Tuesday, February 02, 2016

Lawatan

Ini kali pertama saya mengikut rombongan SMK Kampong Chengal. Sebelum ini saya tiada kesempatan juga peluang.

Apabila mereka memberitahu rombongan lawatan sehari ke negeri Terengganu akan diadakan, saya tidak teragak-agak memberi nama. Saya mahu juga bersama-sama mereka meneroka keindahan alam Terengganu walaupun sehari cuma. Suami saya pula tidak pernah mahu menyekat keinginan isterinya yang sebegini walaupun baru bulan lepas saya ke sana dengannya.

30 Januari 2016, hari Sabtu.

Jam 8.30 pagi bas kami bergerak. Sejam kemudian kami tiba di Restoran Nasi Dagang Jerteh dan saya yang memang belum bersarapan begitu teruja untuk menjamu selera di situ. Sepinggan nasi dagang Terengganu berlaukkan ikan tongkol gulai dan telur rebus menjadi santapan pertama saya hari ini. Memang lapar benar rasanya kerana pada hari-hari biasa, sarapan saya sentiasa sebelum jam lapan.

Bas kami meneruskan perjalanan dan tiba di Desa Murni Batik Batu 6 pada sekitar jam 11.45 pagi. Kami mengambil masa sejam berlegar-legar di situ tetapi hati dan jiwa saya tidak terpikat langsung untuk membeli batiknya yang tidak memenuhi piawaian saya dalam segala segi. Corak, kain, dan harga semuanya tidak logik. Saya hanya menyusur pasar Batu 6 untuk sedikit keropok keping.

Seterusnya bas kami meluncur laju ke bandar Kuala Terengganu dan destinasi seterusnya tentulah tempat kegemaran saya, Pasar Besar Kedai Payang. Di sini barulah selera saya terbuka untuk berbelanja. Tiga pasang batik cotton, dua helai kaftan dan tujuh helai kain batik sarung menjadi milik saya diiringi dua puluh bungkus keropok keping yang akan saya agih-agihkan sebagai souvenir kepada sanak saudara nanti.

Jam 3.15 petang kami menuju ke Masjid Kristal untuk bersolat sebelum meneruskan perjalanan ke Warung Pok Nong di Batu Rakit yang tersohor itu.

Jam 4.55 petang kami tiba di Warung Pok Nong untuk menikmati sotong, udang dan ikan celup tepung. Manusia sungguh amat ramai rupanya di kedai ini. Mujurlah makanan kami sudah ditempah awal jadi tidak perlulah kami beratur sebagaimana mereka semua itu.

Jam 6.00 petang kami bertolak pulang ke Kota Bharu, dan singgah sebentar di kedai keropok lekor untuk mengambil tempahan sebelum berhenti bersolat di Masjid Padang Pak Amat. 

Alhamdulillah, kami selamat tiba di SMK Kampong Chengal pada jam 9.00 malam.

No comments:

Post a Comment