Entah untuk kali yang ke berapa, cerita sebegini ini saya
ulang-ulang. Sungguh, cerita ini berbaur kesal yang padat dalam jiwa saat
menerima segala butir kata. Bukan kerana saya ini sensitif, tetapi kerana ia
sesuatu yang tidak kena. Sangat tidak kena kerana siapa kita untuk menjadi
peramal masa depan? Siapa kita untuk menilai hati dan jiwa orang? Siapa kita
untuk menidakkan satu ketentuan? Kita ini hamba. Hiduplah sebagai hamba!
“Terus terang, kami datang ni nak tanya, nak anak tak?” Si
suami memulakan bicara saat saya menyalami isterinya.
“Ada saudara jauh kami baru bersalin, di KL. Tapi anak tak
sah taraf lah..”
Saya dan suami hanya senyum, tidak memberi jawapan tetapi saya tahu mereka faham
maksud reaksi kami yang sebegitu.
Saya berharap ia berakhir di situ. Itu pilihan kami untuk
hanya kekal berdua, kerana kami tahu dan sedar upaya kami setara mana. Banyak faktor
yang kami timbangi yang rasanya tidak perlu kami suarakan semuanya.
Pun, masih lagi ia dipanjang-panjangkan.
Dalam situasi yang tidak saya gemari ini, terlepas juga ucap
kata dari bibir saya yang saya kira menggambarkan ketidaksenangan saya dengan
isu ini. Bukan mahu biadap, tetapi sekadar menghentikan dia (si isteri) daripada
terus membuat segala spekulasi. Saya tidak marah padanya kerana dia hanya wanita
kampung yang tidak berpendidikan tinggi. Walaupun ada kata-katanya yang sangat
tidak wajar pada pendengaran saya, saya terima dengan redha.
Biarlah. Mungkin niatnya mahu membantu tetapi silapnya dia
ialah membuat penilaian sendiri tentang kehidupan kami.
“Hmm.. duduk berdua aje ya. Sunyilah.”
“Taklah. Dah biasa macam ni, tak ada apa pun. Kalau
ramai-ramai rasa serabut pulak.”
“Tak ambil anak angkat ke? Anak saudara ke..”
“Siapa yang senang-senang nak bagi anak kat orang, kak. Lagi
pun, dia ada mak bapak. Biarlah dia duduk dengan mak bapak dia.”
“Akak ni, walaupun
dah 49 tahun tapi tetap kena makan pil perancang. Kalau tak, hmmm…
bertambah-tambah lagilah anak akak. Abang pula yang tak larat nak kerja, cari
nafkah.”
“Alhamdulillah lah macam tu. Manusia ni tak sama. Tuhan yang
tentukan semuanya. Saya ni walaupun tak ada anak, saya redha. Dah itu yang
Tuhan bagi kat saya, saya terima. Dia tahu itu yang terbaik untuk saya. Sebab
tu saya tak ambil anak angkat pun!”
Perbualan tentang anak terhenti di situ. Mujur.
Saya hargai niatnya, cuma buat waktu ini saya rasa sangat
muak dengan pelbagai cadangan dan nasihat untuk saya berkaitan anak.
Cukup-cukuplah. Saya sudah kehabisan deria rasa sensitif tentang kehidupan
tanpa anak ini. Jika dulu, mungkin jiwa saya sendu saat melihat sahabat dan
teman berulang-ulang mengandung dan bersalin sedang saya tidak-tidak juga.
Mungkin hati saya cepat tersentuh apabila ditanya tentang situasi diri yang
dikategorikan tidak subur atau kasarnya mandul. Kini saya sudah berada di tahap
redha yang sungguh-sungguh. Malah syukur yang tidak terhitung dengan segala
kurnia yang ada, termasuk kurnia yang satu ini. Jadi, tidak perlu lagi isu ini
dimainkan kerana saya jadi jelak.
Saya sudah pun berusia hampir 42 tahun. Tiada apa lagi yang
saya cari di dunia ini, hanya redha Allah. Bahagia di sini, juga di sana. Sama-samalah
kita menuju ke arah itu.
No comments:
Post a Comment