Saturday, March 29, 2014

Tamat

Hari ini, hari penghabisan cuti pertengahan penggal pertama persekolahan sesi 2014. Sembilan hari yang penuh dengan pelbagai aktiviti, termasuk lima belas kenduri!

Bayangkan, sehari boleh sahaja ada tiga hingga empat kenduri. Mahu sahaja dikatakan muak, tetapi apalah daya.

Jika pengantin itu seorang guru, atau ibu bapa pengantin itu guru, saya faham dan tidak akan merungut kerana saya tahu mereka tiada pilihan selain berkenduri pada waktu cuti sekolah. Tetapi yang saya hairan, mereka yang langsung tiada kaitan dengan kerjaya guru, yang boleh sahaja bercuti pada bila-bila masa yang mereka mahu, tetap juga mahu berkenduri dalam waktu cuti-cuti begini. Dalam lima belas jemputan kenduri yang saya terima, hanya empat sahaja melibatkan guru. Sebelas lagi, saja mahu memadatkan hari cuti kami dengan kenduri!

Khamis lalu, ada empat kenduri yang perlu kami hadiri. Selesai solat Zohor, kami mulakan ekspedisi kenduri kami dan hanya tamat selepas Asar. Hari ini pula, ada tiga lagi. Sama juga, kami mulakan perjalanan selepas Zohor dan tamat sehingga Asar. Penat, dan muak!

Maafkanlah saya kerana emosional begini. Saya mohon agar kenduri diadakan juga pada hari-hari bukan cuti sekolah kerana pada hari-hari begitu kami lebih mudah untuk hadir. Balik dari sekolah kami boleh terus singgah untuk makan. Kalau hujung minggu pun molek juga. Tidak payahlah tunggu waktu cuti sekolah. Berilah ruang cuti sekolah itu untuk kaum guru sahaja berkenduri. Berilah masa untuk kami melakukan kerja-kerja lain selain hadir kenduri yang bersusun-susun itu.

Sekian, terima kasih.

Friday, March 28, 2014

Kerusi urut

Dapat saya bayangkan betapa "heaven"nya apabila seharian bekerja, badan penat dan lesu, pulang ke rumah disambut mesra oleh kerusi urut dalam bilik berhawa dingin sambil menonton tv atau mendengar lagu kegemaran. 

Lama saya mengimpikan santaian yang sebegitu. Beberapa tahun dulu, pernah saya ajukan permintaan untuk membeli kerusi urut pada sang suami tetapi dia tegas menyatakan tidak perlu.

Saat badan terasa ngilu dan lesu, saya akan berkata, seronok kan kalau ada kerusi urut?

Mungkin kerana ulangan kata-kata itu telah memenuhi benak fikirnya berkali-kali, dia mula merasakan kerusi urut itu sangat saya perlukan.

Bertuah saya apabila suami mula memahami.

Dia mengajak saya ke kb mall mencari kerusi urut untuk saya. Mulanya saya menolak. Tak payahlah, takut nanti tak praktikal. Tersadai tanpa diguna bukankah membazir?

Dia okay. Tapi kami tetap ke kb mall Rabu itu.

Saya kira sudah selesai membeli belah dan ingin pulang, tetapi dia mengajak saya mencuba kerusi urut Ogawa di hadapan Pacific itu.

Aduhai!

Dipendekkan cerita, setelah lebih setengah jam mencuba dan bertanya itu ini, kami membelinya.

Kerusi urut Ogawa berharga RM7000, dengan hadiah percuma alat gegar dan air freshener akhirnya sah menjadi milik kami.

Selasa ini, kerusi itu akan dihantar ke rumah dan saya tidak sabar untuk merasmikannya!
Gambar hiasan. Kerusi urut kami canggih sedikit daripada yang ini.. :-)

Sunday, March 23, 2014

Menghitung A

Tibalah kini saatnya menanya dan ditanya, berapa A?

Bagi yang A nya bertingkat-tingkat tentu senyum sampai ke telinga apabila soalan sebegitu diterima. Berbaloinya usahaku selama ini dan inilah lambang kebijaksanaan yang tiada tandingnya.

Bagi yang A cuma seketul dua atau tiada langsung, tersipu tidak, tersenyum pun tidak. Ah, cukup makan sahaja.

Tinggi sungguh nilai A di negara kita. Mengatasi segala nilai-nilai yang lain.

Saya sangat mementingkan akademik tetapi bukan semata-mata bilangan A yang tercatat di atas sijil. Akademik lebih daripada itu. Saya mahu satu kesungguhan untuk terus mencari dan menghayati ilmu, ditanam dalam jiwa pelajar kita sejak awal pendidikan mereka. Bukan untuk A, tetapi untuk diterap dan digunapakai dalam setiap aspek kehidupan.

Pengalaman lalu banyak mengajar saya. Apa yang saya belajar dalam alam menengah saya kebanyakannya berlalu begitu sahaja selain daripada apa yang saya amalkan sehingga sekarang. Jangan tanya saya tentang Sejarah atau Fizik walaupun saya mendapat A untuk kedua mata pelajaran itu kerana saya tidak pernah menggunakannya. Kimia dan Biologi apatah lagi. Banggakah saya jika orang melihat berbiji-biji A tersusun dalam sijil SPM saya tetapi kini tidak lagi mampu memanfaatkannya? Berbaloikah?

Untuk ke universiti memang bilangan A diambilkira tetapi ia bukan segala-galanya. Apa yang penting sebagai pelajar kita mesti tahu arah yang ingin kita tuju. Tilik betul-betul pencapaian kita. Jika keupayaan kita bukan di landasan sains, tiada salahnya mengalih arah ke bidang sastera. Jangan dikastakan bidang-bidang itu kerana upaya manusia berbeza dan negara kita bukan terbina daripada graduan sains semata. Percayalah, kita lebih tahu diri kita. Bukan ibu, bukan bapa, apatah lagi guru.  Mereka cuma memberi pandangan sedang keputusan jitu tetap pada diri sendiri.

Cabaran masa depan tentu semakin hebat. Ubahlah minda agar tidak hanya berpusat pada bilangan A tetapi merangkumi segala ruang yang ada terutama kemandirian dalam meneruskan hidup.

Saturday, March 22, 2014

Aida dan Ainaa

Aida, sebelah kanan

Ainaa

Aida, Ainaa, saya dan kelas 5 ibnu sina 2013

Dua orang anak didik saya ini, sejak tingkatan empat lagi tidak begitu menyerlah dalam subjek Matematik Tambahan. Saya sedar itu dan ingin membantu sehabis baik. Mereka sendiri punya kesungguhan. Mencuba sehabis daya, walaupun keupayaan mereka ada hadnya.

Khamis lalu, keputusan diumumkan. Ada pelbagai rasa dalam hati mereka.

Aida yang mula-mula datang kepada saya ketika saya baru selesai membuat analisis. Dia bersalam, mencium tangan. Ada riak gembira di wajahnya kerana mendapat 4A tetapi saya tahu Matematik Tambahannya cuma D. Dia belum mampu bercerita tentang itu kerana di sisi saya ada beberapa orang guru lain.

Pulang ke rumah, saya menerima mesejnya di Facebook.





Sungguh saya terima segalanya dengan redha. Walaupun gred D itu kelihatan buruk di mata orang lain, tetapi ia begitu bermakna buat Aida dan saya. Saya tahu betapa sukarnya dia memaksa diri tanpa jemu untuk mencapai keputusan sebegitu. Saya tetap berbangga kerana dia tidak jemu berusaha.

Kemudian, Ainaa pula. Dia berjumpa saya sewaktu saya sedang berjalan ke pejabat. Dia segan untuk masuk ke bilik saya kerana ramai guru lain di situ.

Saat menyalaminya, terasa tangannya panas. 

"Awak demam ke ni?"

Dia senyum sahaja. Jelas dia sangat takut untuk menerima keputusan.

"Cikgu, saya dapat C+ saja..."

Nada suaranya sedih, tapi saya senyum juga.

"Ok lah tu. Molek apa..!"

Pulang ke rumah, saya mengucap tahniah kepadanya di WhatsApp.

Sebenarnya, apa yang penting bagi saya bukanlah semata-mata gred yang diperoleh, tetapi kesungguhan yang ada. Aida dan Ainaa tergolong lemah, tetapi mereka sangat bersungguh. Acap benar datang berjumpa dan bertanya saya segala kemusykilan, malah mereka sudi menghadiri kelas pemulihan yang saya adakan ke atas enam orang pelajar tercorot Matematik Tambahan. Jika kelas terpaksa saya batalkan, mereka akan meminta-minta diganti pada waktu lain. Sungguh, mereka sangat rajin. Keputusan yang mereka terima itu sekadar apa yang tercatat di kertas, sedang nilai kesungguhan mereka itu tercatat kemas dalam hati saya.

Thursday, March 20, 2014

Debaran



Debaran seorang guru saat menanti keputusan SPM tidak kurang hebatnya berbanding pelajar. Betapa risaunya jika keputusan menurun, apa perlu dijawab dalam mesyuarat post mortem nanti? Jangan salahkan pelajar kerana bukankah tugas guru itu mengajar?

Hari ini, keputusan SPM 2013 diumumkan. Jam 10.30 pagi, saya menerima dokumen-dokumen keputusan yang diambil oleh Cikgu Zurainey di PPD KB.

Sederhana.

Mungkin keseluruhannya kelihatan cemerlang tetapi jika dibanding-banding, ia tidaklah secemerlang mana.  Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat kepada 4.64 dan itu satu yang menggembirakan tetapi peratus lulus merudum kepada 90.85. 15 orang pelajar daripada 164 orang calon telah gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah. Jadi?

Kertas Matematik Tambahan pula yang diduduki oleh 95 orang pelajar hanya memberikan gred A kepada 6 orang sahaja. Mujur juga yang gagal cuma seorang. Dengan Gred Purata sekadar 5.66 dan peratus lulus 98.9% saya bolehlah tersenyum walaupun tidak lebar. Entahlah, terasa masih kecewa kerana tidak mencapai target yang saya tetapkan.

Untuk tahun ini saya mahu melakukan lebih baik. Semoga Allah memberi izin-Nya. Amin.

Sunday, March 16, 2014

Simpati

Dalam pilunya rakyat Malaysia menangisi dan mendoakan kehilangan pesawat MH370 yang penuh misteri itu, hati tersentak dengan cerita kematian yang tiba-tiba.

Benarlah, mati itu pasti tanpa mengira usia berapa.

Ahmad Faris bin Ramli, yang baru tujuh belas tahun menghuni dunia kini dipanggil pulang oleh Maha Pencipta dalam suasana penuh duka. Sekitar jam 10.00 pagi Sabtu 15 Mac 2014, dalam tenang dia meninggalkan semua insan yang amat mengasihinya. Tangisan seorang ibu, air mata seorang bapa, juga rintihan kaum keluarga, mengisi pagi yang syahdu saat rintik-rintik hujan membasahi bumi setelah berbulan-bulan kemarau melanda. Kemalangan jalan raya, itulah puncanya.

Dia anak didik saya. Walaupun tidak terlalu rapat, dia tetap anak didik yang saya kasihi. Manis senyum dan lembut bicaranya masih bermain-main dalam fikiran saya. Bayangkan, mengenalinya di sekolah cuma pun mampu menghadirkan rasa hiba dan rindu, apatah lagi seorang ibu yang mengendongnya sejak dari dalam rahim. Tentu sukar menerima ketetapan, payah menelan hakikat seorang anak yang sedang membesar tiba-tiba hilang sekelip mata. Baru sebentar tadi melayan bicara, kini sudah diam seribu bahasa. Baru sebentar tadi bergurau senda, kini sudah pergi untuk selama-lamanya.

Ibu yang tabah itu, Puan Hajjah Che Shamsiah ialah juga rakan guru saya. Dia sering bercerita tentang kisah hidupnya yang berliku, pengalaman pahit yang banyak mengajar erti sebuah perjalanan, kini berdepan dengan sebuah kehilangan pula. Sungguh, Allah menguji hamba-Nya yang mampu Kak Sham. Saya faham erti kesedihan, tetapi saya yakin Kak Sham kuat untuk meneruskan kehidupan.

Doa saya, Faris ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. Kak Sham dan seluruh keluarga, moga Allah beri ketabahan dan kekuatan dalam mengharungi segala cabaran.

Allahyarham Ahmad Faris bin Ramli (paling kanan, bercermin mata) sewaktu peperiksaan SPM 2013 di SMKKC.

Sunday, March 09, 2014

Isteri

Selalu sahaja rasa yang begini mengganggu.  Mungkin naluri wanita saya sangat mudah berbolak balik.

Alam rumahtangga memang penuh dengan ketidakpastian. Pada saat jiwa terdera dengan remehnya pertelingkahan suami dan isteri, saya selalu mengkhayalkan perkara yang tidak masuk akal. Sedangkan saya tahu dia tidak pernah seperti itu. Walau sekasar mana nada suaranya terhadap saya, saya tahu niatnya baik dan saya tahu dia sayangkan saya. Kalau pun benar dia marah, dia tidak pernah terfikir untuk pergi jauh dari saya. Saya tahu itu.

Tetapi kenapa bila hati saya tersentuh, saya sering terasa ingin lari jauh-jauh darinya? Sangat tidak kena, kan? Hilangkah rasa kasih saya padanya?

Apabila kisah MH370 menjadi bualan, saya berkhayal lagi.

Jika kematian datang tanpa petanda seperti itu, alangkah berdosanya saya jika tidak sempat memohon maaf daripada suami. Jika saya ada dalam penerbangan itu, apakah kematian saya dalam redha seorang suami? 

Maafkanlah seorang isteri seperti saya ini yang sensitifnya tidak bertempat. Saya sedar betapa rapuhnya hati wanita saya yang mudah sungguh beralih arah. Pada satu ketika dialah segala-galanya untuk saya tetapi pada ketika lain, saat nafsu marah meraja, saya seperti mahu dia pergi! Jahatnya saya!

Hakikatnya, saban waktu saya berdoa agar kami tetap kekal bahagia sampai ke syurga. Tidak mampu saya bayangkan kehidupan saya jika bukan dia yang menjadi suami saya. Betapa segala kekurangan saya tidak sedikit pun membekas dalam dirinya malah diterima seredhanya. Betapa besar anugerah Allah yang satu ini lalu mengapa saya masih mahu berfikir yang bukan-bukan?

Terima kasih Tuhan atas kurnia-Mu, dan ampuni aku atas segala kekhilafanku!!

Saturday, March 08, 2014

MH370

Ya Tuhan! Jika Engkau menginginkannya berlaku, maka berlakulah!

Seawal pagi Sabtu begini, status di Facebook menggegarkan perasaan saya. Pesawat MH370 KL-Beijing hilang dari radar pada 2.40 pagi tadi selepas dua jam berlepas dari KLIA. Dada saya berdegup kencang, biarpun sebaris ayat itu sahaja yang tertulis. Oh Tuhan!

Kemudian, satu demi satu media yang ada saya belek. Ada-ada sahaja berita yang entah sahih entah tidak. Kenapa mereka ini? Pada saat seperti ini pun masih mahu berjenaka, pada hal tidak lucu sedikit pun! Geram saya dengan minda dan perangai manusia sedurjana ini.

Doa dan air mata menjadi satu. Semoga Allah permudahkan segalanya.

Ini ujian. Pelajarilah hikmah di sebaliknya.

Friday, March 07, 2014

Sabtu

Rehat minda saya ialah pada Jumaat dan Sabtu. Jika boleh, jangan diusik hari-hari ini. Pada dua hari inilah saya mahu melepaskan segala tekanan yang membuku dalam jiwa. Dengan berehat, bershopping atau melepak di rumah emak. Bergantung pada kesempatan dan mood saya.

Tiba-tiba, Sabtu esok saya perlu ke sekolah untuk menggantikan cuti Tahun Baru Cina yang lepas. Oh! Siapa suruh ambil cuti lama-lama? Sekolah suami saya ok sahaja cuti raya Cina empat hari. Dah cukup panjang dah tu. Kenapa sekolah saya ambil sampai enam hari? Bukan ada Cina pun! Dua hari tambahan itu saya hanya bersendirian di rumah tanpa ke mana-mana sebab orang lain semua sekolah. Cuti yang rugi! Dan sekarang kena ganti pulak! Aduh!

Sehari cuma ruang yang ada untuk saya merehatkan diri dari bebanan kerja untuk minggu ini. Memang tak cukup tetapi itu sahaja yang ada, saya redha.

Thursday, March 06, 2014

JULI

Satu demi satu manusia bertanya saya tentang Juli. Kenalkah? Di facebook, di whatsapp, di sekolah, malah juga di rumah!

Ya. Saya kenal Juli sejak 1985. Hari pertama di MRSM, saya dan dia ditempatkan dalam kumpulan LDK yang sama. Guru kami ialah En. Mustafar Che Mat dan abang BWP kami ialah Mohd Rahimi Khalid. Seramai enam belas orang freshie berada dalam kumpulan itu. Sepuluh perempuan dan enam lelaki.

Saya dan Juli duduk bersebelahan dalam kumpulan itu. Aktiviti pertama, kami diminta memikirkan satu perkataan bermula dengan abjad pertama nama kami. Cikgu Mustafar memberi contoh, namanya ialah Mustafar jadi dia meletakkan perkataan pilihannya "masa" menjadikan namanya Masa Mustafar. Abang Rahimi yang kacak itu, memilih Rindu Rahimi.

Satu demi satu kami memberi perkataan pilihan. Mazlina memilih Maggi, Roslini memilih Ribut, saya memilih Nona dan Juli memilih Jambu.

Walaupun cuma tiga hari kami bersama-sama dalam kumpulan itu,  tetap mampu mencetus satu hubungan yang akrab. Mungkin kerana kami masing-masing baru sampai dari pelbagai daerah, kumpulan LDK ini membuka ruang untuk kami mencipta persahabatan baru.

Waktu santai Juli suka menyanyi dan bercerita. Dia pernah meminta saya menulis lirik lagu Deritamu Deritaku dan kami menyanyi bersama-sama. Dan pada hari lain, saya pula meminta dia menyanyi lagu Careless Whisper untuk saya, sewaktu melihat lirik lagu itu terpampang di surat khabar Pancaindera hari Ahad.

Dia pernah bercerita kepada saya asal usul namanya, Sumardiati. Katanya, Su diambil dari pangkal nama ibunya, Surakiah. Mardi pula ubah suai daripada perkataan Merdeka kerana dia lahir pada 31 Ogos. Dan Yati diambil bersempena nama pelakon Indonesia yang sedang popular ketika itu, Yati Octavia.

Juli bijak orangnya. Setiap kali peperiksaan dia selalu berada dalam ranking top 10. Dialah yang mengajar saya cara melukis segitiga untuk mencari nisbah trigonometri sudut 45, 30 dan 60 yang saya ingat hingga kini. Pernah semasa tingkatan 4, saya mendapat markah tertinggi bahasa Inggeris dan dia di tempat yang kedua. Tetapi sekali itu sahajalah. Pada peperiksaan lain, dia sentiasa mendahului.

Kami tidak pernah seasrama jadi saya tidak tahu sangat aktivitinya sewaktu di luar waktu persekolahan. Pun, sesekali dia datang ke asrama saya dia tidak akan segan-segan memeluk dan mendakap saya. Dia memang sangat mesra.

Kini, dia sudah berubah. Perubahan yang mengejutkan semua orang. Mungkin getir laluan hidupnya sukar untuk dia fahami, juga sukar untuk dia selusuri hikmah di sebalik segalanya, maka dia memilih jalan sebegini. Saya tidak tahu apa kesudahannya nanti tetapi air mata saya mencurah-curah setiap kali mengenang dia dalam doa saya.

Walaupun saya tahu, dia cukup marah orang mendoakannya.

Wednesday, March 05, 2014

Kasih

Rupa-rupanya sudah dua puluh lima tahun saya tinggalkan desa itu. Batu Rakit (yang kini begitu sinonim dengan keropok lekor yang lazat) dahulunya adalah tempat saya dan sahabat seperjuangan berlari-lari kegirangan saban petang, mengejar entah apa-apa. Sering juga kami menyusuri pantai Pok Jeng yang tidak glamour itu sambil menghirup udara nyaman penuh kenikmatan. Waktu itu, yang kami tahu hanya bahagia. Apa itu tekanan? Apa itu kesibukan? Kami tidak pernah menghiraukannya.

Sekeliling saya adalah sahabat-sahabat yang sentiasa menjadi teman untuk berkongsi segala-galanya.

Apabila tamat tingkatan lima, berat benar rasa hati untuk meninggalkan desa itu. Sayu sungguh jiwa saya kerana segala yang pernah saya lalui bakal menjadi memori dan tidak mungkin berulang lagi.

Tidak mungkin. Cuma memori.

Memori.

Sahabat pada waktu itu adalah teman yang memberi seribu makna. Kasih saya kepada mereka umpama kasih pada keluarga sendiri. Apa tidaknya, kami tidur sekatil, makan sepinggan, saling bertukar-tukar baju, malah sebungkus air teh beng boleh sahaja dikongsi beramai-ramai tanpa sedikit pun rasa sangsi.

Saban hari jadi, kami bertukar-tukar kad dan saling membelanja. Memberi hadiah tidaklah pula, kerana kewangan kami terhad sekali, tetapi membelanja nasi lemak sebungkus itu biasa. Dan sungguh, kami bahagia dengan dunia kami.

Pun, kami belajar juga. Add Maths, Kimia, Fizik dan semuanya. Tetapi entah kerana apa kami tidak sedikit pun terbeban apa lagi terseksa. Kami riang sekali biar pun sewaktu peperiksaan percubaan SPM, markah Biologi saya cuma 37 dan Add Maths saya 53. Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu saya pula sekadar gred C5. Yang indah sedikit cuma Matematik Moden, Sejarah dan Fizik. Pun saya terima sahaja. Tekanan tidak pernah mampu bertempat di hati saya. Waktu itu, guru-guru tidak pernah dibebankan dengan mengejar peratus dan kecemerlangan seperti sekarang. Mungkin kerana itu mereka amat bersahaja mendidik kami. Mereka menerima kemampuan kami seadanya dan sentiasa redha dengan sebarang keputusan yang bakal diterima.

Saat SPM sebenar menjenguk muka, saya tabahkan hati menghadapinya. Berbekalkan doa ibu dan ayah, juga doa saya sendiri beserta usaha tanpa tekanan itu, Alhamdulillah segalanya sangat mesra alam. Saya menerima keputusan yang indah dan membahagiakan.

Kini, saat menyusuri potret-potret kenangan, saat mengucap salam ulangtahun buat sahabat lama, kenangan itu bertandang lagi. Sayu dan rindu pun bersilih. Jauh saya menghayal, untuk kembali ke waktu itu walaupun saya tahu, ia tidak mungkin akan berlaku.

Sunday, March 02, 2014

March

Today is the 60th day of this year. Alhamdulillah.  305 days more to be completed before this year ends. Before 2015 begins.
And I don't even know if I'm still alive until that very day.
Whatever it is, I wish that happiness is always there for me, now and forever. Always there for everyone of us.
I will try to live my life to the fullest. May Allah bless.