Sudah tiga kali saya masuk ke kelas itu sejak Ahad lalu. Wajah-wajah 22 orang pelajar itu ada pelbagai warna yang berbeza. Dari yang putih bersih penuh santun hingga kepada yang kelam kelabu bergelut dalam dunianya sendiri.
Mereka pelajar kelas tercorot. Memang ada perasaan sedikit tidak gembira dalam diri saya apabila diberi tugas mengajar mereka tetapi saya cepat-cepat padamkan perasaan itu dan menggantikannya dengan kobaran semangat mahu memberi yang terbaik selagi mereka mahu menerima saya sebagai guru mereka.
Begitulah. Saya guru dan saya kasih pada semua anak didik saya biar apa pun keupayaan mereka asalkan mereka faham apa itu hormat dan hargai ilmu.
Tersentuh juga saya apabila ada yang bertanya, "cikgu, bolehkah kami ini masuk universiti?"
Saya tahu mereka mahu cuma mungkin tiada motivasi.
"Jangan risau. Kamu semua ada peluang untuk masuk universiti walaupun berada dalam kelas terakhir selagi kamu rajin dan kekal berusaha. Pastikan kamu dapat keputusan yang baik dalam SPM dan boleh masuk tingkatan 6. Semuanya terserah pada kamu. Kami guru akan membantu sedaya upaya. Walaupun kamu kelas yang lemah tetapi kami tetap akan mengajar dengan baik. Percayalah."
Mereka mengangguk faham. Sebak saya melihat air wajah mereka. Rasa bersalah pun ya.
Sesetengah ibu bapa sedikit cuak apabila mendapat tahu anak mereka berada dalam kelas tercorot. Sangka mereka guru-guru tidak begitu peduli dengan pencapaian pelajar kelas ini dan mengajar pun sedikit-sedikit sahaja. Lalu ada yang datang ke sekolah bertemu pentadbir untuk meminta anak mereka dipindahkan ke kelas yang lebih baik walaupun pencapaian tidak seberapa.
Di sini masyarakat sudah keliru. Entah siapa yang memberi gambaran salah seperti ini.
Kami tidak pernah meminggirkan pelajar-pelajar ini. Peluang mereka tetap sama dengan pelajar-pelajar kelas lain selagi mereka mahu. Bukan guru yang menentukan masa depan mereka tetapi mereka sendiri. Jika semangat dan keazaman mereka tinggi tiada sebab mereka tercicir walaupun belajar di kelas tercorot.
Saya ada buktinya.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment