"Kepala saya sakitlah. Esok nak mc.."
Suara saya pada suami sekitar jam 9.00 malam tadi.
Sebenarnya saya sangat penat dengan tugas di sekolah. Sejak minggu lepas setiap hari saya pulang lewat. Saya mencuba seupaya mungkin melaksana semuanya sehabis baik tetapi saya tahu jasad saya ada had kemampuannya.
Sungguh, kepala saya terasa berat. Saya mahu berehat barang sehari.
"Bolehlah. Kita mc esok ya.." Suami saya menjawab.
"Aik, kita?"
"Ya, saya pun tak berapa sedap badan. Tekak pedih. Hidung tersumbat. Perut pun tak selesa."
Saya menyetujui cadangannya. Cuma, MC berdua begini bakal menghalang saya berehat sepenuhnya!
Pagi ini, usai solat Subuh saya menghantar teks kepada sahabat di sekolah dan juga kepada PKP memaklumkan saya akan bercuti sakit.
Seterusnya, saya menyediakan sarapan. Kemudian, menggosok baju dan menyidai kain.
Jam 9.00 pagi kami turun ke klinik. Mula-mula kami ke Wakaf Che Yeh. Rancangnya saya ke klinik Sayyida dan dia ke klinik Ikhtiar.
Urusan saya sekejap sahaja. Dr Nafisah di klinik Sayyida memberi saya ubat penahan sakit dan memaklumkan tekanan darah saya normal.
Sebaik keluar dari klinik, saya ternampak suami saya berdiri di kaki lima bangunan itu.
"Dah siap? Cepatnya!" Tutur saya kerana setahu saya klinik Ikhtiar sentiasa ramai orang. Jangkaan saya tentu saya selesai dahulu.
"Siap apanya, doktor belum sampai! Klinik dah penuh dengan pesakit. Jam 10 lebih dah ni..." Suami saya bernada keluhan.
"Kita ke Keterehlah. Klinik Ehsan." Saran saya tanpa ragu.
Kami pun bergerak ke sana.
Usai urusan di klinik sekitar jam 11.20 pagi. Klinik Ehsan lengang sahaja, mujurlah.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah membeli ikan, sayur dan kuih muih. Alhamdulillah, saya seronok menikmati nasi air yang cuma seringgit lima puluh sen itu manakala suami saya menyukai kuih seraban dan nasi impit.
Saya berehat sebentar.
Jam 12.35 tengah hari saya ke dapur pula. Kali ini memasak makan tengah hari yang ringkas dan mudah. Goreng ikan, ulaman dan sambal durian. Selesai.
Baru sahaja saya kembali berehat di katil, suami menerima panggilan telefon dari sahabat di Kuala Krai. Dia sedang dalam perjalanan ke Kota Bharu dan mahu berjumpa suami saya atas urusan kebun getah. Suami mengajaknya ke rumah.
Terpaksalah saya menyediakan minuman dan sedikit kuih untuk mereka.
Sekatang jam ke angka 2.08 pm dan suami saya masih melayan tetamu di luar. Saya sedang menanti mereka pulang kerana perut sudah kelaparan.
Nampaknya, MC saya hari ini sangat tidak santai. Pun saya redha...