Sunday, February 14, 2016

Kecemasan

Sepulang dari percutian selama dua hari yang kami lalui di Jerantut dan Temerloh, tiba-tiba suami saya diserang kesakitan. Kesakitan yang sama seperti yang dialaminya pada April tahun lepas. Hari Rabu itu, segalanya bermula seperti biasa sehinggalah menjelang jam 2.30 tengah hari apabila suami saya mengadu perutnya sakit. Saya seperti biasa, terkedu dan buntu. Mahu diurut, tidak menjadi. Apa yang saya mampu hanyalah mencadangkan pil penahan sakit Diclofenac yang tersedia ada di rumah kami.

Selepas dia menelan pil itu, kesakitannya berkurang sedikit walaupun tidak sepenuhnya. Kebetulan pada jam 4 petang sahabatnya Cikgu Ayub sekeluarga menelefon mahu singgah sebentar di rumah kami. Sempatlah kami melayan kehadiran mereka dan mujur ketika ini kesakitan suami saya tidak sekuat mana.

Jam 5.30 petang mereka pulang.

Menjelang tengah malam, suami saya sakit semula. Saya mencadangkan untuk ke klinik kecemasan HKB dan dia menurut sahaja. Mulanya saya mahu meminta bantuan anak saudara kami untuk membawa kami ke sana tetapi katanya dia masih boleh memandu sendiri. Kasihan, hati saya sebak melihat keadaan dia.

Jam 12.15 tengah malam kami bergerak. Di klinik kecemasan manusia sangat ramai dan hanya pada jam 2.05 pagi barulah nombor suami saya dipanggil. Doktor yang merawat mengesyaki suami saya menghidap penyakit batu karang. Sama seperti tahun lepas, penyakit batu karang jugalah yang doktor suspek. Suami saya disuntik dan dibekalkan beberapa jenis ubat termasuk ubat gastrik dan ubat darah tinggi.

Selepas mengambil ubat, kami pulang dan tiba di rumah hampir jam 3.30 pagi.

Keesokannya, Alhamdulillah kesakitan suami saya semakin berkurangan dan menjelang tengah hari, dia memberitahu ada batu kecil yang keluar bersama air kencingnya. Saya berdoa agar dengan keluarnya batu itu maka sembuhlah sakitnya dengan izin Allah jua.

Semalam, Sabtu, kami ke klinik Al- Farhain di Kok Lanas untuk melakukan imbasan tetapi kata doktor tidak perlu kerana penyakit suami saya masih di peringkat awal. Dia hanya memberikan ubat Urinex untuk memecahkan batu jika masih ada dan ubat lawas kencing.

Ya Allah, berilah kesembuhan untuk suamiku.

Amin.

No comments:

Post a Comment