Hujan turun renyai-renyai malam ini, menemani saya yang sedang bersendiri. Suami saya sejak Maghrib sudah keluar, berjemaah di masjid dan bersama-sama teman sekerjanya menjamu selera di kedai untuk menikmati sup burung merpati kegemaran mereka. Tentunya dia akan pulang lewat, melebihi jam sepuluh malam. Selalunya begitu.
Saya yang bersendirian begini, sangat-sangat menikmati suasana ini. Tiada sunyi di hati, tetapi bahagia meliputi. Usai Maghrib, saya mengaji, saya menggosok, saya menonton Youtube, saya bermain game di telefon, juga melayari Facebook dan apa-apa sahaja yang ada di internet. Lalu di mana waktu untuk saya berasa sepi? Tiada.
Usai Isyak, saya membuka komputer riba ini pula. Melayan rasa membaca kisah-kisah lama di blog sendiri sememangnya menyeronokkan. Rasa yang tidak mampu saya huraikan.
Ah! Tuhan jua yang tahu nikmat kebersendirian ini.
Sempat saya menikmati alunan lagu-lagu lama yang pernah menjadi halwa telinga semasa saya di universiti dulu. Banyak sekali lagu-lagu itu di Youtube. Seronok saya mengembalikan kenangan.
Rahsia di Sebalik Rahsia - Kasawari
Ada rahsia sebalik rahsia
ketika bahagia kembara
mengarang detik waktu dan persamaan
di kala aku pasrah kepadamu
Aku penghuni di ambang sepi
ingin mencurah isi hati
engkau kekasih sudilah menerima
harga budiman sedikit nilainya
Cinta kita bukan hanya kerana paras dan rupa
kerana rahsia sebalik rahsia
dari mata kau jelma di hati tak pernah hilang
asyik mengingatimu siang bertemu siang
malam berteman fajar seiringan
Setiap lembaran itu kutatap berulang kali
untuk mengenalimu sepenuh hati
setelah lama kutunggu dan kini di hadapanku
ternyata bukan suatu igauan mata
Segala warna cinta dulu kau jadikan bekalan
untuk hidup berdua haruslah setia
kau undangkan bahagia dan aku tidur lena
moga masyhur asmara cinta kita
Ini lagu sewaktu saya di tahun akhir UKM. Setiap hari saya mendengarnya di corong radio Panasonic milik saya yang saya beli menggunakan duit praktikal di Telekom. Harganya cuma RM85.00. Saya memang tidak lekang dengan radio itu, kerana tempat duduknya ialah di atas katil saya.
Seronok bukan kepalang saya sewaktu mendapat duit praktikal sebanyak RM1400. Banyak barang saya beli untuk kegunaan peribadi. Selain radio, saya beli seterika dan cerek elektrik. Kebetulan pada tahun akhir itu saya menginap di rumah kelamin, jadi molek benarlah barang-barang begitu saya miliki.
Rindu pula waktu-waktu itu...
No comments:
Post a Comment