Sudah berminggu-minggu saya tidak tenang memikirkan program ini.
Seperti biasa SMK Kadok tempat suami saya mengajar jarang gagal untuk mengendalikan program Hari Keluarga sekolah mereka. Untuk kali ini mereka memilih tarikh 26 dan 27 Februari di Raja Dagang Resort, Cherang Ruku.
Dan seperti biasa, saya kekok benar dengan acara sebegini. Berminggu-minggu saya tidak tenang memikirkan bagaimana saya mahu melaluinya nanti. (Pada hal guru-guru SMK Kadok sangatlah mesra dan baik hati semuanya!)
Kenyataannya saya memang begitu. Hilang arah dan pedoman apabila berada dalam khalayak yang saya kurang kenal. Mahu bersembang pun rasa takut-takut.
Jam 6.20 petang semalam, dalam tenang yang dibuat-buat, saya akur mengikut suami saya ke sini. Hukan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami yang memakan masa 45 minit itu.
Hampir maghrib baru kami tiba.
Malam ini acara barbecue dan sedikit ucapan perpisahan buat Ustazah Najah yang bakal bersara Isnin nanti.
Saya tenangkan hati berjalan mengekori suami saya ke tempat majlis berlangsung. Setiba di situ, suami saya meminta saya menyertai guru-guru perempuan yang lain dan dia mula melangkah ke tempat guru-guru lelaki berkumpul.
Saya tenangkan hati.
Cikgu Faizah saya hampiri. Dia antara yang biasa saya mesrai dan dia menyambut salam saya dengan senyuman manis. Saya dipersila untuk mengambil makanan.
Sejurus kemudian cikgu Wahidah menyapa dan duduk makan di sebelah saya. Dia sangat peramah dan saya amat menyenanginya.
Lalu saya berfikir, kenapalah saya sentiasa tidak tenang dalam seminggu dua ini apabila memikirkan hari keluarga ini pada hal mereka melayan saya sebegitu mesra?
Saya bukan khuatirkan layanan atau penerimaan mereka sebenarnya. Saya khuatirkan diri saya yang tidak tahu membawa diri.
Seperti pagi ini.
Suami saya meminta saya ke tempat sarapan sendirian kerana dia ada urusan lain. Saya mula berasa kekok.
Semua guru lain mengambil makanan dan duduk semeja satu keluarga. Saya? Mahu ke meja mana?
Sepiring bihun dan secawan teh saya letakkan di meja hujung tetapi saya segan untuk makan sendirian. Saya berjalan-jalan sambil mata melilau mencari kelibat mana-mana guru yang saya kenali untuk diajak makan sekali. Tiada. Mereka semua ada keluarga.
Tiba-tiba suami saya muncul dan bertanya saya sudah ambil makanankah? Jawab saya sudah, tetapi tiada teman untuk makan bersama. Dia lantas mengambil makanan untuknya dan mengajak saya makan bersama-samanya di meja pentadbir yang ada Pengetua dan semua PK.
Usai makan, saya pulang ke bilik. Di bilik yang sunyi ini baru hati saya tenang. Saya memberitahu suami, saya tidak mahu menonton sukaneka dan saya hanya mahu berada di bilik sampai tamat acara. Dia membenarkan tanpa banyak bicara.
Sekarang mereka sedang bergembira dengan acara sukaneka itu dan saya berbahagia melayan diri sendiri di bilik ini.
Sent from Samsung Mobile
Ku selami rasa itu, memang tak sedap berada di tengah khalayak.
ReplyDeleteBenar sungguh.
Haha.. kita serupa! Faktor genetik memainkan peranan di sini....
Delete