Sunday, February 21, 2016

Cerap

Mereka datang lagi, dan tidak pernah mahu berhenti.

Sebagai guru, inilah perkara yang paling saya tidak senangi. Saya mahu mengakuinya dengan penuh jujur dan ikhlas, dicerap adalah satu gangguan yang amat besar dalam tugas saya.

Saya guru yang sudah melalui banyak tapisan. Bermula sebagai pelatih di maktab perguruan - di mana saya sudah mendalami banyak ilmu pedagogi dan psikologi - saya juga sudah ditemuduga dan diberi pelbagai kursus. Bukan mahu mengatakan ilmu saya sudah cukup tetapi bukan ini caranya mengukur prestasi seseorang guru dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Apabila saya ke kelas, saya sudah tahu potensi murid saya bagaimana. Objektif saya ialah memberi ruang kepada murid saya belajar dan berfikir, bukan sekadar menerima segalanya membuta tuli. Saya tidak suka masa PdP saya diganggu kerana cara saya tidak semestinya sama dengan cara orang lain. Kadang-kadang saya membiarkan murid saya meneroka sendiri dan mencari penyelesaian sesama mereka sebelum saya memberi kata putusnya. Mungkin mereka akan bergerak ke sana ke mari, dan saya pula hanya duduk di bangku tetapi itu bukan bermakna saya tidak mengajar.

Saya bukan guru yang suka menyuap. Saya mahu murid saya tahu apa itu penyelesaian masalah kerana kemahiran itu sangat penting dalam meneruskan hidup, bukan hanya dalam ilmu Matematik. Suapan tidak akan berguna apa-apa untuk mereka. Suapan akan menjadikan mereka lebih jumud dan enggan berusaha.

Malangnya itulah praktikaliti yang dibuat kebanyakan guru kini. Bukan mahu menyalahkan guru, kerana mereka terikat dan tertekan dengan pelbagai agenda. Mereka tiada pilihan selain memastikan peratus lulus dan gred purata sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Lalu, by hook or by crook mereka memberi apa yang mampu.

Dan mereka datang untuk mencerap adakah kaedah PdP kami memenuhi piawaian abad 21 yang mereka laungkan itu?

Bagai tiada titik pertemuannya......

No comments:

Post a Comment