Monday, January 25, 2016

Lagu

Kenapa ya, lagu-lagu sekarang sudah hilang rasa?

Malam tadi berlangsung acara Anugerah Juara Lagu kali ketiga puluh dan saya menontonnya. Entah mengapa tidak seperti dahulu, tiada keterujaan langsung untuk mendengar bait-bait lirik dan alunan irama sebahagian besar lagu-lagu yang bertanding itu. Hanya beberapa buah lagu sahaja yang singgah di minda dan merangsang saya mendalami lirik tertulis.

Assalamualaikum dari Faizal Tahir berjaya juga menyentak sanubari hingga mahu mengalir rasanya air mata ini. Seterusnya Hanya Namamu alunan Caliph Buskers yang mampu mengajak saya turut sama mengalunkan liriknya. Biarkanlah dari Drama Band dan Potret dari Akim turut memberi sedikit rasa dek liriknya yang menyentuh.

Selain daripada itu, saya tidak mampu memberi perhatian. Lagu Dayang Nur Faizah kedengaran terlalu lembik di telinga saya. Lagu Bunkface entah apa-apa, sama Elizabeth Tan juga. Stacy pun tidak memberi rasa. Apa lagi lagu-lagu yang lain yang saya sudah lupa!

Lagu Potret yang menang besar itu sejujurnya tidak pernah saya kenali sebelum ini tetapi saat menyaksikan Akim mendendangkannya, ada juga terdetik dalam hati, sedap juga lagu ini. Mungkin kerana belum mesra telinga maka saya tidak menjangkakan ia akan menang kategori utama kerana harapan saya adalah kepada Assalamualaikum ataupun Hanya Namamu.

(Sewaktu lagu terakhir didendangkan, saya sudah layu dimamah kantuk. Tidak mampu saya menghabiskan tontonan kerana tidur itu rasanya lebih enak. Lalu keputusannya hanya saya ketahui pagi ini lewat media sosial.)

No comments:

Post a Comment