Sunday, April 21, 2013

Yang Tertinggal

Sedang saya bersarapan pada pagi Jumaat 19hb April baru-baru ini, terdengar deringan telefon di bilik tidur saya. Nada dering milik emak menerjah pendengaran dan saya bergegas ke bilik. Sentiasanya, jika pagi-pagi begini emak menelefon, saya sering diburu cemas. Entah kenapa, saya dapat berasakan ada sesuatu yang kurang enak bakal emak maklumkan pada saya.

Benarlah. Emak kata Mak Pah tenat. Sejak malam tadi dia tidak sedar dan sekarang berada di rumahnya di Rantau Panjang. Emak akan ke sana dengan Ismah, dan meminta saya menyusul apabila ada ruang nanti.

Jauh di sudut hati, saya mahu segera ke sana tetapi bagaimana? Suami saya tidak pernah ke rumah Mak Pah jadi dia tidak tahu jalan. Saya ini, pernahlah sekali ke sana tetapi mana boleh diharap pada ingatan seorang wanita yang sering tertidur dalam perjalanan? Husna menghantar mesej, dan kami bersetuju untuk ke sana pada esok pagi. Suami saya bersuara juga, "sempat ke?" Saya tahu dia khuatir esok mungkin sudah terlambat. Tetapi upaya apa yang kami ada?

Mak Pah ialah ibu saudara kami. Dia adik perempuan arwah ayah yang berlainan ibu. Waktu saya kecil dulu, Mak Pah kerap datang ke rumah kami. Kami juga kerap ke rumah sewanya di Rantau Panjang. Waktu itu dia bertugas sebagai guru sekolah rendah di sana. Apabila ayah dan emak pulang ke Golok, rumah Mak Pah lah tempat kami singgah melepas penat serta menikmati hidangan tengah hari.

Saya pernah bermalam di rumahnya, tetapi saya lupa pada ketika itu, umur saya berapa. Saya seronok jika dapat ke rumah Mak Pah, sebab ada peti sejuk yang airnya sangat lazat diminum. Juga ada banyak kaset-kaset penyanyi popular waktu itu seperti Dhalan Zainuddin, Khatijah Ibrahim, Uji Rashid dan Jamal Abdillah. Malah, hobi saya membaca pelbagai majalah sebenarnya bermula dari rumah Mak Pah. Ada banyak majalah di rumahnya, tersusun kemas di meja TV warnanya. Ada JELITA, KELUARGA, WANITA, juga URTV.

Saya lupa kerana apa saya bermalam di rumahnya pada ketika itu, tetapi saya ingat saya membantu Mak Pah membuat ais krim Malaysia pada waktu malam, di depan TV untuk dimakan esok nanti.

Apabila Mak Pah berkahwin pada 1982, dia tidak lagi menyewa di situ. Dia mula membina rumah sendiri dan hidup tenang di sisi suami dan anak-anaknya yang bertiga - Haizum, Taufik dan Fuad. Kami pun mula jarang-jarang bertemu.


Sewaktu ayah terlantar sakit pada 1999, Mak Pah kerap juga datang menziarah. Tetapi waktu itu, kesihatan Mak Pah sudah pun merosot. Dia mengidap darah tinggi dan kencing manis. Sewaktu ayah tenat, saya masih ingat Mak Pah menangis di sisi ayah.

Jam. 5.59 petang, Husna menghantar mesej memaklumkan kepergian Mak Pah ke pangkuan Ilahi. Saya terkedu, hilang kata-kata. Kali terakhir saya melihat Mak Pah ialah pada hujung tahun 2012, sewaktu kenduri arwah Mak Nah di Bakong. Mak Pah cuma terbaring lesu, kerana serangan stroknya yang telah bertahun-tahun itu tidak memungkinkannya bergerak aktif seperti dulu. Sayu matanya memandang saya masih terbayang-bayang di ingatan.

Selesai Isya', kami ke rumahnya di Rantau Panjang, berpandukan peta lakaran Ismah. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan Allah, sekitar 11.15 malam jenazah Mak Pah disembahyangkan dan di bawa ke tanah perkuburan.

Sesungguhnya, daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali.

Dalam usia 59 tahun, Mak Pah kembali menemui Penciptanya. Yang tertinggal, adalah kita yang masih belum tahu bagaimana pengakhiran nanti. Mak Pah, saya sentiasa mendoakan agar Allah mengampuni Mak Pah, dan melapangkan Mak Pah di alam sana. Amin.

No comments:

Post a Comment