Monday, March 30, 2020

Cinta Sejati

Mana kala hati menggeliat
mengusik renungan 
mengulang kenangan 
saat cinta menemui cinta 

Suara sang malam dan siang 
seakan berlagu
dapat aku dengar rindumu 
memanggil namaku 

Saat aku tak lagi di sisimu 
kutunggu kau di keabadian  

Aku tak pernah pergi
selalu ada di hatimu 
Kau tak pernah jauh
selalu ada di dalam hatiku

Sukmaku berteriak 
menegaskan kucinta padamu  
terima kasih pada 
Maha Cinta menyatukan kita 

Saat aku tak lagi di sisimu 
Kutunggu kau di keabadian  

Cinta kita melukiskan sejarah
menggelarkan cerita penuh sukacita
sehingga siapa pun insan Tuhan 
pasti tahu 
cinta kita sejati   

Lembah yang berwarna 
membentuk melekuk memeluk kita 
dua jiwa yang melebur jadi satu 
dalam kesucian cinta

Saturday, March 28, 2020

Makan

Sudah sebelas hari kami berkurung, dan selama sebelas hari ini kami makan apa yang dimasak di rumah, tidak lagi keluar membeli. Kami sangat patuh arahan.

Jujur, saya penat sangat memasak. Sehari berkali-kali saya masuk dapur. Bermula dengan sarapan, kemudian minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan akhir sekali makan malam.

Lima kali?

Ya, kerana suami saya ada gastrik, jadi dia perlu makan kerap. 

Kadang-kadang saya buntu memikirkan apa yang perlu disediakan. Apabila masakan saya dipuji, saya rasa puas hati tetapi apabila dikomen itu ini, rasa down sangat. Pada hal komen itu kalau diambil positif tentu boleh meningkatkan rasa masakan saya. Tetapi entahlah, sekali saya memasak tidak menjadi maksudnya tiadalah percubaan kali kedua bagi saya. Teruk!

Memasak ini penat. Kena pula saya ini tak pernah minat memasak tetapi terpaksa melakukannya. Ada waktu menjadi, ada waktu ke laut. Dan saya tidak pernah mahu upgrade kebolehan saya dalam memasak. Sepertinya ia tidak berbaloi. Masakan orang lain jauh lebih sedap daripada masakan saya dan ia boleh didapati di mana-mana (sebelum pkp ini) jadi apa perlunya saya belajar memasak dengan tekun? Teringin sahaja boleh terus cari di kedai. Kan?

Tetapi itulah. Sebagai perempuan, saya tidak boleh mengelak daripada melakukan kerja yang satu ini dan Alhamdulillah sepanjang sebelas hari ini saya masih normal. Tidaklah berasa sangat tertekan dan masih mampu mengawal keadaan kerana saya masih seorang wanita yang waras.

Sehari dua ini saya sibuk dengan menganalisis markah peperiksaan Mac. Saya meminta guru-guru sekolah saya menghantar markah kepada saya dan saya dengan penuh rela mengisi markah itu ke dalam tapak analisis yang saya bina tanpa bantuan sesiapa. Tahukah anda tugas ini lebih membahagiakan daripada memasak?

Saya teruja melihat apa yang terhasil pada skrin laptop saya itu, hanya dengan memasukkan markah segala analisis terhasil sendiri. Saya rasa seronok dapat membina perisian sebegitu kerana itu saya tidak sabar mahu mengisinya. Setiap hari saya cuba meningkatkan (upgrade) perisian saya itu supaya lebih canggih dan bermutu. Saya bangga kerana di luar sana berapa kerat sangatlah cikgu-cikgu yang boleh mencipta perisian seperti saya itu. Malah cikgu sekolah lain pun meminta perisian itu dari saya dan saya memberikannya percuma sahaja.

Mengadap analisis itu berjam-jam pun tidak mengapa, tetapi memasak setengah jam pun sudah bosan. Lagi pun, di luar sana sudah terlalu ramai yang pandai memasak, tidak perlulah saya menyaingi mereka!

Friday, March 27, 2020

Salam Rindu Untuk Ayah

Hari ini genap dua puluh tahun ayah pergi tinggalkan Yati, sungguh ia tempoh yang lama tetapi pada Yati ia seperti baru semalam berlaku.

Masih jelas segalanya ayah. Hari Ahad 26 Mac 2000 itu, sehabis sekolah Yati tidak pulang ke rumah sewa kami di Kuala Krai tetapi terus menuju ke rumah di Batu 8 untuk bertemu ayah. Kesihatan ayah yang merosot sejak beberapa minggu ini menyebabkan Yati tidak sampai hati berjauhan dari ayah. Setiba di rumah, ke sisi ayahlah yang pertama Yati tuju.

Wajah ayah suram benar, tetapi Yati tak pernah jemu untuk menatap juga mengusap, walaupun ayah hanya memejamkan mata. 

Malam itu ayah kesakitan yang terlalu, dan Isnin 27 Mac esoknya Yati dan suami mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah kerana mahu bersama ayah. Di sisi ayah yang sudah tidak sedar, Yati berdoa, Yati mengaji, dan Yati berada di situ sehinggalah ayah menghembuskan nafas ayah yang terakhir.

Allahuakbar!

Seperti hilang separuh jiwa menerima kenyataan ini. Pedih, pilu dan sakit sekali, tetapi Yati reda. Ayah pergi dengan sungguh tenang, sungguh mudah. Segala urusan Allah permudahkan, jam 1.15 petang ayah tiada, jam 5.00 petang sudah dibawa ke pusara. Begitu Allah tidak sabar mahu bertemu ayah yang mulia.

Saat azan Subuh berkumandang pada pagi keesokan hari, Yati menangis sepuas hati kerana Yati sudah ketiadaan ayah tetapi hati Yati masih tidak mampu mempercayainya.

Masa berlalu, dalam tidak sedar sudah dua puluh tahun ayah pergi. Dalam dua puluh tahun ini ayah, kami anak-anak ayah sentiasa kuat dan cekal menempuh hidup kerana dalam darah kami mengalir darah ayah yang penuh dengan semangat, jua ketabahan dan keyakinan.

Alhamdulillah, emak masih sihat dan sentiasa ada di sisi kami adik beradik dan menjadi perangsang untuk kami terus berjuang dalam dunia yang semakin membingungkan.

Semoga ayah tenang di sana. Kami akan menyusul nanti, dan in shaa Allah kita akan sama-sama berkumpul di syurga.

Sunday, March 22, 2020

Sedih

Tersentuh perasaan saya pagi ini menerima perkhabaran pulangnnya rakan saya, Dr. Usman Sani Saidin ke pangkuan Rabb akibat Covid19.

Ya Allah, sungguh ia mengoyakkan hati dan perasaan kerana kehilangan seorang yang kita kenali dan pernah bersama-sama menimba ilmu di Matrikulasi UKM dahulu.

Selama dua tahun kami sekelas, saya masih boleh nampak dengan jelas wajahnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman. Dia begitu baik, sangat mesra dan tidak pernah marah-marah.

Tamat matrikulasi kami sama-sama terpilih ke Fakulti Sains Matematik dan Komputer, tetapi hanya sebulan sahaja arwah belajar di Fakulti ini kerana minat mendalam arwah untuk menjadi doktor menyebabkan arwah menerima tawaran kursus Perubatan di India (yang mana saya juga ditawarkan tetapi saya menolak kerana minat mendalam saya kepada Matematik).

Pada usia 48 tahun, Allah memanggilnya pulang ke sisi asbab Covid19 dan saya yakin arwah sedang tenang dan bahagia di sana. Mengenang arwah, hanya yang baik-baik sahaja tertera di bayangan, kerana sememangnya arwah terlalu baik dan dikasihi ramai.

Semoga keluarga arwah tenang dan tabah menghadapi kehilangan ini.

Friday, March 20, 2020

Berkurung

Sudah hari ketiga hari ini. Dua hari pertama saya benar-benar berkurung. Keluar ke laman pun tidak. Masuk dapur untuk memasak lima kali sehari, itu tidak seronok. Tetapi tidak keluar rumah dan berkurung di rumah begini saya tiada masalah. Saya suka. Saya tenang. Sungguh!

Hari ini terpaksa juga kami keluar sebentar untuk top up barang dapur. Jam 9.00 pagi kami ke kedai lauk di Berangan dan masuk menziarah mek dan ma di rumah mereka sebentar, terus kami balik rumah.

Berdiam diri di rumah begini sangat menenangkan. Benar memasak itu tidak seronok tetapi saya tidaklah memasak beria, buat ringkas-ringkas saja. Walaupun suami saya jenis makan lima kali sehari, setakat tiga hari pertama ini saya okay lagi. Harap-harap begitulah juga untuk sebelas hari yang masih berbaki.

Doa saya tetap mengiringi hari-hari yang dilalui agar serangan virus COVID-19 ini akan berakhir jua nanti.

Wednesday, March 18, 2020

Degil

Menjadi manusia, jika tidak boleh menyenangkan orang lain sekurang-kurangnya janganlah menyusahkan. Cukuplah segala keresahan yang ada sekarang yang berkait dengan wabak yang menakutkan ini, yang begitu cepat menular tanpa simpati. Usah ditambah dengan resah menangani kedegilan manusia yang tiada batasnya.

Rakyat Malaysia memang terkenal sangat suka balik kampung. Pantang ada ruang sedikit pastilah mereka mahu pulang bertemu keluarga di kampung. Jika bukan musim wabak, ia amat terpuji. Pun pada waktu sebegini fikir-fikirlah sedikit. Tingkatkan EQ, dan carilah rasional. 14 hari sahaja kita diminta untuk berada di tempat kita sekarang, selepas itu in shaa Allah semuanya akan kembali normal. Susahkah untuk berkorban sebentar? Demi kesejahteraan rakyat Malaysia juga, iaitu keluarga dan sahabat-sahabat kita.

Juga kepada yang terlibat dengan perhimpunan yang ada risiko wabak ini, buatlah saringan. Usah terlalu yakin yang kita tidak dijangkiti. Ada saja kes yang pesakit yang tiada langsung simptom tetapi apabila diuji ternyata positif. Langkah yang diambil, kuarantin. Bukankah itu sebaiknya daripada terus yakin tanpa bukti?

Saya sendiri pun curiga pada kesihatan diri. Bersalam dan mencium bayi atau anak kecil seboleh mungkin saya elakkan. Saya takut jika saya turut memiliki virus tetapi tidak sedar. Manalah saya tahu sewaktu saya di kedai, saya memegang barang yang telah disentuh oleh pembawa? Walaupun setiap kali pulang dari mana-mana pun saya akan mencuci tangan, saya masih berjaga-jaga.

Tolonglah. Kita boleh hentikan wabak ini daripada terus menular jika kita patuh pada arahan pencegahan. Janganlah terlalu pentingkan diri sendiri pada waktu sekalut ini.

Dan saya tidak akan pernah berhenti berdoa. Kepada Allah saya semai segala pengharapan dan keyakinan. 

Tuesday, March 17, 2020

Makcik

Makcik.

Panggilan mesra ini sudah saya terima sejak 22 tahun yang lalu, apabila saya mengahwini suami saya. Anak-anak saudaranya diminta menyapa saya dengan panggilan itu dan saya tiada masalah apa-apa. Suka juga kerana terasa dimesrai tanpa batas. Apatah lagi saya belum punya anak saudara sendiri jadi terasa indahnya memiliki anak-anak saudara yang mendekati saya sebegitu.

Di tempat awam, tiada pula yang menyapa saya makcik. Yang selalu saya terima selain 'cikgu' ialah 'kakak' atau 'puan' pada situasi yang lebih formal. Panggilan 'adik' pun ada juga kadang-kadang.

Tetapi akhir-akhir ini telinga saya kerap benar menerima panggilan 'makcik' dan sungguh panggilan ini tidak sedap didengar jika bukan dari anak-anak saudara sendiri. Kenapa ya?

Mungkin kerana panggilan itu menggambarkan usia yang begitu ranum. Jika yang menyapa itu kanak-kanak tidaklah saya terasa sangat, tetapi jika ia dari kalangan adik-adik yang berusia lebih dua puluh lima tahun, aduhai! Pedih juga.

Saya sebenarnya sedang mencuba untuk menerima kenyataan. Saya sedang melatih diri untuk membahasakan diri dengan panggilan makcik kepada orang-orang yang sesuai.

Tiada sudahnya untuk saya terus-terusan menafikan panggilan itu kerana tidak sampai dua tahun pun lagi saya bakal melangkah ke usia separuh abad.

Maka sedarlah wahai diri!

18 - 31 Mac 2020

Gentar dalam sanubari saya seperti tidak mahu berkurang. Terasa besarnya ancaman COVID-19 ini, setiap waktu dan ketika saya bermohon agar Allah menamatkan segala ketakutan ini.

Apabila melihat wajah ahli keluarga yang ada di sisi atau apabila terkenang sanak saudara yang jauh di mata, rasa yang sama menghantui. Resah dan risau tetapi bermohon dan berharap, Ya Allah lindungilah kami!

Rasa ini tidak indah. Ia seperti hentaman kuat pada jantung yang menyakitkan. Malah saya jadi lupa pada segala kegusaran yang lain, kerana saban waktu memikirkan kemungkinan yang saya tidak mahu.

Tempoh empat belas hari ini, semoganya akan ada pengurangan kes dan beransur-ansur berakhir. 553 orang yang terjangkiti itu mudah-mudahan akan pulihlah semuanya. Kakitangan dan petugas KKM yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab ini, mudah-mudahan akan lega dan tenanglah nanti. Allah jua akan membalas jasa kalian. Kami tetap mendoakan.

COVID-19, semoga menjadi pengajaran.

Saturday, March 14, 2020

Tatapan

1. Hari ini impian mak ayah semakin menggila, anak seusia tahun dua sudah diajar ke tusyen segala.

2. Anak kecil ini terlena ditangga tusyen sebab mak ayahnya lambat ambil.

3. Saya yang lihat rasa nak menangis pun ada. Hati kita dimana?. Saya benar benar terluka melihat sikap ayahnya.

4. Pagi sekolah agama, petang sekolah vernakular dan malam tusyen segala. Kita nak dia jadi Profesor? atau Menteri serba guna?

Ibubapa yang mulia

5. Fitrah anak itu bermain, berkawan dan bercerita. Bukan belajar sepanjang masa.

6. Zaman ketawa, menangis, mengusik adik, kotorkan baju dan kasut sekolah itu mesti ada.

Zaman makan aiskrim, beli jajan, tangkap kucing, naik basikal, mandi kolam, kejar anjing itu wajib ada.

7. Jangan rosakkan zaman emas mereka dengan belajar dan hilangkan senyum ketawa dimuka.

8. Semua ibubapa nak anaknya berjaya tetapi jangan jadikan anak kita 'trophy' yang kita boleh banggakan waktu cerita dengan kengkawan di tempat kerja.

9. "Anak aku semua masuk smart reader, khalifah, smart kids segala bagai". Apakah kita nak anak kita jadi bijak pandai seperti menteri itu? 

10. Takut sangat anak gagal dan tidak cemerlang, pandai sangatkah kita dulu hingga nak anak hebat begitu?

11. Bila anak tidur, lihatlah wajah mereka. Letihnya mereka dengan sistem pendidikan yang ada, yang berubah sepanjang masa.

12. Kita selalu kata, "anak tak pandai pun tak mengapa, yang penting solatnya terjaga". 

Tetapi bila tak dapat cemerlang tahun dua dah hantar tusyen sampai tidur atas tangga.

Jangan jadi ibubapa yang hilangkan senyum ketawa anak dimuka mereka. 

Cuti ini bawaklah mereka bermain bagi kembalikan senyum dan ketawa. Fitrah anak anak itu bermain kengkawan, jangan bunuh jiwa mereka!

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2841765289192859&id=100000782465742



COVID-19

Bermula hujung Januari lalu sehingga ke hari ini, sudah mendekati dua bulan dunia berada dalam cemas dek wabak COVID-19 yang kini sudah diisytihar sebagai pandemik.

Mula dikesan di Wuhan, China dan kini bertebaran sudah ke serata alam. Ujian ini sungguh menakutkan dan menginsafkan. 

 Semoga ada hikmahnya, walaupun seluruh dunia seakan lumpuh dengan wabak ini. Teruskan berdoa dan patuhi garis panduan yang dikeluarkan pihak berwajib.

Saya sendiri sudah membatalkan percutian ke Cherating bersama suami kerana tidak mahu berada di tempat yang menjadi tumpuan ramai orang. Mujur pembatalan hotel itu percuma, hanya dicaj RM8 sahaja oleh bank kad kredit saya.

Harapan kami semoga wabak ini berakhir jua nanti, amin.

Friday, March 13, 2020

Secebis Kisah Ketakutan

Ada doktor luar negara berkongsi cerita.

Pesakitnya datang dengan masalah batuk dan Sesak nafas. 

Wanita itu amat bimbang dia telah dijangkiti #COVID19.

Maka doktor melakukan beberapa ujian.

Keputusan sudah ada di tangan.

"Puan, saya mohon maaf kerna berita ini mungkin berat untuk puan terima"

Air mata wanita itu lantas mengalir di pipi.

"Beritahu saya doktor, apakah penyakit tersebut? Saya akan menguatkan hati menerima berita ini" pinta wanita tersebut.

"Puan menghidap kanser paru-paru" jawab doktor tersebut.

Wanita itu lantas memeluk doktor tersebut dan berkata:

"Fuh, lega! Ingatkan saya menghidap #COVID19 !" 

Doktor itu bingung sementara....😅

Kehidupan di bidang perubatan ini kadangkala menarik, kadangkala sedih dan kadangkala membingungkan.

#kisahCOVID19
#DAR

Sunday, March 08, 2020

Objek

Ini tulisan Pn. Asiah Abd Jalil dalam status Facebooknya hari ini.

"Ada sekor lebai bagi ceramah pasal nafkah. Entah macam mana saya boleh tertengok. Malas nak share link kat sini, sebab lebai tu iklankan akaun bank sekali untuk minta derma.

Kata lebai tu, isteri kalau mandi hari-hari, walaupun sekali mandi 4 sen aje bil airnya, suami tak wajib bayar. Itu tak termasuk dalam nafkah, kata lebai. Suami hanya perlu bayar bil air untuk isteri mandi janabah dan nifas aje.

Punya bongok lebai ni, dia buat lawak, kat rumah patutnya ada dua meter air. Satu meter untuk suami, satu meter untuk isteri. Isteri kena bayarlah sendiri bil air untuk isteri mandi tu.

Lebai juga ada kata, kewajipan suami hanyalah memberi makan isteri dua kali sehari. Untuk sekali makan, hanya wajib sediakan satu bahagian makanan ruji, iaitu karbohidrat, dan satu bahagian protein. Selebihnya makanan banyak-banyak dalam peti ais tu, itu bukan nafkah wajib.

Lebai top up lagi. Kewajipan suami hanyalah membelikan untuk isteri dua helai baju dalam setahun. Dua helai aje tau. Jika lebih daripada tu, yang penuh dalam almari tu, itu bukan nafkah wajib.

Lepas tu si lebai bercerita pasal harta faraid pulak. Kata lebai bongok, blender yang suami beli adalah harta faraid. Kalau suami mati, mak mertua boleh dapat tutup blender tu.

Gebang si lebai, ni semua hukum-hukum yang hanya boleh dijumpai jika belajar kitab-kitab feqah. Acah-acah nak kata, Islam ni sangat detail la kot. Sampaikan sekecil-kecil perkara tentang nafkah isteri, ada hukumnya dari segi ilmu feqah.

Sekarang korang faham tak, kenapa saya dah reject semua kuliah lebai? Boleh sakit otak kalau disumbat dengan ilmu-ilmu padang pasir zaman unta macam ni.

Saya pun heran. Zaman Nabi dulu mana ada jamban. Nak berak  pun isteri-isteri Nabi kena pergi tempat sunyi di padang pasir. Tak percaya baca tafsir Al-Qur'an ayat 59 surah Al-Ahzab. Dah tu, celah mana pulak lebai-lebai boleh kreatif buat hukum pasal siapa kena bayar bil air 4 sen bagai ni?"

Tahu tak hati saya menggelegak bila baca tulisan ini? Saya bukan marahkan Pn. Asiah, tetapi geram dengan lebai yang dia maksudkan itu dan yang saya tak tahu pun siapa orangnya.

Jika benarlah apa yang Pn. Asiah tulis itu, memang teruk tahap langit ketujuh lah puak-puak lebai ini memandang wanita. Tiada langsung kemanusiaan seolah-olah wanita itu objek seks sahaja.

Ya Tuhan, sungguh saya sakit hati!

Friday, March 06, 2020

Cemerlang

Maaf cakap, saya murid cemerlang dapat A berderet masa SPM dulu tapi saya tetap tak suka dengan merai murid cemerlang berlebih-lebih begini. 

Perjalanan mereka masih jauh, bukan setakat SPM sahaja. Keputusan itu sudah cukup memberi kegembiraan walaupun tidak dirai, sedangkan murid-murid yang sederhana, yang A tak banyak mana, bukan sahaja kecewa dengan keputusan tetapi juga sedih dengan persekitaran seolah mereka ini tidak perlu diberi perhatian.  

Saya selalu berkata, negara bukan terbina oleh doktor, jurutera dan profesional semata. Kita perlukan juga pekerja bengkel kereta, pelayan kedai makan dan pengutip sampah. Kenapa mereka dianggap tidak penting? Boleh hidupkah kita tanpa mereka?  

Berlaku adillah. Manusia bukan semua ada kepintaran yang sama. Sesetengah murid sudah berusaha sehabis daya tetapi A tak lurus. Ada murid yang memang bijak, study sikit je dah faham. Tak payah berjaga malam pun A berderet.  

Kita raikanlah perbezaan ini.  

Layu

Khamis semalam, hari pengumuman keputusan SPM 2019. Saya seperti biasa bertanggungjawab di bahagian analisis bersama Cikgu Norma. Tahun ini menyaksikan kejatuhan pencapaian keseluruhan SPM sekolah kami. Kejatuhan yang teruk, dan di luar jangka iaitu GPS 5.26 berbanding 4.94 pada 2018 dan 4.57 pada 2017.

Sedihkah?

Saya terima seadanya. Apa yang penting bukan nombor-nombor itu, kerana kita sebagai guru sudah memberi sehabis daya, dan murid juga sudah berusaha seupaya mereka. Raikanlah biar apa pun nilainya. Semangat jangan punah dek nilai GPS yang tidak indah.

Cuma, saya kepenatan sungguh. Usai menganalisis, saya berkejar ke kelas yang tamatnya pada jam 2. Tiba-tiba saya mengalami pendarahan yang banyak dan tidak selesa yang menyebabkan saya lesu dan layu. Pulang ke rumah saya tidur.

Terjaga petang itu, terasa masih tidak selesa. Perut saya menegang, badan pun menjadi sengal. Tidak mampu saya melakukan kerja rumah yang bertimbun itu. Untuk makan malam, saya meminta suami belikan sate apabila pulang dari masjid nanti.

Begitu yang saya alami. Pendarahan ini menjadi begitu menekan dan menakutkan. Saya tidak tahu sampai bila saya harus menghadapinya. Doa saya sentiasa bertali arus agar penyakit ini akan berakhir jua nanti, dan saya tahu Allah maha mendengar.

Semoga saya akan sembuh juga dari segala kesakitan ini.

Amin.

Thursday, March 05, 2020

Seram

Saya tengah berasa seram sebenarnya ni. Taklah, bukan ada gangguan hantu. Saya payah nak percaya benda-benda macam tu sebab belum pernah kena kot. Ni seram pasal lain.

Pasal result SPM yang akan diumumkan beberapa jam sahaja lagi ni!

Seramnyalah!

Macam mana tak seram, murid saya cuma empat orang je tahun lepas dan keempat-empat mereka sangat lemah asas matematik tetapi tetap mahu berjuang menduduki kertas Add Maths.

Nak kata saya tak bersungguh, rasanya dah lebih dari bersungguh dah saya nak bantu mereka. Dengan Matematik PT3 yang cuma gred C, mereka sangat memerlukan perhatian lebih. Itulah yang saya buat.

Tetapi riak wajah mereka sebaik keluar dari dewan hari tu, cukup untuk melemahkan jantung saya. Saya tahu mereka tidak mampu menjawab seperti yang saya harapkan. Saya cuba untuk reda tetapi kenyataannya saya tetap seram!

Apa pun, untuk anak-anak murid kesayangan cikgu ini - Razin, Huda, Syafikah dan Arissa, cikgu tahu kalian sudah berusaha. Cikgu berjanji akan sentiasa mendoakan kalian biar apa pun warna keputusan kalian nanti. Semoga kita sama-sama reda.