Thursday, December 29, 2016

Perasaan

Oh Tuhan! Bagaimana harus saya mulakan?

Saya tidak sesekali menentangnya, malah saya sendiri memahami dengan penuh keimanan kenapa dan mengapa ia dibenarkan. Saya faham. Saya setuju. Saya redha.

Tetapi dalam banyak keadaan, saya tersentuh hati. Saya sebak kerana ia dijadikan sesuatu yang hodoh oleh orang-orang yang tidak mahu mengerti. Dalam keadaan begini, saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan.

Poligami.

Jika untuk orang seperti saya, silakanlah berpoligami. Dengan segala kekurangan yang ada pada saya, saya sedikit pun tidak akan menghalang hasrat suami saya jika nanti dia mahu berpoligami. Bukan saya tidak sedih, tetapi saya memahami keperluan itu. Sedih saya tidaklah utama berbanding keperluan di pihak suami saya. Sungguh! Dalam hal saya, saya mahu rasional. Dia suami yang mampu dan saya tidak ragu dengan masa depan saya bersama-samanya. Sembilan belas tahun melalui hidup dengannya, saya yakin dengan keupayaannya.

Malangnya, situasi yang saya lihat berbeza amat. Poligami menjadi suatu kebanggaan untuk dicerita-cerita kepada orang. Entah apa keperluan pun saya tidak nampak. Lebih hodoh apabila mereka mencari isteri yang sudah stabil segala segi. Berduit, berharta dan punya segala maka mereka (lelaki bobrok ini) hanya menumpang segalanya.

Semudah itu.

Agamawan yang bernama lelaki pula bagai tidak mahu mencerahkan kekeruhan. Ya, kerana mereka lelaki dan ada selera juga untuk berpoligami. Adakah dalam kalangan mereka yang membuat kajian di peringkat Master atau PhD tentang berapa banyak lelaki berpoligami yang tidak mampu menjadi adil? Sedang itu syarat utama untuk mereka. Ah! Persetan dengan syarat. Yang penting ia halal. Dibenar Tuhan.

Aduhai!

Saya tidak tahu mahu menceritakan bagaimana. Tetapi tolonglah murnikan poligami ini. Biar ia menjadi suatu kemanisan dan keindahan untuk ramai, dan bukan sesuatu yang dicebik, dipandang serong dan langsung tidak menjadi bahan dakwah. 



Saturday, December 24, 2016

Ubat

Sejak April 2016, saya memulakan pengambilan Visanne Tablet 2 mg seperti saranan doktor untuk merawat fibroid dan cyst saya. Sudah sembilan kotak Visanne berharga RM150 sekotak  itu saya habiskan tanpa cicir.

Seperti biasa, seminggu sebelum tamat kitaran Visanne itu, saya akan menghubungi REHAK (tempat pembelian Visanne di Kelantan) untuk memaklumkan tempahan saya. Ubat ini tidak ditempah banyak kerana permintaannya tidak tinggi, jadi saya perlu memaklumkan lebih awal.

Petugasnya memberitahu stok Visanne sudah ditempah tetapi belum sampai. Beliau meminta saya menelefon kembali sehari dua lagi.

Visanne saya itu akan habis pada Selasa. Rabu malam saya perlu memulakan kotak yang baru.

Pagi Selasa, saya menelefon lagi. Jawapannya, masih tidak sampai. Saya mula resah. Bagaimana ya kalau tidak sampai hingga lusa? Saya akan tercicir pengambilannya dan tentu kesannya akan berbeza.

Sungguhlah. Khamis itu ia masih tiada, dan saya sudah tercicir dua hari. Ada gundah juga dalam diri tetapi saya pujuk hati. Saya bukan bergantung kepada ubat itu. Pergantungan saya hanya kepada Allah. Tentu apa yang saya alami ini adalah aturan Allah, dan saya wajib redha.

Bukan saya menyerah bulat-bulat. Saya sudah menelefon pelbagai farmasi, klinik dan hospital bertanyakan Visanne, tetapi tiada. Hanya di REHAK itulah tempatnya, tetapi tidak juga ada. Apa lagi daya saya? Saya cari juga di online, manalah tahu ada jualan sebegitu tetapi yang ada hanyalah nun di Canada!

Jumaat semalam, jam 4.30 petang, saya mula mengalami pendarahan. Baru dua malam saya tinggalkan ubat itu pendarahan sudah berlaku. Saya cuba tabah walaupun rasa sudah seram sejuk.

Malamnya, dalam ketidakselesaan dan rasa seperti mahu senggugut, saya mengajak suami saya keluar mencari pain-killer di farmasi. Kami ke Rima Dex Wakaf Che Yeh untuk sepuluh biji pil Naproxen Sodium 275 sebagai bekalan jika senggugut saya menyerang. Untuk makan malam, kami singgah di Restoran Batu 4 dalam hujan yang lebat itu, untuk sepinggan Kue Teow Kungfu kegemaran saya dan nasi tom yam untuk suami saya.

Sebelum tidur, saya menelan pil Naproxen Sodium itu sebagai usaha menghilangkan sedikit kesakitan. Semoga Allah mengizinkan.

Alhamdulillah, kesakitan saya berkurang dan pagi ini saya rasa segar. Harapnya senggugut saya tidak datang untuk kali ini, dan harapnya Visanne itu akan tiba di REHAK sehari dua lagi.

Segalanya aturan Allah. Saya tahu itu.

Wednesday, December 21, 2016

Asam Pedas

Dua puluh tahun dulu, November 1996.

Kali pertama kaki saya mencecah tanah Johor. Saya bersama-sama beberapa orang kawan seuniversiti dibawa oleh Zila pulang ke rumahnya di Kg Sungai Bunyi, Pontian untuk memeriahkan majlis pertunangan Zila dan kekasih hatinya, Rohaizat seorang pegawai polis.

Saya memang sentiasa teruja untuk berada di tempat yang belum pernah saya kunjungi. Keluarga Zila sangat peramah dan menyambut kedatangan kami dengan hidangan enak Negeri Johor - Asam Pedas.

Sedap sungguh asam pedas itu. Saya sempat melihat bagaimana asam pedas itu disediakan dan apabila saya kembali ke Kelantan, saya cuba memasak mengikut resipi yang saya lihat di rumah Zila itu.

Saya hidangkan pada ayah. 

"Gulai apa ni?"

Ayah bertanya sebaik melihat asam pedas yang merah pekat itu di atas meja.

"Bukan gulai, ayah. Asam pedas ikan tenggiri.."

Ayah merasa. Nampak macam berselera.

"Sedap! Ayah ingatkan gulai sebab pekat."

Oh! Pujian ayah itu saya ingat sampai hari ini.

Tengah hari ini, saya mengulang kembali masakan asam pedas itu demi menghilang rindu pada kenangan yang ada. Ikan haruan yang Rahimi beri pada Jumaat lalu masih rapi tersimpan dalam peti sejuk. Sudah lima hari ia di situ, hari ini saya mahu melakukan sesuatu agar asam pedas saya menjadi kenyataan.

Jam 11.30 pagi saya ke dapur. Selepas menjerang nasi, saya mula menyediakan bahan untuk asam pedas ikan haruan. Lima biji cili kering, setengah biji bawang besar, dua biji bawang merah dan seulas bawang putih saya kisar bersama-sama sedikit lengkuas, kunyit, halia dan cili padi. Saya panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi sehingga masak.

Apabila sudah garing dan wangi, saya masukkan air dan kacau. Apabila hampir mendidih, saya masukkan asam keping, garam dan gula juga ikan dan terung. Akhir sekali saya letak bunga kantan, daun kesum dan tomato.

Alhamdulillah, suami saya menerima baik masakan saya hari ini. Kami menikmatinya bersama-sama telur itik dadar dan sayur pucuk paku goreng.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tugas

Selama cuti, baru sekali saya ke sekolah iaitu pada Ahad 18 Disember untuk analisis PT3.

Ramai yang ada di sekolah hari itu kerana mereka terlibat dengan Mesyuarat Perancang. Saya terkecuali. Hadir saya hanyalah untuk urusan analisis bersama dengan Puan Noor Hanani.

Apabila Kak Hajah Rohana menyapa saya pagi itu, dia membawa berita baru. Saya ditugaskan untuk menjadi Penolong SU Kurikulum menggantikan Puan Suriana yang diberi tugas sebagai Penolong SU Kokurikulum. Terkedu saya. Tidak terkata apa-apa.

Selesai mereka mesyuarat barulah saya suarakan perasaan saya kepada Kak Zakiah.

Kak, kenapa saya diberi tugas Penolong SU Kurikulum? Saya kan dah sibuk di bahagian Headcount dan Analisis. Tak ada orang lain lagikah untuk tugas ini? Kalau betul nak bagi saya pegang PSU tu, boleh je tapi berilah tugas Headcount ni kepada orang lain. Lagi pun macam pelik je, PSU Kurikulum dan Headcount orang yang sama. 

Itu antara isi rintihan saya kepada Kak Zakiah yang juga Guru Kanan Sains Matematik. Kebetulan Kak Hajah Rohana masuk ke tempat saya pada masa saya merintih-rintih itu.

Kata Kak Hajah Rohana, betul juga tu Ti. Kak Na terlepas pandang. Nantilah, bila guru baru melapor diri nanti, tugas PSU Kurikulum ini akan diberi kepadanya. Ti pegang buat sementara ya!

Lega sedikit sahaja dalam jiwa saya. Saya sudah pun menerima arahan untuk menguruskan Mesyuarat Kurikulum pada 27hb nanti. Saya perlu menyiapkan minit mesyuarat lepas untuk edaran, dan mencatat minit mesyuarat itu nanti. 

Tuhan, bantulah aku!




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 20, 2016

Apa?

Dah lama tak bersembang, Cuti sekolah dah nak habis, idea pun tak berapa nak banyak tapi rasa nak menulis. Kita tengoklah apa yang mampu saya sembangkan di sini.

Hujan sedang mencurah-curah di luar jendela. Jam Astro sedang ke angka 13:07, dan saya bersendirian. Suami saya baru sahaja turun untuk bersolat Zohor di Masjid Batu 8, dan kami sudah pun menikmati hidangan tengah hari pada jam 12.40 tadi. Awal, sebab saya lapar.

Jam 10:45 tadi, adik saya Rifqi menelefon. Dia kata rumah ma tiada air jadi nak tumpang mandi kat rumah saya. Saya ok je. Bilik air rumah ini ada empat. Boleh je nak guna mana-mana.

Lama, tak datang-datang. Saya dah tertidur. Kemudian kelaparan. Suami saya tiada, dia keluar mencari barang. tiba-tiba Samsung Galaxy A9 Pro saya berbunyi. Rifqi. Dia kata tak jadi datang sebab semua orang dah ke rumah Husna.

Ok.

Saya masuk dapur, memasak. Singgang daging, goreng ikan kering dan telur dadar. Dekat-dekat nak masak suami saya balik. Terus kami makan dengan berseleranya. Siap makan dia bersiap ke masjid. Saya membaringkan diri di katil, meriba laptop. Sampai sekarang ini lah.

Sembang seterusnya.

30hb November baru-baru ini, saya menunaikan hasrat dan impian saya untuk membeli telefon baru. Di KB Mall, hasrat itu tercapai. Sebuah telefon berjenama Samsung Galaxy A9 Pro berwarna hitam saya beli dengan harga RM1888.  Pada masa yang sama, saya menukar plan saya kepada Celcom First dengan 10GB inernet untuk hari biasa dan 10GB pada hari minggu. Panggilan percuma ke mana-mana talian dan SMS dicaj 20 sen. Nampak amat berbaloi dengan bayaran cuma RM84.80 sebulan berbanding plan saya sebelum ini yang bernilai RM98.00 hanya untuk 3GB internet.

Sembang seterusnya.

Cuti cuma tinggal sebelas hari sahaja lagi. Jujurnya, ada rasa tidak sabar untuk saya kembali ke sekolah. Entah, mungkin saya rindu untuk bekerja agaknya. Lagipun, sekolah saya itu begitu memberi keselesaan buat saya dan saya berdoa agar keselesaan itu berterusan dan saya enggan pindah ke sekolah lain sehinggalah saya pencen. Amin.

Sekian dahulu. Saya mahu solat Zohor.






Friday, December 16, 2016

Drama

Lama benar saya tidak melayan drama tv. Bukan tiada masa, tapi tiada selera.

Apabila terlihat promo Isteri Tuan Ihsan di kaca tv, saya berazam (?) untuk menontonnya sebab drama-drama sebelum ini (Abang Bomba, Suri Hati Mr Pilot, Awak Sangat Nakal dll) saya tidak langsung mengikuti. Hanya tertengok tanpa memahami langsung jalan cerita. Entah, tidak tahu ke mana selera saya pergi.

Pada malam episod pertama drama itu ke udara, saya sudah tertidur. Tak apa, nanti saya tengok ulangannya. 

Episod kedua, saya gagah menunggu. Episod ketiga saya tidur lagi. Episod keempat macam terlepas. (Eh, sekarang dah episod ke berapa ek?)

Benarlah, saya sudah berusia. Tidak lagi tertunggu-tunggu untuk menonton drama bersiri seperti dulu. 

Maaflah Tuan Ihsan. Masa untuk saya berkhayal sudah lama berlalu. Nampaknya melayan tidur itu lebih enak!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 13, 2016

Makan

Nampaknya, cuti akhir tahun ini tidak memberi kesempatan untuk saya berlibur bersama suami di mana-mana tempat peranginan. Entah kenapa bagai ada yang tidak kena dengan susun atur jadual kami kali ini.

(Tapi percayalah, saya tidak ralat sedikit pun. Berada di rumah saya, dan sesekali bersantai di rumah ma sebenarnya lebih membahagiakan. Apatah lagi pada cuti-cuti begini adik beradik saya yang berjauhan mula berkumpul di rumah ma. Kesempatan yang boleh dikatakan jarang-jarang ada kerana tanggungjawab mereka tertumpah di negeri orang.)

Dek kekangan yang tercipta sebegitu, maka demi mengisi cuti yang ada ini, saya dan suami mula merangka episod jalan-jalan cari makan kami sendiri. Hanya berkisar di sekitar sini sahajalah nampaknya.

Sabtu baru-baru ini, episod pertama jalan-jalan cari makan kami bermula. Suami membawa saya makan tengah hari di Selera Tepi Sungai, Tanah Merah. Jam 11.00 pagi kami turun, dan tiba di sana sekitar jam 12.00 tengah hari. Sedang elok dengan perut yang sudah mula berbunyi.

Banyak lauk pauk di sini. Semuanya menyelerakan. Saya memilih paru goreng, ayam goreng, asam pedas ikan patin dan sayur lemak nangka. Suami pula mengambil ikan bawal goreng sambal, telur dadar dan sayur campur. Bertemankan air teh o beng untuk suami dan limau nipis ais untuk saya, kami berselera sekali. Harganya cuma RM23.00 sahaja.



Ahad pula, kami keluar berurusan di Bank Muamalat Kok Lanas yang membawa ke tengah hari. Kami mengambil kesempatan untuk makan tengah hari di kedai makan berdekatan Kem Desa Pahlawan yang agak terkenal juga di sini. Nama kedainya saya lupa.

Saya mengambil nasi dengan lauk ikan keli goreng, sambal bilis petai dan sayur terung. Suami pula memilih lauk kegemarannya puyuh bakar, telur dadar dan sayur goreng. Air kelapa menjadi penghilang dahaga kami dan harga yang kami bayar hanyalah RM17.00 sahaja.

Cuti Maulidurrasul menjelang pada Isnin, dan kebetulan suami saya ada jemputan kenduri maka saya memilih untuk berpuasa. Tiada JJCM pada hari ini kerana menu berbuka puasa saya masak sendiri. Daging goreng, ikan selar masak kicap dan sayur goreng sudah mencukupi apatah lagi saya hiasi hidangan saya dengan bubur kacang merah yang dimasak sendiri juga.

Hari ini, Selasa. Sejak pagi saya mengadap peti televisyen menyaksikan upacara pertabalan Agong ke-15. Rencana kami kali ini, jam 11.00 pagi mahu ke Penarik, Setiu untuk menikmati celup tepung di sana. Tidak sempat habis acara pertabalan itu saya saksikan, kerana ICT Penarik memanggil-manggil.




Kami tiba di sana pada jam 12.45 tengah hari. Cuaca panas terik, tekak pun mula dahaga. Tidak banyak yang kami pesan kali ini, cuma dua ekor ikan celup tepung, lapan keping keropok lekor, dua biji cucur udang dan dua gelas air kelapa. Dengan harga RM20.00 kami kekenyangan. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah bersolat Zohor di Masjid Kg. Anak Ikan sebelum meneruskan perjalanan pulang dan singgag pula di Warung Bukit Jawa untuk dua mangkuk mi celup, semangkuk ABC dan segelas air kelapa. Semuanya cuma RM9.50.

Jam 3.55 petang barulah kami tiba di teratak kami, dan sedang mencari-cari idea seterusnya untuk episod JJCM kami ini.

Tuesday, December 06, 2016

Keperibadian

Tuhan telah memberikan saya satu kehidupan yang amat saya senangi. Memiliki hampir kesemua ciri-ciri keperibadian introvert, saya tahu saya tidak akan betah untuk berada dalam keramaian. Maka berada di rumah sendiri memberi saya seribu ketenangan yang tiada di mana-mana.

Pada Ahad dua hari lepas, satu majlis makan laksa diadakan di kedai kopi berdekatan rumah saya. Tentunya saya dan suami dijemput sama. Majlis bermula selepas Zohor dan saya berjalan kaki beriringan berduaan dengan suami menuju ke kedai itu. Tuhan tahu betapa kekoknya saya berada dalam kelompok yang saya tidak biasa. Semangkuk laksa untuk saya habiskan rasanya bagai sebesen! Apatah lagi ramainya lelaki berbanding perempuan di situ. Saya terkebil-kebil, tiada butir bicara untuk saya tuturkan.

Selesai makan, saya bersalam-salaman dan pulang. Terasa lega benar dapat pulang ke rumah menikmati segala yang saya sukai. Pun, di pertengahan jalan, jiran sebelah rumah pula menghulur jemputan. Katanya selepas Zohor esok, jemputlah makan tengah hari di rumahnya. Saya menghulur kesudian.

Tetapi siapa tahu apa ada dalam hati saya? Ah! Mengapa dia menjemput saya? Tidak bolehkah jika menjemput suami saya seorang sahaja? Perasaan tidak tenang itu berlanjutan sehingga ke tengah hari esoknya.

Pun saya akur dengan apa yang saya janjikan. Saya berjalan kaki ke rumahnya untuk makan tengah hari, juga bersama suami. Seperti dijangka, saya kekok dan hanya tahu melempar senyum. Tiada bicara seadanya jua.

Pulang ke rumah, saya lega sungguh.

Mujur hari ini saya tiada apa-apa jemputan lagi. Dapatlah saya menenangkan jiwa dengan aktiviti-aktiviti peribadi di rumah sendiri.

Saturday, December 03, 2016

Majlis

Jumaat, 2 Disember 2016.

Hujan masih mencurah-mencurah sejak pagi lagi. Sejuk mencengkam ke seluruh tubuh. Saat azan Subuh berkumandang, mata saya masih mahu memejam.

Pun demi sebuah tanggungjawab, saya bingkas juga. Banyak perancangan yang sudah disusun untuk hari ini. Semuanya perlu diselesaikan seperti yang dirancang agar tiada hati yang bakal terluka.

Sepagi hari ini saya hanya menyelesaikan tugasan rumah tangga. Selesai sarapan saya membasuh kain, mengemas rumah dan mencuci bilik-bilik air. Dek tengah hari nanti kami akan memenuhi jemputan kenduri di rumah sepupu suami saya di Repek, Pasir Mas, maka saya hanya menyediakan mihun goreng untuk mengalas perut sebelum suami turun solat Jumaat.

Jam 2.15 petang, kami bergerak ke sana. Alhamdulillah tiada kesesakan dan hujan juga sudah berhenti. Majlis berlangsung sederhana dan kami selesai sekitar jam 3.30 petang. Suami saya akan ke Rantau Panjang untuk menjemput saudara-saudara kami dari Golok yang akan bermalam di rumah ma sebelum bergerak ke Besut untuk majlis pernikahan Fattah esok. Maka saya pulang menumpang kereta Kak Zan.

Segalanya cemerlang, Alhamdulillah. Jam 6.05 petang suami saya tiba di rumah ma bersama-sama Pak Ngah, Mak Ngah, Kak Shamsiah, Kak Faridah, Munirah dan anaknya Hambali. 

Sabtu, 3 Disember 2016.

Masih lagi hujan membasahi bumi, tetapi agenda yang diatur tetap akan kami cuba penuhi. 

Jam 8.15 pagi kami bergerak ke rumah ma dan jam 9.15 pagi kami bertolak ke Kampung Lak Lok, Besut, Terngganu untuk menghadiri majlis pernikahan Abdul Fattah bin Jusoh, sepupu kami yang baru berusia 24 tahun itu. Perjalanan sangat damai, walaupun saya sedikit kepeningan. Jam 10.15 kami tiba di Masjid Kampung Lak Lok dan acara akad nikah berlangsung sekitar jam 10.45 pagi.




Selamat Pengantin Baru.

Jam 12.00 kami berarak ke rumah pengantin, dan selsai menikmati santapan tengah hari, kami bertolak pulang pada jam 1.15 tengah hari. Sekitar 2.20 petang, kami tiba di rumah ma.

Saya pulang bersolat Zohor di rumah. Mata saya sudah layu dan kantuk mula menyapa. Jam 3.45 petang, saya tidur dengan lenanya hingga tidak sedar langsung suami saya keluar ke masjid untuk solat Asar. Jam 5.15 petang suami saya pulang, barulah saya terjaga. Aduhai! Nikmat sungguh saya melayan tidur dek kepeningan dan kepenatan agaknya!

Malam ini, suami saya ada jemputan. Saya meneruskan acara saya sendiri-sendiri dan bakal menanti ketibaan esok hari dalam debar dan harap yang tiada berkesudahan.

Tuesday, November 29, 2016

Cuti

Salam pagi Selasa.

Sebagai guru, saya sedang bercuti. Saya sedang memanfaatkan cuti sekolah yang sememangnya begitu istimewa untuk kami. Istimewa kerana selama bertugas di sekolah, kami tidak diberi keistimewaan cuti seperti kakitangan lain kerana kami sudah ada cuti sekolah.

CRK (cuti rehat khas) yang diperuntukkan untuk kami sebanyak tujuh hari setahun itu tidak semudah itu untuk kami peroleh. Syarat-syaratnya ketat, dan CRK menjadi pilihan hanya apabila kami benar-benar tiada pilihan. Jika tidak, semua urusan kami longgokkan pada musim cuti sekolah beginilah.

Dua puluh lima hari cuti akhir tahun ini, apabila ditolak cuti krismas, cuti maulidurrasul, mesyuarat-mesyuarat yang sudah ditarikhkan di sekolah, hari pengumuman keputusan PT3 dan juga hari bertugas di sekolah, dapatlah kami cuti yang benar-benar cuti selama tidak sampai lima belas hari.

Alhamdulillah. Kami mensyukurinya sangat-sangat. Lima belas hari ini kami pasti akan bercuti sepenuh hati. Kami akan menjadikan ia benar-benar berkualiti.

In shaa Allah.


Sent from Samsung Mobile

Friday, November 25, 2016

Cuti Akhir Tahun

Hari ini bermula cuti selama tiga puluh tujuh hari untuk mengakhiri sesi persekolahan 2016. Walaupun agak singkat berbanding tahun-tahun sudah, saya tetap mensyukurinya.

Hari terakhir semalam, kami meraikan guru-guru yang akan bertukar sekolah pada sesi 2017 dengan sedikit majlis ringkas dan jamuan tengah hari. Kebetulan beberapa orang guru termasuk saya baru mendapat kenaikan DG48, maka kami seikhlas hati menaja sebahagian kos jamuan tersebut.

Guru-guru yang akan bertukar ialah Pn. Sofiah Ariffin (ke Maktab Sultan Ismail), En. Suhaide Asmade Salleh (ke SMK Sultan Ismail), Pn. Norzila Mohd Noor (ke SMK Kuala Jengal, Dungun) dan En. Che Adnan Ab Halim (ke SMK Batu Melintang, Jeli). 

Sepanjang cuti ini sudah bersusun-susun agenda yag diatur sama ada berbentuk urusan peribadi, urusan keluarga juga urusan sekolah. Semoga semuanya berjalan seperti yang dirancang. Harapan saya, biarlah cuti ini memberi ruang untuk saya mencipta rasa bahagia dan gembira tanpa gusar dan sukar. Amin.

Monday, November 21, 2016

Demam

Baru beberapa hari sya menulis tentang tiada MC pada tahun ini. Sangka saya begitu, rupanya tidak.

Sejak Khamis, badan saya seram sejuk dan mula menunjukkan tanda-tanda untuk demam. Rasanya lama sungguh saya tidak demam kuat. Kalau ada pun cuma sehari sahaja, esoknya terus baik. Tak perlu ke klinik pun.

Pun saya sedar saya ini manusia yang sudah berusia. Kebarangkalian untuk demam sentiasa ada.

Pagi Jumaat itu saya masih mahu bertahan. Ubat-ubatan memang sudah tersedia ada di rumah saya. Panadol ada, ubat selesema pun ada. Jadi saya rasa tidak perlu ke klinik.

Hari Sabtu, masih begitu. Bertahan seadanya. Dan Ahad menjelang, saya gagahkan diri ke sekolah. Saya mahu meraikan majlis persaraan Sir Sayed, guru yang sangat saya senangi selama di SMK Kg Chengal ini.

Pulang ke rumah petang Sabtu itu, panas badan saya semakin membara. Saya sudah semakin lemah. Lidah sudah hilang rasa, hidung juga sudah hilang bau. Batuk mula menghinggap.

Sudahnya, suami saya membawa saya ke klinik pada malam itu dan doktor memberi saya cuti sakit sehari.

Maka berehatlah saya hari ini, dengan penuh rasa ketenangan.


Sent from Samsung Mobile

Friday, November 18, 2016

Berserah

Bermula petang Selasa lalu, saya menemani anak-anak pelajar saya mengulangkaji Matematik Tambahan yang bakal mereka lalui peperiksaannya pada Khamis kelmarin. Padat juga jadual saya, tetapi saya enggan mengeluh. Saya mahu berada bersama mereka hingga ke saat-saat akhir. 

Petang itu, bermula jam tiga hingga lima mereka diberi latihan kertas dua. Bersemangat sekali mereka menjawab. Nampak benar pada air wajah mereka tingginya harapan untuk cemerlang dalam mata pelajaran ini.

Rabu pula, bermula lapan pagi dan berakhir empat petang saya menemani mereka lagi. Kali ini saya menambah lagi latihan kertas dua dan kertas satu.

Pagi Khamis itu, seawal jam tujuh saya sudah berada di luar dewan. Mereka masih mahu bertanya itu ini. Sebekas besar teh o panas dan dua balang kuih pau kami sediakan untuk mereka. Enam puluh lima orang pelajar ini kelihatannya lebih berselera menghadap kertas latihan daripada menjamah sarapan!

Lapan pagi, mereka memulakan perjuangan. Saya menunggu di luar dewan dengan doa dan harapan.

Usai kertas satu, mereka masih punya masa untuk menelaah kertas dua. Saya mengajak mereka ke perpustakaan untuk mengulangkaji di sana.

Jam dua petang, mereka berjuang pula untuk kertas dua. Saya masih menunggu di luar dewan dengan doa dan harapan.

Jam 4.50 petang baru mereka keluar dari dewan itu. Pelbagai reaksi wajah yang saya lihat. Kata Nurin, "ada senang ada susah cikgu. Maafkan saya kalau tidak mendapat gred yang baik."

Tidak mengapa, nak. Kita sudah berusaha. Semoga Allah memberi yang terbaik dan melorongkan jalan yang indah untuk kalian terus melangkah.

Alhamdulillah. Tamat sudah perjuangan untuk 2016 bagi mata pelajaran saya ini. Badan saya sudah berasa seram sejuk. Hidung sudah tersumbat. Kepala juga berat.

Saya demam.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 17, 2016

Bicaraku

Ini baru UPSR. Tak payahlah sedih-sedih. Motivasi pelajar bukan ditentukan oleh bilangan A UPSR. Persekitaran lebih memainkan peranan.

(Positifnya, kualiti lebih terjamin.)

Ramai yang tidak mendapat straight As UPSR tetapi cemerlang waktu di sekolah menengah. Ramai juga yang mendapat straight As UPSR tapi di sekolah menengah merudum.

Apa yang penting ialah bagaimana murid-murid (anak-anak kita) ini dibimbing sepanjang perjalanan pendidikan dan kehidupan mereka. Bimbingan dari segala segi. Bukan hanya akademik, tetapi moral dan emosi. Dan peranan ini dimainkan oleh semua pihak.

Kalau mahu marah-marah dengan keputusan UPSR tahun ini, nampak benar yang kita masih belum mahu berubah. Minda kita masih lagi mahu meletakkan bilangan A sebagai petunjuk sebuah kejayaan.

Apa pun keputusan yang anak-anak kita bawa pulang, ini bukan masanya untuk meletakkan rasa penyesalan. Jadilah ibu bapa kelas pertama, yang boleh menerima positif setiap kegagalan dan mampu menyemarakkan semangat juang anak-anak untuk terus melangkah ke masa mendatang. Anak-anak kita pasti berasa bangga dan bertuah beribu dan berbapakan insan yang tidak mudah mengalah.


Sent from Samsung Mobile

Monday, November 14, 2016

Sihat

Tahun 2016 ini sudah menghampiri penghujungnya. Dalam kalendar persekolahan, saya sudah melalui sebanyak 188 hari bekerja setakat hari ini dan tinggal lagi tujuh hari untuk dilangsaikan sebelum cuti akhir tahun menjelang pada Jumaat 25 November nanti.

Kenyataannya, saya tidak bercuti sakit walau sehari pun pada tahun ini, kecuali untuk hadir temujanji di klinik O&G HUSM. Alhamdulillah.

Tahun lepas juga begitu. Tiada MC kecuali temujanji.

Sekali lagi, Alhamdulillah.

Sebenarnya, kesihatan saya bukanlah di tahap terbaik. Fibroid dan cyst masih menghuni abdomen saya cuma ia tidak meliar. Dalam temujanji terbaru Oktober lepas, doktor memaklumkan saiznya sedikit membesar tetapi saya tidak pernah mahu risau. Mungkin kerana ia tidak menyakitkan, saya mahu abaikan sahaja. Doa saya kepada-Nya, janganlah penyakit saya ini menyusahkan siapa-siapa, walaupun diri saya sendiri. Amin.

Dahulu, saya kerap bercuti sakit apabila senggugut menyerang. Waktu itu saya bergantung pada pil Yasmin sahaja untuk menstabilkan kitaran haid sambil merencat pembesaran fibroid dan cyst saya. Pil itu tidak mengurangkan kesakitan senggugut saya, jadi setiap bulan saya terpaksa mengambil cuti sakit apabila senggugut menyerang.

Pada hujung 2013, doktor meminta saya menukar ubat. Tiada lagi Yasmin, tetapi Provera pula. Katanya yang ini lebih baik. Saya hanya menurut. Ilmu saya tiada tentang itu.

Alhamdulillah, selama mengambil Provera, haid saya langsung tiada. Maka saya sihat dan ceria tanpa senggugut. Entah kerana apa, pada suatu ketika saya bimbang dengan tekanan darah saya lalu mula menyalahkan Provera. Saya berhenti mengambilnya dengan harapan senggugut saya sudah sembuh.

Rupanya tidak begitu. Pendarahan berlaku dengan lebih kerap dan lama, dan senggugut saya berulang. Kemuncaknya, pada September 2014, saya sudah tidak tahan lagi lalu merelakan diri ke Unit Kecemasan di HUSM. Mujur saya tidak ditahan di wad, hanya tarikh temujanji dipercepatkan.

Doktor menyarankan suntikan Depo Provera pula untuk menghentikan pendarahan. Lama juga saya terbelenggu dengan ketidakselesaan kerana suntikan itu tidak mampu bertindak semerta. Pendarahan masih berlaku cuma kesakitan sudah berkurang. Tetapi pada kebanyakan waktu sepanjang 2015 itu, saya tidak lagi senggugut.

Pada Mac lalu, doktor memperkenalkan ubat yang lebih baik (katanya) kepada saya tetapi saya perlu membelinya sendiri. Visanne 2 mg menjadi peneman saya kala ini. Dengan harga RM150 untuk 28 biji pil diambil sebiji sehari, Allah mengizinkan saya kembali sihat. Tiada lagi senggugut walaupun pendarahan masih berlaku sekali sekala pada kadar yang sedikit.

Alhamdulillah.

Saya tidak tahu sampai bila saya perlu bergantung kepada ubat-ubatan dek penyakit saya ini. Pembedahan sudah menjadi pilihan terakhir kerana saya sudah melaluinya dua kali. Risikonya menjadi lebih tinggi.

Saya redha, sesungguhnya. Bahagian saya di dunia begini, dan saya mohon Allah ampunkan saya. Jika nanti saya perlu melalui rawatan-rawatan yang lebih menyulitkan, saya mohon kekuatan dari-Nya, dan saya mohon saya tidak akan menyusahkan siapa-siapa.

Amin.

Sunday, November 13, 2016

Damia

Kecoh juga tentang Damia sehari dua ini. Selama ini tiada yang mahu berbicara, tiba-tiba setelah berdekad-dekad nama ini diguna pakai, ia menjadi isu. Saya tidak berniat untuk memberi apa-apa pendapat tentang nama ini, terpulang pada pemberi nama dan pemilik nama untuk memikirkannya berdasarkan pelbagai maklumat yang tersebar di internet.

Oh ya, rasanya dalam ahli keluarga terdekat saya tiada yang bernama Damia.

Secara peribadi, memberi nama kepada bayi belum pernah saya alami kerana saya tiada kesempatan itu. Pun dalam angan-angan, saya punya banyak pilihan nama sejak lama. Ya, nama-nama yang indah bagi saya.

Hakikatnya, saya kurang meminati trend. Apabila sesuatu nama itu menjadi trend, saya seboleh mungkin mahu mengelak nama itu terus-terusan ditrendkan. Bukan apa, ia menjadikan nama itu tidak lagi unik dan sebagai guru, agak menyukarkan sedikit apabila di dalam satu kelas yang sama, berhimpun tiga hingga lima orang pemilik nama yang sama.

Contoh, Adam. Daniel. Irfan. Sangat ramai pemilik nama ini dalam satu-satu kelas hingga tertukar orangnya yang mana satu. Begitu juga dengan nama Izzati, Farhana, Syafiqah yang trending pada bayi 80-an dahulu. 

Nama saya juga begitu. Di sekolah menengah dahulu ada tiga orang Noorhayati, tetapi nama saya yang dieja dengan dua huruf O menyebabkan saya diletakkan di kelas berbeza dengan dua orang lagi yang namanya mempunyai satu O sahaja.

Apa ada pada nama? Entahlah. Nama yang indah dan panjang pun apalah maknanya jika nanti dipanggil dengan Along, Angah, Andak dan pelbagai lagi gelaran dalam keluarga. Nama hanya menjadi nama dalam situasi rasmi sahaja.

Sebab itulah saya kini lebih menggemari nama yang ringkas dan dipanggil penuh. Namakan bayi anda sebagai Huda, dan panggillah dia Huda. Jika ada adiknya menyusul nanti, panggil saja Kak Huda, supaya nama Huda itu kekal. Indah kan begitu?

Friday, November 11, 2016

Kak Su

Dia hanyalah seorang wanita yang diberi Tuhan sedikit kelebihan. Dia punya hati dan semangat yang amat cekal dan begitu komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanah. Pun sebagai manusia, dia tentunya punya kelemahan yang tidak boleh dinafikan.

Selama tiga tahun saya bekerja bersama-samanya, jujurnya saya tidak pernah mahu mencari kelemahan miliknya. Apa yang lebih penting ialah menjana kecemerlangan bersama-sama demi anak bangsa yang amat kita kasihi.

Kak Su di mata saya adalah seorang wanita berkarisma, ada wawasan dan hala tuju serta teguh menggenggam azam dan semangat demi menjadikan sekolah ini tersohor dan ternama. Saya cuba memberi yang sehabis baik dan mengelak daripada mencetus rasa tidak puas hati di hatinya. Jika ada yang saya tidak mampu, saya berterus terang. Bukan sekali dua saya menolak tugas yang diminta, tetapi saya cuba berhemah agar Kak Su tidak kecewa. Bukan sekali dua juga Kak Su menegur dan mengkritik tugas saya, tetapi saya terima teguran itu secara positif dan memastikan kesilapan yang sama tidak berulang. Kami sama-sama berusaha menjadikan segala kekurangan itu sebagai satu peluang.

Alhamdulillah, saya mampu bekerja dengan baik di bawah arahan dan tunjuk ajar Kak Su. Sedikit pun saya tidak pernah terasa hati atau tersentuh jiwa dengan Kak Su kerana setiap kata dan butir bicara yang diucapkan, saya terima sebagai nasihat juga didikan. Apa pun nada suaranya, saya tidak berhak menilai secara negatif. Dia lebih berusia, lebih berpengalaman dan lebih mengenali dunia berbanding saya yang serba-serbi cetek. Jarak usia kami lima belas tahun, tentunya saya jauh ketinggalan dalam percaturan pengalaman hidup berbanding Kak Su.

Saya tahu, ada di antara kita yang memandang Kak Su dengan pandangan yang tidak indah. Yang menilai Kak Su dengan prasangka dan kebencian. Itu lumrah kehidupan dan siapa-siapa pun yang berada di tempat Kak Su akan merasainya. Saya tahu ada waktunya Kak Su serba salah dalam melaksanakan tugas, tetapi demi tanggungjawab, Kak Su teruskan jua biarpun ditohmah, demi sebuah amanah yang digalas.

Besar sungguh jiwa Kak Su. Tidak mudah untuk berdepan dengan pelbagai sikap dan sifat yang ada dalam kalangan anak buahnya, tetapi kecekalan hati dan kekuatan semangat menjadikan Kak Su tidak kisah dengan segala yang dilempar kepadanya. Allah jua yang tahu apa sebenarnya hajat dan hasrat di hati Kak Su.

Terima kasih Kak Su kerana hadir memberi sesuatu yang berharga buat saya. Segala kisah dan cerita tentang Kak Su yang saya dengar, saya jadikan teladan untuk saya tempuhi hari-hari mendatang. Mana ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Mana ada lautan yang tidak bergelombang. Kita semua hanyalah hamba Tuhan. Saya memohon kemaafan di atas segala kesalahan saya selama saya mengenali Kak Su, sama ada secara sengaja atau tidak, secara sedar atau tidak.

Selamat bersara, dan berehatlah Kak Su. Waktu untuk Kak Su berpenat-penatan sudah tamat. Layanilah segala hobi dan keinginan Kak Su yang selama ini tersekat oleh beban tugas mendidik anak bangsa. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat Kak Su, dan memberkati hidup Kak Su di sisi ahli keluarga tercinta.

Saya akan merindui Kak Su.


Monday, November 07, 2016

Tamparan

Panggggg!

Satu tamparan dari tangan kasar seorang guru lelaki hinggap di pipi saya pada malam itu. Malam yang menjadi sejarah kelabu dalam perjalanan hidup saya di MRSM Kuala Terengganu. Hanya dua hari sebelum SPM berlangsung.

Kisahnya, kami semua sedang berkumpul dalam sebuah kelas di bangunan akademik itu. Tujuan asal ingin mengulangkaji untuk SPM yang akan tiba lusa. Kami sudah berada di kelas itu sejak jam sembilan lagi. Entah kerana apa, beberapa orang pelajar lelaki dari kelas sebelah datang ke kelas kami memaklumkan beberapa perkara. Saya lupa apa yang diberitahu mereka, tetapi salah seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sekuat hati. Jeritan yang sungguh luar biasa.

Jeritan kuat itu mengejutkan guru (warden) yang sedang meronda malam itu. Apabila guru itu menapak ke arah kelas kami, pelajar-pelajar lelaki itu menghilangkan diri entah ke mana. Yang tinggal hanya saya dan beberapa orang rakan perempuan.

"Siapa yang menjerit tadi?"

Soal guru lelaki itu dengan nada marah menengking.

Saya dan rakan-rakan saling berpandangan. Guru itu mengulang soalan tetapi kami ketakutan untuk menjawab.

"Kamu berdua, cepat datang ke bilik saya!" Arahnya kepada saya dan rakan saya yang seorang lagi. Terus guru itu berlalu ke biliknya dengan harapan kami turut mengekor.

"Macam mana ni? Aku takutlah!"

"Aku pun takut...." Jawab rakan saya.

"Tapi cikgu panggil kita. Kita kena pergi!"

"Aku takut! Aku tak mau pergi!" Rakan saya itu mengelak. Dia lantas mengajak saya ke dewan makan untuk minum malam. Saya akur walaupun serba salah.

Usai makan di dewan makan, kami berpatah semula ke kelas untuk mengambil buku-buku dan alat tulis yang kami tinggalkan di sana. Jam sudah menghampiri 10.30 malam. Kami sudah boleh balik ke asrama.

Setiba di tangga bangunan, kami terserempak dengan guru itu. Dia lantas memanggil saya.

"Kamu! Ke sini!" Lantang dan kuat dia menjerkah. Saya yang lurus bendul mendekatinya, rakan saya yang seorang lagi itu hanya berdiam di situ.

Ketika itulah saya menerima tamparan hebat itu. Saya menangis serta merta. Guru itu terus memarahi saya tanpa belas.

"Kan aku panggil kamu berdua tadi! Macam beruk aku menunggu dalam bilik tu. Kenapa tak datang?"

Marah benar dia. Saya yang teresak-esak, cuba menjawab tetapi entah apa butir kata saya yang keluar, saya sudah pun lupa.

Ketika inilah pelajar-pelajar lelaki tadi datang semula, memaklumkan yang saya tidak bersalah apa-apa dan mereka menjelaskan keadaan sebenar. Kami semua masuk ke bilik guru itu, mendengar lagi bebelannya, dan pelajar-pelajar lelaki itu bersedia dihukum.

Saya terus pulang ke asrama dengan perasaan yang amat sedih. 

Sudah dua puluh tujuh tahun peristiwa itu berlalu, pun ia kekal sebagai kenangan yang tidak terpadam. Mungkin saya perlu berterima kasih kepada guru itu kerana memberi saya pengalaman tamparan sekuat itu di pipi mulus saya yang masih belum pernah disentuh siapa-siapa. Ayah dan emak saya pun tidak pernah menampar pipi ini, hanya ciuman kasih sayang yang tulus ikhlas dari mereka.

Apa pun, yang terjadi tetap terjadi. Saya tidak berdendam. Guru itu terlalu baran dan gagal mengawal perasaan. Saya pula berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Hikmahnya hanya Allah jua yang tahu.
 

Jadual

Sesi 2016 ini, jadual PdP saya agak longgar, hanya dua puluh masa sahaja seminggu untuk tiga kelas. Memang agak banyak ruang masa untuk saya selesaikan kerja-kerja lain kerana dua puluh masa itu tidak sampai separuh pun daripada jumlah masa PdP keseluruhannya (empat puluh empat masa). Pun, setiap pagi sebelum guru-guru lain tiba, seawal jam tujuh saya sudah tercongok di depan komputer untuk merealisasikan tugas sebagai pembuat jadual ganti. Tugas yang memang saya sendiri mohon daripada puan PKP.

Apabila Pn. Hjh. Razian bertukar sekolah pada Julai lalu, saya ditugaskan untuk mengambil alih salah satu daripada kelasnya. Dengan sedikit pengubahsuaian mata pelajaran (meminggirkan mata pelajaran Sivik untuk dua kelas), saya mendapat jadual baru sejumlah dua puluh satu masa. Dan ia cuma bertambah satu masa berbanding jadual lama. Saya masih lagi punya banyak ruang untuk melakukan kerja-kerja lain yang sama penting.

Harap-harapnya, untuk tahun 2017 nanti jadual saya masih longgar sebegini juga. Jika melebihi dua puluh empat waktu seminggu, saya rasa saya akan kepenatan kerana tugas saya di bahagian peperiksaan dan jadual ganti memakan banyak ruang. 

Sewaktu mengisi borang PdP 2017 minggu lepas, saya memohon untuk mengajar empat kelas dan bilangan waktunya mungkin sekitar dua puluh masa juga. Jika kekal seperti itu, syukur Alhamdulillah.

Sunday, November 06, 2016

Annual Dinner

Tradisi setiap tahun, kami para guru meraikan diri sendiri dengan jamuan makan malam di hotel lima bintang yang kami pilih. Jika tahun lepas kami bergembira di Hotel Perdana, kali ini kami memilih Hotel Reinassance pula. Jika tahun lepas saya bertungkus lumus menyediakan apa yang perlu kerana saya AJK Kelab Guru, tahun ini saya hadir sebagai guru biasa sahaja.

Malam Khamis itu 2hb November 2016, usai solat Maghrib, saya bersiap-siap seadanya. Saya mengenakan sepasang kurung biru gelap yang baru saya ambil dari kedai jahit petang tadi, yang telah saya hiasi dengan taburan manik-manik yang berkilauan. Sengaja saya mahu mengikut tema malam ini, "Gemerlapan". Saya mahu menunjukkan sokongan kepada Kelab Guru yang bertungkus lumus berbulan-bulan lamanya untuk merealisasikan majlis ini. Sehelai tudung ungu bercorak saya padankan dengan baju kurung tadi. Melengkapi penampilan yang tidak se'datin' mana ini, sebuah beg tangan kecil hitam dan kasut hitam. Jam 7.20 malam, suami menghantar saya ke tempat jamuan itu.

Saya antara yang terawal tiba.
Selfie dengan rakan-rakan. Ustazah Norizan, Cikgu Siti Noor dan Cikgu Siti Hasliza
Selfie lagi. Mengambil aura Yusniza dan Laili yang jelita-jelita belaka.
Lengan baju ini senteng sedikit. Tidak sempat saya membaikinya.

Majlis berlangsung sebagaimana yang dirancang. Ada ucapan, ada tayangan video, tiada persembahan. Menu dihidangkan ialah Chinese Cuisine yang boleh tahan enaknya.

Jam 11.00 malam, acara tamat dan saya pulang menumpang Tuan Syed Ahmad, rakan guru saya yang sudah mahu menamatkan perkhidmatannya pada hujung tahun ini. Malam ini turut meraikan beliau dan Puan Hjh. Wan Shuraya yang juga akan bersara pada hujung tahun ini.

Cuma, hati saya sedikit ralat dengan tindakan beberapa orang rakan guru saya yang seolah-olah sengaja enggan hadir atas sebab-sebab yang mereka cipta sendiri. Biar apa pun sebab itu, jadikanlah ia isu peribadi. Bukan dengan menunjukkan ciri-ciri tidak profesional ini di mata ramai.

Pagi-pagi lagi keesokannya, seorang kakitangan pejabat menyapa saya dengan soalan, "Kak Ti, kenapa ya ramai guru yang tidak hadir malam tadi?"

Saya tidak tahu bagaimana mahu menjawab.

SPM

Tidak seperti tahun lepas, hati saya menjadi lebih sayu kali ini. Entah kenapa gugur juga air mata seorang guru ini saat bersalam-salaman dengan murid-murid saya pada Majlis Restu Ilmu pagi tadi. Jujurnya, saya jarang sekali berpeluang hadir ke Majlis Restu Ilmu kerana selalunya saya terikat dengan tuntutan kelas. Tetapi pagi ini tidak begitu. Saya ada ruang untuk bersama-sama mereka.

Lima puluh empat orang pelajar Tingkatan Lima tahun ini menjadi anak murid saya. Dua puluh dua orang untuk mata pelajaran Matematik Tambahan dan tiga puluh dua orang lagi untuk mata pelajaran Matematik. Saya kenal dan ingat semua mereka. Saya kenal wajah dan nama mereka. Saya tidak mahu lupa. 

Ada pelbagai sikap dan sifat dalam diri lima puluh dua orang itu. Ada yang pemalu, ada yang peramah, ada yang rajin, ada yang mengelat. Apa pun sikap dan sifat mereka, saya diberi tanggung jawab untuk mendidik. Bukan hanya pada ilmu Matematik, tetapi juga segala yang bisa merentas kurikulum yang ada. 

Semakin lama menjadi guru, semakin saya menyayangi tugas ini. Semakin saya mahu memesrai pelajar-pelajar saya lebih daripada waktu yang ada. Saya bukanlah guru yang baik. Ada waktunya saya dibelit juga dengan kemalasan, dan meminta mereka menyiapkan kerja sendiri. Mereka akur dan patuh walaupun ada waktu-waktunya, mereka hanya berbual-bual kosong. 

Maafkan cikgu, anak-anak. Cikgu sungguh menyayangi kamu seikhlas hati. Cikgu tahu banyak kekurangan pada diri cikgu selama mendidik kamu, tetapi kamu tidak pernah merungut. Maafkan segala itu dan terima kasih kerana memberi warna-warna yang pelbagai dalam lembaran hidup cikgu sebagai guru.

Doa cikgu tidak akan pernah padam buat kamu. Semoga Allah memberi segala yang terbaik buat kamu semua di dunia dan di akhirat.

Teruskanlah perjuangan. Selagi hidup di bumi Tuhan, kita tidak boleh berhenti berjuang.

Monday, October 31, 2016

Masa



Persekolahan tahun ini tinggal kurang lebih tiga minggu sahaja lagi. Aktiviti kokurikulum akan dihentikan dan tumpuan kepada peperiksaan akan dilebihkan.

Selama hampir empat puluh minggu sesi persekolahan tahun ini, jadual hari Ahad dan Rabu diubahsuai sedikit untuk memberi ruang kepada perhimpunan (Ahad) dan aktiviti kokurikulum (Rabu). Masa PdP pada dua hari tersebut menjadi tiga puluh lima minit sahaja kecuali tiga masa pertama. Jumlah PdP kekal sembilan masa sehari.

Saya dan masa, seumpama isi dan kuku. Maaf, saya bukan ujub atau riak, tetapi sejak lahir saya berada dalam keluarga yang mementingkan masa. Kehidupan saya (dan orang lain juga) adalah perjalanan masa. Kerana itu saya tidak mahu memandang masa dengan sebelah mata.

Apabila aktiviti kokurikulum ditamatkan, jadual PdP kembali kepada waktu asal. Empat puluh minit setiap masa PdP. Saya mudah sahaja switch jadual saya itu kepada masa yang baru. Apa susahnya, tukar sahaja kepada masa pada hari Isnin atau Selasa. Tiada apa yang payah.

Rupanya, orang lain tidak begitu. Ramai sungguh yang terkeliru dan silap masuk kelas. Entah bagaimana mereka meletakkan masa dalam prioriti kehidupan mereka. Malah ada yang bertanya, kita balik awalkah hari ini? Rupanya selama ini langsung mereka tidak dapat mengaitkan masa pada hari Rabu dengan masa pada hari lain!

Manusia, memang ada pelbagai. Mungkin mereka tidak menjiwai masa seperti saya. Mereka melalui kehidupan mengikut arus, tanpa merancang masa dan perjalanannya. Begitukah? Kelebihan mereka pada segi yang lain, begitu hendaknya. Kerana manusia ini pelbagai.

Wednesday, October 26, 2016

Video

Dua tahun lepas, sewaktu majlis persaraan Tuan Pengetua sekolah saya, saya telah diminta untuk menyiapkan satu video khas untuk ditayang pada majlis itu. Saya hanya diberitahu sehari sebelum majlis berlangsung. 

Saya memang boleh melakukannya, tetapi Tuhan tahu betapa masa yang diberi sangat suntuk. Tambahan pula, menyediakan video bukanlah sesuatu yang saya suka walaupun saya boleh membuatnya. Boleh dan suka, adalah dua perkara yang amat jauh berbeza. Jujur, saya tidak minat.

Apalah daya saya, saya diarahkan begitu. Apabila ia berbentuk arahan, saya tiada ruang untuk mengelak. Walaupun saya sudah katakan, masa sangat suntuk dan bahan tiada, mereka tetap memaksa. Kata mereka bahan akan diberi, pembantu dari kalangan pelajar akan dicari. Saya terpaku, beku.

Maka bertungkus lumus lah saya memulakan segalanya. Dalam masa yang amat singkat itu, apalah sangat kualiti yang mampu saya hasilkan. Ia amat sederhana. 

Tahun lepas pula, saya menjadi AJK Kelab Guru. Sekali lagi saya ditugaskan untuk menghasilkan video untuk tayangan pada majlis makan malam akhir tahun sekolah kami. Atas tiket AJK Kelab Guru, kali ini saya rela. Lagi pun mereka memberitahu awal, lebih sebulan sebelum majlis, jadi saya punya banyak masa untuk melakukannya.

Dan video saya itu boleh tahan juga, lebih baik daripada video persaraan Pengetua dahulu.

Tahun ini, saya bukan lagi AJK. Tetapi tayangan video sudah menjadi trend. Mangsanya seringkalilah saya! 

Puan PKP saya akan bersara pada hujung tahun ini. Kali ini dia sendiri datang kepada saya dan meminta saya menyediakan video untuknya. Dia sediakan segala bahan dan gambar, saya cuma perlu videokan sahaja. Bagaimana harus saya menolak? Majlisnya minggu depan, tinggal cuma dua tiga hari bekerja sahaja lagi!

Saya akur. Saya maklumkan kepada beberapa orang rakan guru tentang hal ini. Mereka lantas memberi cadangan, buat jugalah untuk seorang lagi guru yang bakal bersara, dan juga video sekolah untuk majlis yang sama.

Kegilaan apakah ini?

Satu video itu  pun belum tentu siap sempurna, mereka mahu saya tambah dua lagi?

Tegas saya menolak. Nada saya, biarlah ahli Kelab Guru yang sediakan. Saya sudah tidak mampu. Banyak lagi kerja lain perlu saya bereskan.

Nampaknya, mereka mula mencari penyelesaian lain. Mengupah pelajar, mungkin. Atau mencari bantuan daripada anak-anak mereka. Teruskanlah. Asal jangan menyuruh saya lagi. Saya tidak punya banyak masa untuk melakukan kerja yang di luar minat saya. Video PKP itu pun saya sanggup kerana dia sendiri yang datang kepada saya. Lagi pun dia PKP, umpama ketua saya yang tentunya saya tertakluk di bawah arahannya. 

Kadang-kadang, saya perlu menyembunyikan sedikit diri saya daripada terus diperguna.

Saturday, October 22, 2016

Bahagia

Ah! Jika ditanya tentang impian seorang wanita, tentu berjuta adanya!

Bagaimana indah dan bahagianya jika hidup tidak perlu bekerja, makan pakai terjaga segala, dihias intan permata, punya khadam pula! Kan?

Hari-hari boleh melayan hobi sendiri. Kerap pula bercuti ke sana sini, tanpa perlu memikir untung dan rugi.

Nama pun impian, maka teruskanlah bermimpi!

Dunia selamanya tidak akan pernah mampu memuaskan hati siapa-siapa. Lalu bahagiakanlah diri dengan apa yang ada.

Bahagianya saya dengan pekerjaan saya, bahagianya saya dengan rumah tangga saya, bahagianya saya dengan kesihatan saya, adalah bahagia yang saya rasa dengan redha dan rela. Tidak sedikit pun saya mahu mengubah ketetapan ini demi sebuah bahagia yang masih misteri.

Allah mengurniakan, saya mensyukuri. Selagi apa yang saya tempuhi ini boleh melorongkan saya dekat kepada-Nya, saya akan teruskan dengan penuh keikhlasan.

Menjadi guru, saya bahagia. Menjadi isteri, saya bahagia. Tiada anak, saya bahagia. Berulang alik ke HUSM setiap tiga bulan, pun saya bahagia.

Saya menemui bahagia pada tempatnya. Alhamdulillah. Semoga masa depan nanti, saya akan terus bahagia. Doakanlah.


Sent from Samsung Mobile

Rehat

Rehat saya ialah berada di rumah sepanjang hari tanpa perlu memikirkan kerja-kerja yang saya tidak suka. Contohnya seperti hari ini.

Saya berbaring di katil. Saya mengakses internet, dari telefon pintar Samsung, tablet Asus dan komputer riba Acer. Saya baca apa sahaja yang saya mahu. Sampai pening-pening!

Ya, begitu saya berehat. Sedikit pun saya tidak rasa jemu. Malah saya seronok. Tenang. Bahagia.

Pun bukan selalu saya boleh bersantai begini. Ia cuma sekali dalam tiga ratus hari. Kerana itu saya benar-benar mahu menikmatinya.


Sent from Samsung Mobile

Bangkok - Hari Terakhir

Ahad, 2 Oktober 2016

Masuk hari kelima ini, rasa sudah tidak sabar-sabar mahu pulang. Sudah mula rasa rindu pada keindahan tanah air Malaysia.

Usai sarapan, kami mula mengangkut barang ke bas. Saya antara yang tidak membeli banyak. Satu beg itulah sahaja yang saya usung. Ramai juga yang beranak pinak beg mereka. Datang satu beg, pulang tiga beg! Puas hati sungguh. Kata mereka, entah bila pula boleh datang lagi jadi mereka tidak mahu melepas peluang.

Jika ikut hati saya pun, begitulah. Semua benda mahu dibeli. Tetapi masih ada rupanya sedikit kekuatan dalaman di dalam diri yang mengawal saya dari membeli tidak tentu arah. Biarlah. Saya pasti saya sudah berjaya mengajar diri berpada-pada.

Kami menaiki bas ke lapangan terbang, dan singgah makan tengah hari di Jeerapan (untuk kali ketiga) pada jam 10.30 pagi. Awal kami makan, nanti mesti lapar cepat.

Penerbangan kami pada jam 3.45 petang. Di lapangan terbang, tiada apa yang kami boleh buat. Mahu solat, tiada surau. Tandas mereka pun tiada paip. Terpaksa saya bertahan. Di dalam kapal terbang pula, makanan yang dihidang tidak mengundang selera. Kata mereka makanan itu berasaskan sayuran, tetapi sushi bukan jiwa saya. Saya hanya meneguk air mineral dan segelas jus oren.

Jam lima petang kami tiba ni Narathiwat. Kali ini kami diangkut pula oleh lima buah van untuk ke Golok. Dalam perjalanan, kami singgah solat di masjid.

Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami. Van besar itu padatnya boleh tahan. Saya hampir mabuk lagi.

Jam 7.30 malam baru kami tiba di Rantau Panjang. Bas Cikgu Redzuan menjemput kami pulang ke Chengal. Saya turun di Stesen Minyak Caltex, di mana suami saya sudah sedia menunggu, kira-kira pada jam 9.45 malam.

Alhamdulillah. Penat memang penat, tetapi pengalaman yang ditimba akan menjadi guru berharga.
Selamat Tinggal The Egypt Hotel.



Gelapnya saya di sisi Nani yang putih melepak!
Dalam penerbangan pulang. Masing-masing sudah tidak kesabaran

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Narathiwat Airport

Tuesday, October 18, 2016

Bangkok - Hari 4

Sabtu, 1 Oktober 2016

Penat rupanya berjalan-jalan begini. Tiada ruang rehat langsung, hanya dipenuhi dengan lawatan ke sana sini dan ketiduran di dalam bas!

Pagi ini ruang sedikit luas apabila kami hanya akan bergerak pada jam 10 pagi. Sarapan kami hari ini sepenuhnya di hotel, kerana hotel ini halal. Ada nasi goreng, roti dan bubur. Saya kekal berselera walaupun ada rakan-rakan yang sedikit terganggu dengan rasa tidak selesa menjamah makanan hotel. Tidak yakin, kata mereka.

Jam 10 kami dibawa ke pasar hujung minggu terkenal di kota ini iaitu Cha Tu Chak. Kami diberi masa tiga jam untuk meronda dan membeli belah di sini. Tiga jam terlalu lama bagi saya. Walaupun saya suka benar bershopping, tetapi memikirkan sukar untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti, saya mengehadkan keinginan. Saya membeli apa yang perlu sahaja kerana enggan menambah bilangan beg dan malas pula mengusung bebanan!


Selesai membeli belah, menanti bas datang dalam terik mentari. Kak Wan Shuraya, Kak Zakiah, Kak Makelsom, Hanani dan saya.
Usai di Cha Tu Chak, kami dibawa ke Restoran Jeerapan untuk kali kedua. Masih dengan menu nasi kuning, sup daging dan ayam bakar, ditemani juga pulut pauh dan pulut bakar. Alhamdulillah, kami kekenyangan.

Untuk bersolat tengah hari, kami singgah di masjid yang agak terlindung di kota ini. Maklumlah, kota kosmopolitan yang dipenuhi wat Buddha, masjid menjadi begitu terasing.

Agenda terakhir kami hari ini ialah singgah bershopping lagi di Asiatique.

Bersama penganjur program kami, Dato' Ezani. Dari kiri: Datin Nik Norizah, Ustazah Siti Meriam, saya, Dato' Ezani, Izzat (anak Dato') dan Cikgu Makelsom.


Selepas makan malam, kami pulang ke hotel. Kali ini lebih awal dari biasa untuk memberi ruang kami berkemas. 

Selamat malam Bangkok. Ada umur jumpa lagi.

Wednesday, October 12, 2016

Bangkok - Hari 3

Jumaat, 30 September 2016

Baru terasa segar dan bertenaga apabila dapat tidur nyenyak malam tadi. Alhamdulillah. Hotel River Kwai ini sangat luas dan selesa sekali biliknya. Nyaman dan menenangkan.

Dua katil double, seronok!
Bersedia untuk menaiki bas ke restoran Dawood Chaa
Jam 8.00 pagi kami dibawa bersarapan di Restoran Dawood Chaa, dan kali ini hidangan nasinya amat menyelerakan. Seterusnya kami dibawa pula  melawat jalan kereta api maut yang bersejarah itu, yang terletak di Ayuthaya. Sekitar kawasan itu dipenuhi dengan kedai-kedai batu permata dan cenderahati, menjadi tumpuan kami untuk kesekian kalinya.

Saya membeli sebentuk cincin berharga 400 Baht sebagai cenderahati untuk diri sendiri.

Usai makan tengah hari, kami bergerak ke pasar terapung pula.



Seterusnya, mereka membawa kami ke masjid Nurul Huda, di perkampungan Melayu Ayuthya untuk bersolat. Masjidnya masih dalam proses pembinaan dan kami teruja bertemu penduduk-penduduk di situ, yang sama seagama walaupun tidak sebahasa.

Ada sekumpulan kaum ibu berjual produk keluaran mereka di hadapan masjid itu. Saya membeli lima bekas serunding daging untuk dibahagi-bahagi kepada ipar duai apabila pulang nanti.

Masjid Nurul Huda
Seronok kaum ibu ini berniaga kerana banyak benar kami membeli!
Agenda seterusnya, kami dibawa pula ke restoran Ibtisam Cuisine yang menghidang steambot dan makanan buffet. Banyak betul makanan di sini, dan sedap-sedab belaka. Saya terpikat dengan cucur udang dan ais cendolnya. Nasi goreng dan laksa siam juga menarik. Steambot tidak menjadi keutamaan lagi kerana makanan sampingannya lebih menyelerakan bagi saya.

Berselera!


Jam menghampiri 11 malam, barulah kami tiba di hotel. Kali ini kami menginap di The Egypt Boutique, Aunchaleena Hotel yang merupakan hotel Muslim. Seperti semalam, tidur saya sentiasa lena.