Tuesday, January 26, 2016

Matematik

Bilangan guru yang ada di sekolah-sekolah dalam PPD Kota Bharu sudah amat berlebihan. Kapasiti guru yang diperlukan di SMK Kampong Chengal ini hanya 70 orang tetapi pada hari ini, ada 77 orang. Seramai 7 orang guru yang lebih dan sedang menanti untuk dihantar ke mana-mana sekolah yang memerlukan. Bersedialah semua kerana semua pun berkemungkinan.

Apa yang saya perhatikan, bilangan guru yang paling ramai di sekolah ini ialah guru beropsyen Matematik. Entah kerana apa, opsyen saya ini sangat menjadi kegemaran sehingga guru yang bukan opsyen pun mahu mengajar Matematik. Ada yang beropsyen Prinsip Akaun, Ekonomi dan juga Sains tetapi mahu mengajar Matematik. Seronok, kata mereka.

Seronok atau mudah?

Saya akui, mata pelajaran Matematik terutama tingkatan 4 dan 5 sangat mudah silibusnya. Terlalu mudah sehingga siapa-siapa pun boleh mengajar. Bukan sahaja mengajarnya mudah, menanda kertasnya juga mudah. Sangat cepat dan pantas.

Jadi sekarang, kelebihan guru Matematik ini walaupun pada banyak ketika adalah sesuatu yang bagus kerana kami perlu mengajar tiga atau empat kelas sahaja, tetap mengundang parah apabila nanti kamilah yang bakal dihantar ke sekolah-sekolah yang lebih memerlukan!

Bersediakah?

Monday, January 25, 2016

Lagu

Kenapa ya, lagu-lagu sekarang sudah hilang rasa?

Malam tadi berlangsung acara Anugerah Juara Lagu kali ketiga puluh dan saya menontonnya. Entah mengapa tidak seperti dahulu, tiada keterujaan langsung untuk mendengar bait-bait lirik dan alunan irama sebahagian besar lagu-lagu yang bertanding itu. Hanya beberapa buah lagu sahaja yang singgah di minda dan merangsang saya mendalami lirik tertulis.

Assalamualaikum dari Faizal Tahir berjaya juga menyentak sanubari hingga mahu mengalir rasanya air mata ini. Seterusnya Hanya Namamu alunan Caliph Buskers yang mampu mengajak saya turut sama mengalunkan liriknya. Biarkanlah dari Drama Band dan Potret dari Akim turut memberi sedikit rasa dek liriknya yang menyentuh.

Selain daripada itu, saya tidak mampu memberi perhatian. Lagu Dayang Nur Faizah kedengaran terlalu lembik di telinga saya. Lagu Bunkface entah apa-apa, sama Elizabeth Tan juga. Stacy pun tidak memberi rasa. Apa lagi lagu-lagu yang lain yang saya sudah lupa!

Lagu Potret yang menang besar itu sejujurnya tidak pernah saya kenali sebelum ini tetapi saat menyaksikan Akim mendendangkannya, ada juga terdetik dalam hati, sedap juga lagu ini. Mungkin kerana belum mesra telinga maka saya tidak menjangkakan ia akan menang kategori utama kerana harapan saya adalah kepada Assalamualaikum ataupun Hanya Namamu.

(Sewaktu lagu terakhir didendangkan, saya sudah layu dimamah kantuk. Tidak mampu saya menghabiskan tontonan kerana tidur itu rasanya lebih enak. Lalu keputusannya hanya saya ketahui pagi ini lewat media sosial.)

Thursday, January 21, 2016

Ada

Saya terkebil-kebil. Mata enggan mahu pejam biar jam sudah ke angka tiga pagi. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Ada gelora yang tidak mampu saya bendung. Rasa berat, tersumbat dalam dada. Mahu meluah pada siapa?

Dalam usia yang semakin menua, saya seharusnya lebih tenang dan tabah. Saya seharusnya lebih matang dan kuat. Saya seharusnya tidak goyah dengan apa jua situasi. Saya seharusnya sudah kaya pengalaman. 

Apakan daya, ia tidak begitu.

Saya terus terkebil-kebil.

Dada membuak-buak dengan rasa pedih. Rasa ingin menangis semahunya, membuang segala kekusutan yang ada. Saya teresak-esak menahan rasa. Tuhan, aku hanya ada Engkau!

Saya melangkah. Mencari tenang di sepertiga malam. Memohon apa yang terbayang dalam fikiran. Mengharap kasih dan sayang.

Tuhan, aku hanya ada Engkau.

Hanya Engkau.

Sunday, January 17, 2016

Tiba-tiba


Memang tidak pernah tetapi kali ini saya mahu.

Kebetulan suami saya keluar bersama kawan-kawannya ke Terengganu untuk satu malam pada Jumaat, saya dia tinggalkan di rumah emak. Teringat Muiz yang mahu makan kek dan tiup lilin sewaktu ucap hari jadi saya minggu lepas, saya pun mula merancang.

Khamis itu saya membawa pulang sebiji kek Red Velvet yang ditempah khas dari kedai kek Mutribah Kok Lanas. Saya simpan elok-elok dalam peti untuk dimakan pada esok hari.

Jam 7.20 pagi saya dan suami bergerak keluar. Dia menghantar saya ke rumah emak bersama-sama kek dan tiga bungkus nasi berlauk. 

Tidak lama, Muiz dan mamanya tiba. Sufi sekeluarga sedikit lewat jadi hanya saya dan Muiz beria-ia meniup lilin dan memotong kek itu dibantu Cumah dan Cik Nik.

Tamatlah majlis hari jadi ke 44 Ummi Ti yang gilang gemilang ini.

Alhamdulillah..


Sent from Samsung Mobile

Friday, January 15, 2016

Rasanyalah

Isu terkini sehari dua ini ialah tentang mahasiswa lapar. Dan sungguh saya bersimpati pada mereka.

Saya tahu zaman sudah berubah terlalu banyak. Dua puluh empat tahun yang lalu jika dibanding dengan hari ini pastinya tidak akan pernah sama. Jika kita bercerita akan ada yang berkata, "ahh! Itu dulu!!!" Dan kita tidak akan mampu menafikannya.

Dulu, kami tiada smartphone yang perlu di top up. Dulu kami tiada laptop yang perlu disenggara. Dulu kami tiada internet yang perlu dilanggan. Wang biasiswa atau pinjaman kami hanya untuk membeli buku dan makanan. Tentulah kami tiada masalah kelaparan. Itu yang ada dalam benak fikir mereka apabila kami mahu bercerita.

Maka saya hanya mengiakan. Semuanya benar belaka. Saya tiada smartphone. Hanya public phone yang saya kunjungi beberapa kali seminggu untuk menghubungi keluarga di kampung. Itu pun, tidak pernah bergayut lama sebab yang beratur di belakang saya masih ramai.

Laptop pun tiada juga. Mahu menaip assignment saya akan berjalan kaki beramai-ramai ke makmal komputer di fakulti saya yang dibuka hingga malam. Jika hujung minggu saya akan ke pusat komputer kamsis saya yang mana saya AJK nya maka penggunaan saya percuma. Internet usah ditanya. Waktu itu kami hanya tahu istilahnya sahaja sedang praktikalnya tiada.

Wang biasiswa kami cuma RM1200 sahaja untuk satu semester yang panjangnya sekitar empat ke lima bulan. Jika dibahagi, dapatlah RM240-300 sebulan. Lumayanlah kiranya. Pun, selepas ditolak pembelian buku-buku dan keperluan lain, bakinya tidaklah seberapa.

Alhamdulillah dengan baki yang tidak seberapa itu saya tidak pernah mengikat perut. Jujurnya selama empat tahun belajar di UKM saya tidak pernah memaksa diri berlapar dek tiada wang. Tidak pernah. Sesesak mana pun saya, wang untuk makan tidak pernah saya catu.

Bila difikir dan dikenang semula saya berasa amat bersyukur berada pada zaman yang serba serbinya mencukupi. Pun jika saya bergelar mahasiswa pada masa kini saya rasa saya masih mampu mengurus diri tanpa perlu berlapar.

Rasanyalah.

Kenapa?

Kerana apalah iPhone6 jika saya boleh sahaja membeli Lenovo yang tidak sampai RM500 yang fungsi penting semua ada untuk saya berhubung dengan pensyarah dan berbincang dengan rakan.

Juga, apalah baju mahal dan kasut berjenama jika saya boleh sahaja berbaju kurung kain kapas dan berkasut Bata setiap hari.

Memang saya begitu. Sejak dulu, saya rela tidak berfesyen daripada tidak makan! Saya kenal ramai kawan yang sanggup berhabis untuk barang berjenama menggunakan duit biasiswanya tetapi bab membeli makanan sangat berjimat cermat. Asal dapat bergaya, lapar pun tidak mengapa. Maaflah, saya bukan begitu.

Rasa saya, mahasiswa yang lapar itu adalah disebabkan dia tidak seperti saya.

Rasanyalah!

Saturday, January 09, 2016

Hari Jadi

Selamat hari jadi buat diri saya sendiri.

Alhamdulillah masih saya diberi kesempatan untuk terus menghirup udara dunia pada hari ulangtahun ke-44 ini. Begitu tua saya. Usia yang sudah layak untuk bergelar nenek! Ya, mentua saya dahulu menerima menantu pada usia inilah dan setahun kemudian menyusul cucu sulungnya yang kini sudah berusia 33 tahun. Emak saya pun, pada usia 46 sudah menerima menantu tetapi hanya selepas dua tahun iaitu pada usia 48 tahun baru cucu sulungnya tiba.

Tiada apa yang saya harapkan pada usia ini. Doa saya hanya mahu kebahagiaan di dunia dan di akhirat, juga memohon keamanan dunia sejagat. Saya mohon juga untuk terus redha dengan setiap anugerah dan ujian dari Allah. Semoga saya diberi kekuatan yang lebih untuk bertarung dengan segala kemungkinan.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya pada hari ini. Sungguh saya amat menghargainya. Terima kasih suami atas hadian yang berharga. Saya berjanji untuk tidak akan melucutkannya sampai bila-bila dari leher tua saya ini.

Seiring peningkatan usia yang memberi tanda baki hidup yang semakin singkat, saya mahu memelihara diri daripada segala kejahatan. Semoga Allah memudahkan segalanya.

Amin.

Tuesday, January 05, 2016

Corot

Sudah tiga kali saya masuk ke kelas itu sejak Ahad lalu. Wajah-wajah 22 orang pelajar itu ada pelbagai warna yang berbeza. Dari yang putih bersih penuh santun hingga kepada yang kelam kelabu bergelut dalam dunianya sendiri.

Mereka pelajar kelas tercorot. Memang ada perasaan sedikit tidak gembira dalam diri saya apabila diberi tugas mengajar mereka tetapi saya cepat-cepat padamkan perasaan itu dan menggantikannya dengan kobaran semangat mahu memberi yang terbaik selagi mereka mahu menerima saya sebagai guru mereka. 

Begitulah. Saya guru dan saya kasih pada semua anak didik saya biar apa pun keupayaan mereka asalkan mereka faham apa itu hormat dan hargai ilmu.

Tersentuh juga saya apabila ada yang bertanya, "cikgu, bolehkah kami ini masuk universiti?"

Saya tahu mereka mahu cuma mungkin tiada motivasi.

"Jangan risau. Kamu semua ada peluang untuk masuk universiti walaupun berada dalam kelas terakhir selagi kamu rajin dan kekal berusaha. Pastikan kamu dapat keputusan yang baik dalam SPM dan boleh masuk tingkatan 6. Semuanya terserah pada kamu. Kami guru akan membantu sedaya upaya. Walaupun kamu kelas yang lemah tetapi kami tetap akan mengajar dengan baik. Percayalah."

Mereka mengangguk faham. Sebak saya melihat air wajah mereka. Rasa bersalah pun ya.

Sesetengah ibu bapa sedikit cuak apabila mendapat tahu anak mereka berada dalam kelas tercorot. Sangka mereka guru-guru tidak begitu peduli dengan pencapaian pelajar kelas ini dan mengajar pun sedikit-sedikit sahaja. Lalu ada yang datang ke sekolah bertemu pentadbir untuk meminta anak mereka dipindahkan ke kelas yang lebih baik walaupun pencapaian tidak seberapa.

Di sini masyarakat sudah keliru. Entah siapa yang memberi gambaran salah seperti ini.

Kami tidak pernah meminggirkan pelajar-pelajar ini. Peluang mereka tetap sama dengan pelajar-pelajar kelas lain selagi mereka mahu. Bukan guru yang menentukan masa depan mereka tetapi mereka sendiri. Jika semangat dan keazaman mereka tinggi tiada sebab mereka tercicir walaupun belajar di kelas tercorot.

Saya ada buktinya. 

Sent from Samsung Mobile

Saturday, January 02, 2016

Jamuan Kecil 2

Pagi 1 Januari 2016.

Pantasnya masa berlari. Tidak terkejar dan memang saya tidak akan mengejarnya. Saya hanya akan meniti setiap garis masa yang melintang di hadapan saya bersama kecekalan di hati dan doa tanpa henti.

Pagi ini, mentari masih tersenyum memancar cahayanya.

Saya dan suami menyusuri jalan menuju ke Beta Hilir, ke rumah adinda Aziah untuk bersarapan di sana. Nasi kerabu ayam bakarnya sangat menjadi. Terima kasih sudi menghulur jemputan begini. Meski hasrat utama untuk merai pengantin baru Ismah dan Ridhwan, kami tetap bahagia menumpang sekaki. Sekali lagi, terima kasih. 

Seterusnya saya dan suami keluar pula mencari bahan untuk jamuan petang nanti. Cuma mi goreng menunya, tetapi tetap memerlukan banyak persediaan.

Jam 5 petang segalanya tersedia di meja makan kecil di ruang tamu rumah kami. Sedikit mi goreng, kek dan keropok ditemani limau dan air sunquick, saya bersedia menerima tetamu.

Alhamdulillah semua yang saya jemput dapat hadir dan merasa air tangan saya yang tidak seberapa. Emak turut membawa sebekas besar bubur jagung yang lazat. Adinda Husna pula membeli sedikit kuih muih menyeri hidangan.

Terima kasih semuanya. In shaa Allah nanti ada ruang kita berkumpul lagi begini.


Sent from Samsung Mobile

Anniversary


Lapan belas tahun.
Alhamdulillah. 

Sent from Samsung Mobile