Friday, January 15, 2016

Rasanyalah

Isu terkini sehari dua ini ialah tentang mahasiswa lapar. Dan sungguh saya bersimpati pada mereka.

Saya tahu zaman sudah berubah terlalu banyak. Dua puluh empat tahun yang lalu jika dibanding dengan hari ini pastinya tidak akan pernah sama. Jika kita bercerita akan ada yang berkata, "ahh! Itu dulu!!!" Dan kita tidak akan mampu menafikannya.

Dulu, kami tiada smartphone yang perlu di top up. Dulu kami tiada laptop yang perlu disenggara. Dulu kami tiada internet yang perlu dilanggan. Wang biasiswa atau pinjaman kami hanya untuk membeli buku dan makanan. Tentulah kami tiada masalah kelaparan. Itu yang ada dalam benak fikir mereka apabila kami mahu bercerita.

Maka saya hanya mengiakan. Semuanya benar belaka. Saya tiada smartphone. Hanya public phone yang saya kunjungi beberapa kali seminggu untuk menghubungi keluarga di kampung. Itu pun, tidak pernah bergayut lama sebab yang beratur di belakang saya masih ramai.

Laptop pun tiada juga. Mahu menaip assignment saya akan berjalan kaki beramai-ramai ke makmal komputer di fakulti saya yang dibuka hingga malam. Jika hujung minggu saya akan ke pusat komputer kamsis saya yang mana saya AJK nya maka penggunaan saya percuma. Internet usah ditanya. Waktu itu kami hanya tahu istilahnya sahaja sedang praktikalnya tiada.

Wang biasiswa kami cuma RM1200 sahaja untuk satu semester yang panjangnya sekitar empat ke lima bulan. Jika dibahagi, dapatlah RM240-300 sebulan. Lumayanlah kiranya. Pun, selepas ditolak pembelian buku-buku dan keperluan lain, bakinya tidaklah seberapa.

Alhamdulillah dengan baki yang tidak seberapa itu saya tidak pernah mengikat perut. Jujurnya selama empat tahun belajar di UKM saya tidak pernah memaksa diri berlapar dek tiada wang. Tidak pernah. Sesesak mana pun saya, wang untuk makan tidak pernah saya catu.

Bila difikir dan dikenang semula saya berasa amat bersyukur berada pada zaman yang serba serbinya mencukupi. Pun jika saya bergelar mahasiswa pada masa kini saya rasa saya masih mampu mengurus diri tanpa perlu berlapar.

Rasanyalah.

Kenapa?

Kerana apalah iPhone6 jika saya boleh sahaja membeli Lenovo yang tidak sampai RM500 yang fungsi penting semua ada untuk saya berhubung dengan pensyarah dan berbincang dengan rakan.

Juga, apalah baju mahal dan kasut berjenama jika saya boleh sahaja berbaju kurung kain kapas dan berkasut Bata setiap hari.

Memang saya begitu. Sejak dulu, saya rela tidak berfesyen daripada tidak makan! Saya kenal ramai kawan yang sanggup berhabis untuk barang berjenama menggunakan duit biasiswanya tetapi bab membeli makanan sangat berjimat cermat. Asal dapat bergaya, lapar pun tidak mengapa. Maaflah, saya bukan begitu.

Rasa saya, mahasiswa yang lapar itu adalah disebabkan dia tidak seperti saya.

Rasanyalah!

No comments:

Post a Comment