Tuesday, January 26, 2016

Matematik

Bilangan guru yang ada di sekolah-sekolah dalam PPD Kota Bharu sudah amat berlebihan. Kapasiti guru yang diperlukan di SMK Kampong Chengal ini hanya 70 orang tetapi pada hari ini, ada 77 orang. Seramai 7 orang guru yang lebih dan sedang menanti untuk dihantar ke mana-mana sekolah yang memerlukan. Bersedialah semua kerana semua pun berkemungkinan.

Apa yang saya perhatikan, bilangan guru yang paling ramai di sekolah ini ialah guru beropsyen Matematik. Entah kerana apa, opsyen saya ini sangat menjadi kegemaran sehingga guru yang bukan opsyen pun mahu mengajar Matematik. Ada yang beropsyen Prinsip Akaun, Ekonomi dan juga Sains tetapi mahu mengajar Matematik. Seronok, kata mereka.

Seronok atau mudah?

Saya akui, mata pelajaran Matematik terutama tingkatan 4 dan 5 sangat mudah silibusnya. Terlalu mudah sehingga siapa-siapa pun boleh mengajar. Bukan sahaja mengajarnya mudah, menanda kertasnya juga mudah. Sangat cepat dan pantas.

Jadi sekarang, kelebihan guru Matematik ini walaupun pada banyak ketika adalah sesuatu yang bagus kerana kami perlu mengajar tiga atau empat kelas sahaja, tetap mengundang parah apabila nanti kamilah yang bakal dihantar ke sekolah-sekolah yang lebih memerlukan!

Bersediakah?

No comments:

Post a Comment