Rupa-rupanya sudah dua puluh lima
tahun saya tinggalkan desa itu. Batu Rakit (yang kini begitu sinonim dengan
keropok lekor yang lazat) dahulunya adalah tempat saya dan sahabat seperjuangan
berlari-lari kegirangan saban petang, mengejar entah apa-apa. Sering juga kami
menyusuri pantai Pok Jeng yang tidak glamour itu sambil menghirup udara nyaman
penuh kenikmatan. Waktu itu, yang kami tahu hanya bahagia. Apa itu tekanan? Apa
itu kesibukan? Kami tidak pernah menghiraukannya.
Sekeliling saya adalah
sahabat-sahabat yang sentiasa menjadi teman untuk berkongsi segala-galanya.
Apabila tamat tingkatan lima,
berat benar rasa hati untuk meninggalkan desa itu. Sayu sungguh jiwa saya
kerana segala yang pernah saya lalui bakal menjadi memori dan tidak mungkin
berulang lagi.
Tidak mungkin. Cuma memori.
Memori.
Sahabat pada waktu itu adalah
teman yang memberi seribu makna. Kasih saya kepada mereka umpama kasih pada
keluarga sendiri. Apa tidaknya, kami tidur sekatil, makan sepinggan, saling bertukar-tukar
baju, malah sebungkus air teh beng boleh sahaja dikongsi beramai-ramai tanpa
sedikit pun rasa sangsi.
Saban hari jadi, kami
bertukar-tukar kad dan saling membelanja. Memberi hadiah tidaklah pula, kerana
kewangan kami terhad sekali, tetapi membelanja nasi lemak sebungkus itu biasa.
Dan sungguh, kami bahagia dengan dunia kami.
Pun, kami belajar juga. Add
Maths, Kimia, Fizik dan semuanya. Tetapi entah kerana apa kami tidak sedikit pun
terbeban apa lagi terseksa. Kami riang sekali biar pun sewaktu peperiksaan
percubaan SPM, markah Biologi saya cuma 37 dan Add Maths saya 53. Pendidikan
Islam dan Bahasa Melayu saya pula sekadar gred C5. Yang indah sedikit cuma
Matematik Moden, Sejarah dan Fizik. Pun saya terima sahaja. Tekanan tidak
pernah mampu bertempat di hati saya. Waktu itu, guru-guru tidak pernah
dibebankan dengan mengejar peratus dan kecemerlangan seperti sekarang. Mungkin
kerana itu mereka amat bersahaja mendidik kami. Mereka menerima kemampuan kami
seadanya dan sentiasa redha dengan sebarang keputusan yang bakal diterima.
Saat SPM sebenar menjenguk muka,
saya tabahkan hati menghadapinya. Berbekalkan doa ibu dan ayah, juga doa saya
sendiri beserta usaha tanpa tekanan itu, Alhamdulillah segalanya sangat mesra
alam. Saya menerima keputusan yang indah dan membahagiakan.
Kini, saat menyusuri
potret-potret kenangan, saat mengucap salam ulangtahun buat sahabat lama,
kenangan itu bertandang lagi. Sayu dan rindu pun bersilih. Jauh saya menghayal,
untuk kembali ke waktu itu walaupun saya tahu, ia tidak mungkin akan berlaku.
No comments:
Post a Comment