. Pada Rabu, 03hb April 2013, selepas empat tahun sebelas bulan mandat dibawa BN, dan selepas genap empat tahun Mohd Najib Razak menjadi PM, parlimen dibubarkan. Dan kini, bermulalah sebuah 'peperangan'.

Dalam dunia yang dikatakan demokrasi ini, kita sememangnya bebas memilih. Kita diberi hak yang sama dan tiada siapa yang boleh menafikan hak kita itu, kecuali kita sendiri.

Saya mahu menggunakan hak saya itu dengan betul. Saya akan pastikan ia benar-benar diberi kepada yang betul. Ini, kali keempat saya bakal memilih. Tiga kali sebelum ini, saya sangat yakin saya telah memilih dengan betul. Harap kali ini juga begitu.

Cuma saya masih tidak menyukai suasana politik di negara ini. Apa yang saya belajar, demokrasi itu secara ringkasnya ialah bersifat bebas dan adil tetapi sehingga kini, saya tidak nampak di mana letaknya bebas, di mana tempatnya adil. Pemikiran rakyat bagai dikawal, media bagai dipukau, dan gerak geri kakitangan kerajaan bagai dipantau. Oleh siapa? Semua pun tahu. Pada hal yang sepatutnya rakyatlah yang mengawal pemerintah. Keadaan begini sangat pelik, dan saya sangat hairan.

Apa pun, saya berdoa agar tiada perkara yang buruk berlaku. Saya mahu Malaysia yang sejahtera, di dunia dan di akhirat. Saya sayang negara saya, kerana itu saya harap saya tidak akan membuat pilihan yang silap. Saya mahu lihat satu perubahan ke arah kedamaian sejagat.

Semoga Allah redha.

Amin.
 




Monday, April 01, 2013

Ibu

Awanan kasihmu, ibu
nan teduh dan menenangkan
gemilang warna pelangi rasa mesra
gemilang sinar mentari rasa cinta
 

Engkaulah itu, ibu
rimbunan yang menahan terik resah
ikatan yang mengumpul harapan gagah
kemilau yang mengandung segala rasa indah!


Hari ini bukan hari ibu, atau hari jadi ma, atau hari apa-apa. Hari ini cuma hari biasa-biasa sahaja, tetapi ingatan terhadap ma sentiasa istimewa. Rasa rindu pada ma tetap melanda walaupun baru sehari dua tidak berjumpa.

Ma, semoga dalam lindungan Allah sentiasa.